Ahad, 8 Jun 2014

BANTUAN KEMANUSIAAN KEMBOJA

Kemanusiaan Champa 
September 2010
LAPOR KASIM/KHAIROZI

BANTUAN KEMANUSIAAN KEMBOJA

Perbincangan ke kemboja dimulakan apabila Ustaz Khairozi berbincang tertumpu kepada hasrat ingin mengadakan korban ke Kemboja. Penulis memulakan pencarian beberapa kenalan di Pnom Phen. Penulis menghubungi Hj Abdullah yang mengusahakan ternakan lembu di Kampung Brahim. Perbincangan awal telah penulis dapati daripada beberapa rakan yang bersama penulis ke Siam Reap pada tahun 2003. Sebenarnya pada 2003 penulis telah membuat satu ekspedisi ke Kemboja bersama dengan Dato Yunus dan Cikgu Manap. Kami menginap di Hotel Villa Phnom Phen selama 4 hari dan membuat ekspedisi melalui jalan darat sejauh 360 km. Ketika jalan darat sepanjang Tonle Sap adalah jalan tanah merah dan berjambatan besi. Kami menempuh Kampung Cham, Kampung Thom terus ke Siam Reap melihat tinggalan sejarah. Perjalanan sehari penuh mendebarkan itu amat berkesan dihati penulis bagaimana kehidupan sebenar mereka.

Perjalanan itu amat menyeksakan kerana kami tidak ada pilihan melainkan makan buah Apple dan minum air kelapa sepanjang perjalanan. Sampai di Seam Reap baru jumpa roti canai dengan kari ayam di sebuah restoran muslim. Tentunya merasakan teh tarik di Siam Reap mengingatkan penulis kepada teh tarik isteri di rumah.

Antara pengalaman menarik sepanjang perjalanan adalah melihat peniaga di Kampong Thom dengan menatang dulang berisi belalang goreng, cengkerek dan yang paling menarik adalah labah-labah yang berwarna hitam. Abdomen labah-labah ini sebesar ibu jari bewarna hitam nampak pejal dengan kakinya sekali. Yang hairannya bagaimana mereka mendapat labah-labah sebanyak itu bagi jualan harian mereka. Belalang kunyit cukup besar dan disusun cantik di dalam dulang yang dijunjung mendekati kenderaan yang berhenti. Rasa macam nak beli tetapi syak kepada minyak goreng yang digunakan. Semasa melalui Kampong Thom. Bulatan di tengah bandar itu masih bertanah merah dan berlopak.

Di Seam Reap kami sempat ke rumah jurupandu kami. Sebaik meninggalkan jalan utama kami masuk ke jalan kampong tanah putih dan di kiri kanannya semak dan lalang. Sampai ke sebuah pondok rupanya itulah rumah emak kepada jurupandu tadi. Saya ambil kesempatan untuk meninjau sekitar rumah tiba-tiba ada benda bergerak dalam semak. Sekawan khinzir hutan dengan selambanya melalui tepi kenderaan kami dan terus masuki di bawah rumah emak jurupandu kami.

MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI,

Di Seam Reap kami kagum memikirkan bagaimana teknologi binaan batu dilakukan di kawasan berpaya. Teknik arkitektural yang hebat saya pelajari. Cuma saya bertanya sekiranya kemajuan kerajaan Melayu Champa itu berterusan kegemilanganya hingga kehari ini mungkin kita boleh membeli tiket ke ISIS di Seam Reap. Malangnya hasutan nafsu dan kehilangan pemimpin yang kuat meneruskan tradisi kegemilangan menjadikan satu kerajaan yang hebat tinggal sejarah. Dan yang paling sedih sejarah itu tidak pernah menyedarkan dan menginsafkan kita yang berada dalam kemakmuran dibawah satu kerajaan yang hebat. Sampai masa kehancurannya. Anak cucu mereka akan menjadi dhaif dan merempat, yang tinggal adalah batu-batu dan kesayuan. Hendak kembali kepada kegemilangan itu berapa tahun lagi? Atau terlepas selamanya.  

Balik ke Pnom Phen ada satu cerita lucu di mana saya dan Mr Yap Tawkey restoran Malaysia di Hotel Villa menawarkan penulis membuat sendiri teh tarik bagi kami berempat. Mudah sahaja 2 uncang teh  dan satu sudu susu tepung. Kemudian saya mengajarkan cara itu kepada chef hotel dan sepanjang kami di sana kami mendapat minuman teh tarik percuma. Dan ada satu kertas notis di kaunter tertulis, Malaysian Teh Tarik.

Pengalaman selama di Kemboja banyak mnegajar penulis erti kehidupan serumpun dan nilai kemanusiaan. Penulis juga menerima layanan yang amat baik dari masyarakat setempat walaupun baru pertama kali kami berjumpa. Kami dilayan sebagai pelancung kelas pertama. Pemandu kenderaaan kami merupakan sahabat yang baru di kenali tetapi telah menjadi penunjuk jalan yang amat berjaya membawa kami kesemua ceruk kampung dengan selamat.

MAKAN MALAM PERTAMA KAMI DI KAMPUCHEA dan Ghost HOTEL

Berbalik kepada usaha penulis menguruskan perjalanan rombongan ke Phnom Phen ini. Penulis merasakan banyak maklumat yang penulis perolehi antaranya adalah bagaimana pasukan sukarelawan dan mubaligh menggunakan jentera sukarelawan yang besar membantu negara-negera miskin. Saperti International Child Care, Cambodian Children Dream, dan banyak lagi. Mereka mempunyai dana dan organisasi yang tersusun di peringkat antarabangsa.

Penulis cuba menghubungi dan mendapatkan maklumat perjalanan semasa daripada mereka. Disamping itu Ustaz Khairozi menguruskan bersama Kumpulan Al Rahman Kemboja. Penulis juga menghungi Hj Hassan seorang wakil Mufti Kemboja di Ulu Tiram Johor. Selain itu Hj Abdullah di Rawang yang berniaga lembu di Kemboja banyak memberikan tip yang berguna kepada penulis.

Perjalan kami di tetapkan pada ….. kami bertolak bersama Timbalan Pengarah Tn Hj Markom, dan 5 orang suakarelawan. Kami sampai jam 5.00 petang dengan penerbangan  dari LCCT ke Phnom Phen. Saya bercadang membuat tinjauan dahulu dan pasukan pentadbir akan menyusul selepas kami uruskan segalanya. Akan tetapi hebatnya Tuan Haji Markom kerana beliau bersedia untuk mengikuti sendiri perjalanan yang mencabar sebagai anggota pasukan rintis. Dalam usia beliau yang begitu kami amat hargai kerana sanggup bersama dengan kumpulan rintis.

Sampai di sana kami disambut oleh Pengerusi dan guru madrasah Al Rahman. Kami makan disebuah restoran dan terus menginap disebuah rumah tumpangan. KAmi mengambil 5 bilik dan harganya semalam adalah USD 72 bagi semua bilik. Selepas berehat dan solat kami bertolak ke Madarasah Alrahman untuk makan malam jam 10 malam. Itulah makan malam kami yang pertama.

Kami mendapat taklimat dari pengerusi Alrahman Kemboja tentang misi dan sumbangan yang dilakaukan oleh pertubuhan itu. Selain daripada membangunkan madrasah pertubuhan ini banyak membantu penduduk kampung membangunkan perigi bagi kegunaan rumah penduduk. Harga sebuah perigi sekitar 400 USD. Kami dibawa ke kampung Chenang untuk melihat sendiri kehidupan penduduk dan perigi yang mereka bina. Gambar di bawah adalah rumah kampung yang pertama kami singgah di kampung Chenang.

Saya berbincang dengan dengan sahabat pemandu saya iaitu Ustaz Zuhdi mengenai kehidupan di Kemboja yang banyak berubah melebihi lawatan pertama saya.  Terutama bagi penduduk yang miskin. Apa yang dapat saya simpulkan adalah kedaaan yang amat menyedihkan kerana mereka telah benar-benar terpisah akibat dari peperangan dan survival bangsa.

Penduduknya ramah dan dalam keadaan kesempitan hidup yang maha dahsyat. Penulis sempat bermesra dengan penduduk sambil memberikan roti. Dapatkah kita kesan antara mereka ada seorang yang yatim piatu di mana ibu dan ayahnya mati akibat kemalangan dan sekarang menumpang dengan nenek yang juga dalam keadaan kesusahan. Lihatlah keriangan mereka tanpa melihat masa depan yang perlu mereka lalui. Dan orang sekeliling yang berusaha untuk menyuap mulut mereka untuk membesar. Mungkin keadaan di tempat kita amat jauh berbeza.

Sentiasa mengharapkan bantuan antarabangsa tidak menyumbang kepada pembangunan minda penduduk. Saya mencadangkan ada beberapa projek yang sesuai seperti yang sedang dibuat oleh rakan-rakan saya dari Kuala Lumpur iaitu pawah lembu. Sistem pawah lembu boleh membantu penduduk dan juga gerakan Alrahman. Beliau juga mengingatkan saya tak boleh beri banyak lembu kerana ibubapa akan memberhentikan anak mereka dari sekolah jika lebih dari 3 ekor lembu dipawahkan kepada sesuatu keluarga. Itu ingatan ikhlas daripada UStaz Zuhdi.

Ini rumah kedua yang penulis singgah dan sempat masuk ke dalamnya. Juga di Kampung Chenang. Rumah ini diberikan oleh Arahman sebuah perigi untuk kegunaan beberapa rumah yang berhampiran.

Ustaz Zuhdi juga ada mencadangkan kepada saya bahawa boleh diusahakan pembelian tanah wakaf untuk Alrahman dengan membeli ladang getah di Kampung Cham. Kerana hasil getah banyak dan boleh membayar gaji guru secara berterusan tetapi dananya banyak sekitar RM50-60 ribu.

Ini adalah sebuah rumah penduduk janda yang kematian suami. Tinggal bersama ibu yang juga janda. Terlindung di sebelah kanan adalah dapur tempat mereka masak. Sebuah periuk lauk dan sebuah belanga nasi. Bersama beberapa keping pinggan dan cawan. Bila saya buka bolehkah kita bayangkan apakah yang dimakan oleh seorang muslim begini. Kami cuma dapat memberikan beberapa puluh dolar untuk mereka hidup seminggu.

Dalam gerakan dakwah kepada makanan Ustaz Kamarudin juga ada menyarankan agar membina sebuah bakeri bagi menyediakan dan mengedar roti yang halal di kalangan orang muslim. Dan dana yang di perlukan sekitar RM 20 Ribu. Makanan suci dan halal adalah survival kepada penduduk Islam.

Lawatan Ke Kampung Ustaz Mahir.
Kami membuka sekolah dengan gaji guru selama setahun

Gambar di bawah adalah rumah orang kampung lain di mana terdapat juga sebuah perigi yang disumbangkan oleh Arrahman. Tn Hj Markom memberikan duit dan roti kepada penduduk.

Dalam taklimat yang diberikan Alrahman selain menguruskan sekolah-sekolah dasar agama kepada penduduk Islam mereka juga menyumbang perigi kepada kampung-kampung daripada sumbangan masyarakat antarabangsa. Akan tetapi kumpulan dakwah Islamiah tidak boleh dibandingkan gerakan antarabangsa yang lain kerana mereka mempunyai dana yang besar. Malah membuat hospital atau bantuan kesihatan kepada semua penduduk tanpa mengira kelompok.

Malangnya bagi aktivis Islam mereka hanya menumpu kepada orang Islam sahaja. Jadi masyarakat mempunyai tanggapan Islam itu untuk Islam dan kumpulan antarabangsa untuk semua. Mereka menjadi murtad hanya kerana mendapat atap zink dan dinding zink daripada pertubuhan antarabangsa. Saya tersandar mendengar penjelasan ini dan menginsafi bahawa kemiskinan itu membawa kekufuran. Memang betul.

Sarapan pagi di rumah imam Klang Sbaik dan keluarga mereka


Melawat muzium dan dan perjalanan balik
Senarai Peserta:

1.     Tn Hj Markom Bin Giran  Timbalan Pengarah Pelajaran Johor
2.     Tn Hj Md Kasim Bin Md Noah Ketua Sektor Jaminan Kualiti
3.     Hj Khalil TKS Sektor JAminan Kualiti
4.     Us Khairozi Mohamad Sektor Pendidikan Islam
5.     Hj Thazali Imam Sukarelawan
6.     Hj Aziz Sukarelawan
7.     Hj Azim Sukarelawan
8.     En Ahmad Othman

Tiada ulasan: