Jumaat, 27 Jun 2014

K12:Community Service/Campuchea TEAM 07


Hari Pertama Sabtu 09 Feb 2013:
Saya merancang untuk ke Kemboja tahun 2013 ini didorong oleh maklumat mengenai tanah yang diperolehi oleh UTDA sebanyak 44 hentar di kawasan puak Jahid di Pursat Province Kemboja. Puak jahid adalah sekumpulan masyarakat Islam yang bersolat sekali seminggu pada hari Jumaat sahaja. Lawatan solo saya pada Aidil Adha 2012 yang lepas saya tidak sempat kesana tetapi telah menempat dan menaggung gaji guru fardhu ain seramai 2 orang bagi mengajar penduduk kawasan ini pendidikan asas agama. Mereka tidak pernah diajar untuk bersolat 5 kali sehari semalam sejak berkurun lamanya. Sebanyak 300 keluarga semuanya tetapi 118 telah mengikuti dan berdaftar dengan persatuan Ummat Training and Development Assosiation (UTDA) yang diketuai oleh Ustaz Zuhdy dan saya dilantik sebagai penasihat persatuan ini. Masih ramai yang ingin berdaftar tetapi wakil persatuan disini sangat berhati-hati agar tidak menimbulkan konflik dengan imam masjid Jahid yang sedia ada. Dalam masa 3 bulan sahaja mereka telah menambah 12 keluarga lagi.

Pursat Province ini terletak empat jam dari Pnom Phen arah ke Thailand dikiri Tasek Tonle Sap melalui National highway NO5. Biasanya kami pergi ke arah utara melalui jalan ke Chnnang Province, Kampong Champ dan Siam Riep sebelah kanan tasek melalui National higway NO6, tetapi kali ini kami menuju kearah kiri tasek. Kawasan ini adalah penempatan baru bagi penduduk dan UTDA diberikan 4 hektar tanah untuk aktiviti persatuan dan 40 hektar lagi diberikan bagi tujuan pertanian.

Pada awalnya saya bercadang untuk tim ke 7 ini kami pergi 3 orang sahaja iaitu Rakan sekerja saya Riduan dan Zulkifli dari Ipoh. Kemudian Azmi dan Saufi mengikut kami semua ahli tim dari Ipoh. Sahabat saya Zulkifli Selamat dari Muar dan Fendra dari Jakarta juga bercadang hendak pergi bersama. Kerana kawasan dan perjalanan yang belum biasa lagi, saya tidak menggalakkan mereka pergi. Saya sendiri tidak dapat menjangkakan apa yang akan kami tempoh jadi saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada rombongan kami dalam menempoh perjalanan.

Kami bertolak dari LCCT jam 0710 pagi. 4 orang rakan dari Ipoh telah bersedia menunggu di lapangan terbang sejak jam 0200 pagi. Mereka tidor di LCCT. Jam 0430 pagi saya sampai di LCCT dihantar anak bujang saya dan mereka masih tidur dikerusi. Selepas solat subuh berjamaah kami daftar masuk. Sampai di Pnom Phen Ustaz Zuhdi, adiknya Ustaz Fadhil dan Salleh sudah sedia menunggu saya, urusan keluar diuruskan oleh rakan immigresen mereka. Dalam penerbangan saya bertemu dengan pasukan sukarelawan dari UITM Perlis yang membuat kerja kemasyarakatan diKampuchea. Saya menghubungi Chapratana Rakan MOE Cambodia menyatakan saya telah sampai dan akan terus ke Pursat. Kami menaiki sebuah Van yang dipandu oleh Saleh terus ke pursat. Kami singgah makan pagi Jam 10.00 di Pnom Phen. Makan roti John bakar, ayam goreng, sup meehoon, telur goreng dan nasi lemak , saya menikmati roti john bakar cecah kuah sup, sayur daun selasih dn rumput ulam yang sedap, Saya tidak makan pagi kerana saya sempat makan nasi lemak dalam penerbangan tadi. Berhenti menukar wang dan membeli sedikit makanan dalam kenderaan dan meneruskan perjalanan yang panjang ke Pursat.

Kami sempat singgah untuk membeli buah-buahan dibawah jambatan lebuhraya dan sempat merakamkan satu dari makanan eksotik kambodia kura-kura goreng. Siap telurnya sekali bewarna kuning tersembul keluar dari perutnya, kura-kura ini digoreng tanpa disiang, saya membayang bagaimana seksanya kura-kura ini terkena minyak yang panas. Ada juga cengkerik dan belalang goreng kami temui dalam dalam perjalanan. Cuma labah-labah sahaja belum kelihatan seperti yang banyak terdapat di pekan Kampong Thom dulu. Kami daftar masuk di Rumah Tumpangan 59 di pekan Pursat. Mandi bersolat dan berehat. Jam 2.00 petang kami memulakan misi kami ke daerah Puak Jahid.





Kampung pertama ialah Kampung Roliang Daerah Pursat, sebuah sekolah agama dua pintu dalam pembinaan diatas tanah yang diwakafkan oleh Imam Adam. Kawasan ini memerlukan sebuah perigi dan sebuah surau sementara. Makan tengahari pertama jam 0300 petang di bawah rumah imam kampong dengan ikan toman dan keli goreng, ada air asam, ulam dan air kelapa. Saya Nampak Zulkifli tidak begitu selera makan. Saya risau juga kerana saya baru kenal beliau, harap beliau dapat menyesuaikan diri dengan keadaan kampong yang tidak begitu bersih. Saya cuba menyelerakan tekak saya yang kadang-kadang pelik juga. Selepas makan dan bermesra dengan anak-anak kampong kami bergerak ke kampong berikutnya.


Kampung kedua Kampung Purn Bun Daerah Pursat, kami melawat sebuah masjid kayu yang dhaif dan tapaknya yang baru ditambak tanah. Mimbarnya hanya dihias dengan kain seperti gambar dibawah. Kawasan ini dibeli oleh persatuan untuk kawasan masjid. Sangat cantik tempatnya ditepi bendang dan tanah yang sudah dinaikkan. Masjid kayu ini digunakan oleh ahli kariah untuk bersolat Jumaat dibawah pimpinan Hakim Yusof. Azmi dan SAufi mengambil kesempatan mengambil wuduk diperigi pam berdekatan dan bersolat sunat di masjid kayu tersebut. Kami menghadiahkan buah-buahan dan makanan yang kami bawa untuk penduduk yang ramai dikawasan masjid. Saya berasa agak terkilan kerana tidak membeli roti dan makanan sepertimana selalu saya lakukan.


Kami bergerak balik kehotel dan berihat saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk melihat kolam ikan air tawar di belakang hotel dan ternakan lembu di hadapan hotel. Saya tertarik melihat makanan yang dibuat sendiri dari capuran ikan baja. Kami balik berehat dan sebahagiannya bersolat di surau berdekatan. Malam itu kami keluar makan malam dirumah ketua kampong. Dijamu dengan nasi lauk ayam dan burung kuang, tetapi hanya dua ekor sahaja berjaya ditangkap khas untuk kami, Arnab yang di tangkap telah terlepas dari kurungan kata Ustaz Zuhdi. Rasanya sangat enak dengan nasi baru.

Itulah kali pertama saya menjamah nira air kelapa laut yang banyak terdapat di kawasan tersebut, rasanya macam nira kelapa tetapi lebih sedap dan manis serta tidak berbau. Kemudian kami balik ke hotel dan berihat.


Hari kedua Ahad 10 Feb 2013.
Pagi kedua selepas sarapan nasi ayam kampong kami bergerak ke Pekan Pursat. sebelum kami memasuki kawasan kampong kami singgah di Pursat Central Market dan membeli 4 tin biskut untuk bekalan masuk ke kampong berikutnya. Saya sempat membeli baju untuk cucu saya dipasar. Dan Saufi membeli pelita minyak antik untuk cenderamata.


Kami masuk ke kampong yang berdebu sekitar 30 km. Jalan tanah merah. Kami singgah dirumah Imam Adam  tempat kami makan malam malam tadi. Di bawah rumahnya menantunya sedang membuat atap daun lalang yang akan di jual satu ringgit sekeping saya mengam,bil kesempatan untuk belajar bagaimana membuatnya. Atap ini dua kali ganda lebih tahan berbanding dengan atap nipah jika di keringkan dengan betul. Cuma ia kalah pada kawasan berangin berbanding atap nipah.

Kemudian menukar kenderaan dipinggir jalan dan masuk ke kampong dengan traktor sejauh 3km lagi Ustaz kata kita naik MAS orang Kampung. Kami dapat bayangkan macam pekerja bangla hendak pergi ladang. Cuaca panas dan kering serta berdebu. Keadaan kemarau ini adalah permulaan dan menjadi lebih teruk menjelang bulan Mac dan April. Saya tidak dapat mem bayangkan bagaimana ketiadaan air dapat dilalui oleh manusia, ternakan dan tanaman di kawasan ini. Perjalanan menempuh kawasan yang baru dibuka dipenuhi oleh anak pokok jati. Hanya pokok gajus dan mangga sahaja yang saya lihat dapat bertahan dikawasan yang kering itu. Tidak ada lagi pokok kelapa laut kelihatan. Akhirnya kami sampai diperkarangan masjid persatuan. Kawasan ini dipanggil Kampung Chetil Te - Krouko District yang bermaksud (miskin dan bisu) Imam masjid bernama Mahmud bin Adam atau Hakim Mud beliau bekerja dibawah mufti. Kawasan ini dihuni oleh 89 keluarga. Kawasan 4 hektar milik persatuan UTDA ini adalah kawasan bendang. Yang hanya ditumbuhi oleh pokok gajus dan jati. Sebuah surau persatuan tempat kami berehat dua buah perigi yang disumbangkan oleh sukarelawan USA dan ATT Chariety sebuah badan dari Eropah. Perlu diambil pengajaran disini bahawa mubaligh ini memberikan bantuan tanpa mengira kawasan malah dikawasan masjid, sikap keterbukaan mereka mengkagumkan. Ada juga saya lihat  sekawan lembu. Bagaimana pun rumah imam juga menjadi tempat simpanan sebuah Kubota. Pengangkutan disini adalah traktor dan motosikal. Ada seorang penduduk yang membela kuda sebagai pengangkutan dan menjaga lembu.

Kami berehat sebentar disurau dan berkenalan dengan masyarakat tempatan sambil menikmati biskut yang kami hadiahkan satu tin untuk mereka. Saya berbangga kerana dalam kumpulan penduduk kampong itu ada orang khmer yang sering bersama jamaah walaupun dia seorang Budha. Kami mengambil kesempatan untuk menjelajah tanah 40 hektar yang diwakafkan untuk kegunaan persatuan menjana hasil. Kami merancang dan memikirkan bagaimana hendak membangunkan kawasan ini. Masalah utama kami adalah kerana kawasan ini sangat kering pada musim panas dan musim hujan lebat akan dinaiki air sedalam setengah kaki. Biasanya apabila musim hujan petani akan menakung air tersebut dengan batas dan menanam padi. Itu sahaja yang boleh didilakukan. Kami lihat tanah ini merupakan tanah liat putih bercampur pasir. Agak subur jika ada air. Dari perigi yang dibina paras air musim kemarau adalah sekitar 6 kaki dibawah tanah. Penduduk mengetam kayu jati untuk dijadikan beluti dan papan. Begitulah jauhnya ketinggalan masyarakat disini. Mereka hanya menggunakan apa yang ada untuk kehidupan dan mengharap bantuan luar. Kami gembira melihat dari atas traktor seekor arnab liar lari ketakutan. Kami juga di perkenalkan dengan sejenis perangkap arnab yang makanismanya seperti busur panah. Saya sempat menyelongkar dapur mereka dan melihat apa yang mereka masak. Saya temui beberapa keping kayu yang direbus sebagai minuman. Saya tidak pasti kayu apa samaada sebagai teh atau ubat herba. Riduan sempat mencabut tongkat ali dari kawasan semak tetapi kami hanya bawa balik batang ali akarnya besar tak dapat dicabut.


Kami berehat dimasjid bersolat zuhur dan asar berjamaah. Saya diminta azan disurau itu. Semoga Allah menyampaikan seruan saya kepada semua penduduk dikawasan tersebut. Selepas solat kami dijamu makan tengahari lauk sup dan serondeng itek. Serondeng itu sangat sedap ada kacang tumbuk dan tidak pedas. Saya makan berulam daun gajus cecah air garam yang saya ambil dari batas tepi surau tadi. Kami juga dihidangkan buah mangga yang dibeli oleh Ustaz Zuhdi dari tepi jalan masuk. Ditangga surau saya sempat berbual dengan Zulkifli. Saya katakan bagaimana besarnya kurniaan iman oleh tuhan kepada penduduk dikawasan ini walaupun mereka tidak tahu beribadah mereka masih mengekalkan syahadah. Itulah rukun yang paling besar dan memberitahu beliau agar berusaha untuk mengangkat 4 rukun dihadapan multazam ketika beliau berkunjung ke Mekah hujung tahun ini.

Dikawasan ini kami merancang untuk menyediakan sebuah kincir air dan tangki tinggi pada perigi yang sedia ada. Rumah lembu dan pagar anggaran 30 ekor menjelang julai. Pagar dan benih nymphea seluas 1 hektar menjelang musim hujan nanti.  Dan sebuah lampu solar untuk surau. Selepas makan kami meneruskan perjalanan dengan traktor untuk keluar kejalan besar semula. Sepanjang perjalanan saya menemui pondok-pondok lembu yang berpagar dan pokok gajus yang ditanam sepanjang batas padi. Yang lainnya hanya semak kayu jati. Saya juga sempat melihat dapor yang digunakan untuk membuat arang.


Kami melalui jalan yang lain dan berhenti dijambatan kayu yang sudah rosak dan tidak boleh dilalui traktor. Van kami telah bersedia menunggu diseberang jalan. Sampai di jalan besar kami singgah di tempat memproses ubi kayu yang akan dijadikan ethanol. Diluar gudang ubi ini ada ditanam rumput nymphea. Tetapi Riduan menyatakan itu bukan jenis yang baik kerana dia berbulu dan keras. Jenis ini agak kurang protein dari baka kurang bermutu.

Kami singgah minum petang di sebuah kedai kebetulan saudara Ustaz Zuhdi malangnya tidak banyak makanan yang ada jadi saya kedapor dan minta mak cik kedai buatkan kami mee segera dan kopi ais untuk semua. Yang datang adalah sebesen mee segera dengan irisan daging dan sayur. Jadi kami berkongsi minum petang yang boleh dikatakan enak juga.

Destinasi kami seterusnya adalah kampong Rolep Pedut Kampong Chnnag Distric. Imamnya Hj Ahmad bin Bosa. Ustaz yang mengajar adalah Ustaz Mohamad Ali bin Md Zin dengan baju batik biru telah menunggu kami disimpang jalan. Ustaz Ali mengajar dikawasan ini selama 2 hari dan 5 hari lagi di kampong Suai Pagau daerah Chnang. Seramai seratus budak belajar disekolah lama ditepi masjid baru. Inilah masalah masjid disini yang hanya digunakan untuk sembahyang seminggu sekali. Masjidnya cantik berjubin dan ada perigi pum yang menggunakan kuasa minyak tetapi dibuka sekali seminggu untuk tujuan solat Jumaat. Anak-anak bersesak belajar di bangunan kayu sebelah yang agak dhaif juga. Masalah  disini adalah ketiadaan buku iqrak. Buku Iqrak itu adalah cetakan Indonesia. Dikawasan sekolah ada padang bola tampar tempat anak muda menghabiskan waktu petang mereka. Tetapi saya hairan kenapa mereka membina padang bola tampar menghadap matahari. Jadi tentunya pasukan yang mengahdap matahari akan kalah.

Ada satu masalah lagi disini iaitu kawasan Kampung Will Kengau dan Prai Sa 30 Km dari masjid ini yang masyarakat islamnya sudah dipengaruhi oleh agama lain. Dan kami kena pantas dalam tindakan. Jadi kami bersetuju untuk membekalkan seorang guru fardhu ain bagi kampong Prai Sa dan datang 2 hari ke kampong Rolep Pedut menjadikan jumlah hari belajar di kampong ini 4 hari. Oleh yang demikian dengan 2 guru kami boleh memberikan pendidikkan kepada 3 kampung. Guru ini akan ditaja oleh En Zulkifli dan rakan-rakannya.  Kami keluar dari kampong ini dan sempat melihat keadaan yang tidak menyenangkan. Antaranya adalah ketiadaan kemudahan. Sebelah kanan jalan airnya melimpah dan padi menghijau dan sebelah kiri pula kering kontang ini menunjukkan tiada pengurusan keperluan asas agihan sumber dilakukan.


Hari sudah mula gelap kami di minta singgah dirumah Aik Ok Doem Ismail Osman Menteri Kebajikan sosial, Veteran dan Belia Kampuchia yang sudah bersedia menunggu di tepi jalan hadapan rumah beliau. (Telefon 012-810721 dan e mail : ibadc_asso@yahoo.com).  Kami bersolat magrib di masjid sebelah rumah beliau dan melihat bekalan air yang disumbangkan oleh UTM. Selesai solat kami dijemput kerumah beliau dan bertemu isteri dan melihat juga kelas agama yang beliau jalankan. Beliau telah 15 tahun menjadi menteri yang dulunya menteri agama dan sedang memembantu YAB Perdana Menteri bagi tujuan pilihanraya pada bulan Julai 2013 nanti. Kami memohon maaf kepada bilau kerana kunjungan kami tidak sesuai dan keadaan kami yang kotor dan penat baru keluar dari lapangan. Kami bergerak dan daftar masuk di hotel New York Pnom Phen dan memebersih diri. Satu jam lepas berehat kami ke Bandar untuk makan malam. Nasi goreng kampong dan teh tarik saya tunggu sampai balik the saya tidak sampai rupanya mereka kehabisan teh tarik. Saya balik ke bilik sekitar jam 11.00 tapi saya rasa kepala saya mula Bengal. Dan jam 1.00 saya menggil kesejukan dan terpaksa belari dalam bilik untuk memanaskan badan. Saya minum banyak air sejuk, tutup pendingin udara dan berselimut, tengah malam saya terjaga dan badan saya berpeluh. Saya merasakan bahawa saya terkena keracunan makanan mungkin kopi susu ais yang sangat pekat petang tadi. Syukur boleh dikawal dan tidak melarat.


Hari Ketiga Isnin 11 Feb 2013.
Rancangan asal kami hari ini kami acara bebas. Saya menelefon Chapratana dari MOE untuk merancang apa yang kami boleh buat hari ini. Beliau ada di pejabat. Kami bersarapan roti canai dan teh tarek dan telur setengah masak di hotel. Sedang kami makan Menteri Ismail Osman datang bersarapan dengan kami. Dan mengajak kami menziarah pejabat beliau. Saya naik kereta dengan beliau dan yang lain mengikut dengan van. Singgah sekejap di pejabat beliau. Bawa polis pengiring bernama Saron dan melawat kawasan Kendal melalui National Highway NO1. Tempat pertama adalah sekolah rendah Suai Jua Kampung Oh Kel, Kendal Province dan sekolah menengah Suai Jua bersebelahan  dengan rumah Perdana Menteri Hung Seng. Di sekolah ini kami ditunjukkan pam air bersih yang berharga 5,000 USD yang dibina oleh UTM. Air kawasan ini mengandungi 30-60% arsenik dan pam yang dibina ini boleh mengeluarkan air bersih yang dirawat 3 kali berstatus air mineral. Beliau kemudian menunjukkan kami 2 lagi pam air yang telah dibina di kawasan Kendal kawasan  parlimen PM. Beliau berharap agar saya membantu beliau mencukupkan lagi 20 buah perigi kawasan tersebut dan ini baik untuk kempen pilihanraya bulan Julai nanti. Kami tidak dapat berjanji. Kami juga berbincang bagaimana hendak membuat sister school antara sekolah menengah dengan sekolah SBP kita. Perbincangan lanjut akan saya susul kemudian. Kami sempat juga melihat sekolah Fulbrigt International school. Kami dijamu buah-buah oleh penghulu kampong Mr Song Keng Leong. Saya tertarik melihat sabut sebiji kelapa yang ditebuk bagi meletakkan cankir teh agar tidak cepat sejuk. Cukup kreatif fikir saya.

Kami sempat singgah melihat ternakan lembu yang diberikan makan pokok jagung muda. Saya dapati pokok jangung ini diikat dan di jual 10 pokok dengan harga seringgit. Ada juga benih pokok Nymphea yang kami cari bila kami tanya nama pokok itu mereka menjawab rumput Malaysia. Ini bermakna pokok itu dibawa masuk dari Malaysia. Tapi hanya baru beberapa puluh rumpun dan tidak cukup untuk dijadikan benih. Kami memerlukan 1 ton benih Nymphea. Kami juga membeli buah bidara kerana buah ini di ikat cantik pada satu gerai di tepi jalan.

Kami menghantar Menteri dan polis pengiring ke pejabat menteri dan  berjanji akan berjumpa kembali pada 5 dan 6 Mac nanti di Melaka kerana beliau ada urusan pemeriksaan kesihatan disana. Kami makan tengahari di hotel dengan tempahan khas. Ada sup ekor, siakap 3 rasa, telur goring dan kepak ayam, selain ulam dan sambal belacan. Selera juga kami makan. Makanan ini di sediakan oleh Makcik Esah yang lama bekerja di Malaysia dan suaminya En Ismail. Sebelum makan saya mengajak Zulkifli untuk meninjau harga mesin fotostat di hadapan hotel kami. Malangnya kedai tutup waktu makan. Pagi tadi sebelum sarapan kedainya buka.

Sementara menunggu makan dihadapan pintu hotel kami bertembung dengan sebuah pasukan yang baru sampai dari sebuah IPTA. Kami ambil kesempatan untuk bertegur sapa. Malangnya mereka tidak mesra, seorang pun tidak menyapa saya dan Zul walaupun saya tersengeh sengeh dengan topi saya bertulis Malaysia. Inilah masalah budi bahasa orang Malaysia terutama orang muda. Saya baru sahaja membaca artikel dalam majalah penerbangan Airasia dalam perjalanan datang bagaimana ramahnya orang Kambodia dengan pelawat mereka. Mereka akan menegur dan bermesra. Tapi kita seolah-olah tidak menghiraukan mereka. Seperti pemandu tut-tut. Yang ramah berbahasa apa salahnya kalau kita kata terima kasih, saya ada van sendiri dan tersenyum. Mungkin kita telah biasa dengan perangai orang dinegara lain yang akan mengambil kesempatan keatas pelancong seperti kita tapi bukan di Kambodia. Saya bersetuju dengan penulis itu. Mungkin kerana mereka penat dan baru saja sampai untuk daftar masuk melalui perjalanan yang jauh dari Vietnam. Tapi ketua kumpulan mereka hendaklah mendidik mereka yang baru pertama kali berada dinegara orang sebagai pelancung untuk menunjukkan budi bahasa kita. Lebih-lebih lagi jika kita memakai vest yang ada lambang organisasi kita. Amat memalukan dan tidak ramai saya jumpa kumpulan begini. Sehingga saya pulang saya tidak langsung menunjukkan rasa hormat saya kepada kumpulan tersebut. Beri salam pun tidak dijawab mangkuk ayun betul.

Selepas makan kami berehat dan bersolat dibilik masing-masing. Jam 2.00 kami bertolak kepasar Rusia membeli sedikit cenderamata kemudian kami ke Central Market membeli belah. Kami pusing keliling central market kerana bahagian dalamnya tidak di buka kerana cuti perayaan. Antara kedai kegemaran saya ialah kedai Latifah gerai nombor 09 dan 10 di central market disanalah selalu saya membeli kain dan cenderamata anak-anak. Saya tidak bercadang membeli banyak kerana esok ada setengah hari lagi kami sempat untuk membeli belah.

Kami terpaksa bergegas kerana Ustaz Zuhdi belum asar lagi. Kami janji dengan Latifah akan datang semula sesok. Kami terus ke Chnang untuk bertemu dan menziarah Ustaz Somad dan madrasah Alrahman Cambodia di Klang Sbaik daerah Chnang. Kedatangan saya raya lepas tidak sempat ziarah Ustaz Somad. Dan saya sungguh terkilan kerana diberitahu tidak ada lembu qurban untuk Alrahman tahun lepas.
Kami sampai tepat azan magrib dan disambut oleh orang kampong. Kami solat berjamaah dan Zuklifli kemudiannya mengimamkan solat Isyak. Selepas solat kami naik meliaht kelas fardhu ain dan alquran. Ramai pelajar lelaki dan perempuan mengaji tiap malam. Seperti sebelumnya masalah disini adalah buku Iqrak.

Kami dijamu minum dengan jagung rebus dan air teh. Saya sempat menyempaikan teh camaronian yang saya cadang hendak berikan kepada menteri saya berikan pada Ustaz Samad dan sedikit infak masjid dan kelas fardhu ain beliau saya dapat perhatikan rakan rakan juga membuat infak sekadar yang mampu. Saya dapat sesuatu disini iaitu harga solar eletrik yang murah. Kami bercang untuk menghantar satu set ke tapak persatuan diPursat. Sebelum berpisah saya sempat bermesra dengan anak  kecil bernama Nora. Ketika saya singgah dengan Haji Markum itulah anak kecil yang saya dukung dan bergambar dihadapan pintu. Sekarang sudah 3 tahun dan sangat comel.

Kami singgah makan di rumah Ustaz Zuhdi di batu lapan. Goreng ikan toman, mangga dengan air garam dan lada serta sup ayam dan sayur campur. Saya perasan Zulkifli sahaja yang tidak makan toman. Jadi saya berikan sup ayam saya pada beliau saya menikmati ikan toman dengan ramasan lada kecil dengan mangga. Kami ambil kesempatan menyelesaikan semua bayaran penginapan, makan dan pengangkutan dengan Ustaz Zuhdi. Saya menambah gaji guru yang yang saya infak sejak raya lepas bagi kampong Oh Rong daerah chnang. Saya menyediakan sedikit persediaan yang kami minta Zuhdi fikirkan untuk fokus ditanah persatuan di Pursat dulu. Kami halal menghalal dan beredar kehotel. Pada awalnya kami bercadang hendak maniki river cruise tapi Kami tidak larat lagi hendak keluar meronda bandar sebaik sahaja selesai mandi jam 1100 malam saya tidur dengan nyenaknya.


Hari Kemepat Selasa 12 Feb 2013.
Saya bangun agak lewat. Bersarapan di Restoran Wau dan pesan roti canai, teh tarik dan 2 biji telur itu sarapan kegemaran saya. Roti canai ini agak enak rasa macam roti canai segera. Kalau makan dengan sambal macam rasa dirumah. Saya menyatakan rancangan hari ini selepas daftar keluar hotel, kita ke pasar lagi dan saya minta izin untuk berjumpa Capratana di pejabat beliau kerana saya ada hutang kopi 3 dalam satu yang saya bawa raya haji lepas telah saya berikan kepada Setiausaha kerajaan atas cadangan Capratana.

Sebelum daftar keluar saya sempat berjumpa dengan sekeluarga Nurhalimah Idris (Nurhalimah @utm.my ) penyarah UTM skudai yang bercuti bersama emak dan adik beliau. Kami berbincang tentang bantuan di Kampuchea antara pancing dan ikan. Kami bercadang untuk membantu antara satu dengan lain dalam hubungan dan bantuan kemanusiaan ini. Saya menyerahkan kain dan beberapa helai baju kotor untuk dibasuh dan disedekahkan kepada yang memerlukan melalui Ustaz Zuhdi. Saya lihat Nurhalimah juga memberi infak kepada Zuhdi. Baru semalam saya berjumpa dengan kumpulan IPTA yang Sombong dan pagi ini saya ditemukan dengan seorang pensyarah IPTA kita yang berhati mulia. Dunia ini banyak ragamnya. Semoga tuhan sentiasa melindung hati saya kepada perkara yang mungkar.

Selepas menurunkan rakan-rakan dengan Zuhdi di central market saya dan Zulkifli mengunjungi Chapratana Timbalan Pengarah Pendidikan yang hari itu sedang menjalankan kursus di pejabat Setiausaha kerajaan bagi kesemua 34 wakil daerah dikampuchea. Kami mengunjungi Mr Ouk Chai State Secretary Ministry of Planning di pejabatnya. Kami mesra teringat kenangan semasa saya hadir raya lepas. Daging katak masak lada hitam, kami tergelak bersama.  Saya meminta bantuan beliau untuk mendapatkan satu tan benih Nymphea. Beliau berjanji akan membantu saya.

Kemudian saya ke pejabat Chapratana. Dan beliau membawa saya berjumpa dengan Mrs Hang Lina Deputy Director General, Ministry of Planning, adik kepada Menteri Pendidikan. Kami berbincang tentang kepimpinan wanita dan saya bercadang akan membantu beliau dalam hal ini. Saya lihat banyak program yang melibatkan UNESCO di pejabat ini dan saya akan membuat susulan dengan rakan saya di Malaysia. Saya juga berjumpa meminta Chapratana untuk membantu mencetak buku iqrak barang 200 naskah. Beliau berjanji akan menanggung sebahagian kos tersebut. Begitu mudahnya urusan jika kita mempunyai ramai kawan dan tidak terlalu terikat dengan birokrasi.

Kami menjemput rakan di central market dan terus ke lapangan terbang. Waktu sudah sangat lewat. Mujurlah jalan tidak sesak dan orang tidak begitu ramai. Saya pulang dengan penerbangan MAS. Malangnya kita tidak sempat makan tengahari. Kami sampai diKLIA jam 1.30 petang dan berpisah dengan kawan-kawan. Dalam perjalanan dengan ERL balik kerumah saya sangat berbangga menjadi duta kecil negara ke Kampuchea. Dan perjalanan ringkas ini dengan rakan-rakan sekepala memberikan banyak kebaikan kepada saya. Semoga perjalanan ini akan meberi manafaat kepada UTDA. Semoga tuhan limpahkan kami rezeki dan kelapangan untuk terus berbakti membangunkan agama. Saya berpesan dengan Zulkifli yang akan ke Mekah hujung tahun ini. Jika kita tidak boleh mengubah dunia adalah lebih baik kita buat dunia baru seperti apa yang kita buat di Pursat ini. Dari kita sibuk kafir mengkafir dan menentukan syurga neraka orang lain adalah lebih baik lagi kalau kita membantu muslim yang hanya ada kalimah syahadah didada mereka agar mereka boleh bersolat dan meneruskan kehidupan mereka. Dalam fikiran saya, saya tidak mempunyai 10 tahun masa untuk terus melakukan kerja masyarakat seperti ini. Tetapi mereka seperti Riduan, Zukifli masih ada 20 tahun Nor Azmi dan  Saufi masih ada sekurang-kurang-kurang 30 tahun untuk terus menyumbang kepada agama diserata dunia. Semoga tuhan sentiasa menemukan saya dengan rakan yang berhati mulia seperti mereka. Sekian.


AHLI TIM KETUJUH K12 KEMBOJA:
Haji Md kasim Md Noah
Mohamad Riduan bin Arabian
Haji Zulkifli
Nor Azmi bin Mohamad Azizan dan

Mohd Saufi bin Mohd Zain


Tiada ulasan: