Selasa, 25 November 2014

Api pokok Tualang

Fiksyen Paranormal 2;

Jangan cakap besar jika berhadapan dengan musuh.

Malam itu malam berinai abang saya, kebetulan abang saya  berkahwin dengan gadis sekampung yang jugan saudara mara kami. Saya, masa itu masih kecil. Rasanya hujung tahun 60an. Biasanya berinai rumah perempuanlah yang paling meriah. Ada marhaban, berzanzi, bercukur jambul dan berinai kecil.

Saya dan beberapa rakan pergi kerumah bakal kakak ipar saya sekadar memeriahkan suasana. Pada mulanya kami datang lepas magrib bersama dengan orang tua-tua. Rupanya mereka tidak balik kerana terus membantu memasak makanan dan berjaga malam. Pada peringkat awal majlis, kami tidaklah menghiraukan sangat kerana asyeknya bermain. Permainan yang amat popular ketika itu adalah bermain perang. Getah bulat diletakkan ditangan kiri, dan peluru yang kami gunakan akar rumput tutup bumi yang dikerat seinci dan dilipat dua. Budak yang besar gunakan akar mempelas.

Saya masih teringat  bebola merah yang tergantung dipentas kugiran habis kami jentik dengan peluru akar kacang sampai bersarang. Tidak sempat menunggu malam lansung telah habis dikeroyok oleh budak-budak.


Setelah majlis tamat dalam keadaan menjadi sunyi barulah kami sedar hari telah larut malam. Bagaimanakah kami hendak balik kerumah. Kebetulan rumah saya adalah yang paling jauh anggaran satu kilometer dari rumah pengantin.

Saya, Lam dan Ghani, kami bertiga kebetulan rumah berdekatan. Terpaksa balik juga malam itu. Perjalanan dari rumah pengantin mula-mula melalui kebun getah, menyusur denai lalang melalui bawah pokok Tualang, mendaki bukit, menurun semula barulah sampai kekelompok 6 buah rumah kami bertiga.

Kami bertolak anggaran jam 11 malam. Lalu dicelah kebun getah itu pun kami telah seram terasa macam ada sesuatu mengikut dibelakang. Kami terpaksa melintasi kawasan lalang yang ada pokokTualang, kawasan itulah tempat yang paling menyeramkan. Walaupun kedaaannya terbuka dan dipenuhi dengan lalang, tetapi pokok Tualang yang tinggi itu amat menakutkan kerana kebetulan pokok itu berhampiran dengan gaung kampung. Jalan denai itu dipenuhi dengan lalang.



 “Ada orang ikut kita, jom kita menakal”. Ghani memberikan cadangan kepada kami bertiga. Kami mengikat secekak lalang dikanan dengan secekak lalang dikiri. Dengan tujuan jika ada yang berlari tentu akan tersandung lalang itu dan jatuh. Itu memang cara biasa kami dikampung menyakat orang.

Setelah membuat halangan lalang dibeberapa tempat kami menunggu dihujung laluan berdekatan dengan pokok Tualang. Bunyi lebah di atas pokok itu berderu-deru dapat kami dengar kerana suasana agak sunyi ketika itu.


Kami terdengar bunyi macam beberapa orang berjalan menyusuri denai kami. Bunyinya macam ramai tetapi tidak dapat pula melihat bentuk tubuhnya dari arah belakang kami. Kami yakin itu adalah rakan-rakan kami yang lain yang terpaksa balik dan mengikut kami dari belakang. Kalau budak perempuan lagi baik tentulah ada yang terkencing kami sergah malam ini. Kami semakin seronok menunggu. Makin hampir semakin perlahan gerakannya, semakin senyap pula bunyinya. Tiada pula yang kedengaran terkena perangkap kami tadi. Tapi masih bergerak ke arah kami. Tiba-tiba pergerakan itu terhenti.

“Dia orang dah takut tu. Jom kita sergah” Lam pula memberikan cadangan. Dalam kumpulan kami Lamlah yang paling berani kerana fizikalnya kuat dan berbadan tinggi. Rumahnya bersebelahan rumah saya. Kami serentak menyergah sambil ketawa. Gempita bunyinya padang lalang itu. Suara kami boleh didengar bergema hingga ke kepala gaung.


“Tak ada yang lari atau terjerit. Mana pergi budak-budak tadi”. Kami menjadi hairan. Suasana menjadi sunyi. Kami berpandangan. Perasaan takut mula menyelinap. Semacam ada bau wangi dibawa angin yang bertiup.  Dari gaung dihujung padang lalang. Ada kedengaran bunyi seperti sekawan babi berlari-lari ke arah kami. Mengharung lalang tebal itu menuju ke pokok Tualang tempat kami menunggu.

“Babi, ingatkan orang tadi” kata Lam. “Jom balik”. Ada sesuku padang lalang lagi terpaksa kami lalui, bunyi macam babi tadi terus mengikuti kami, tetapi selari dengan denai lalang itu. Semakin lama semakin kuat. Tiba-tiba timbul api merah dari arah bunyi tadi. Adalah sebesar buah kelapa.


“Wah bapak hantu pulak” kata Ghani. “Mari kita gayung dia. Dia tak tahu aku ni abang tiri dia.” Kata Ghani angkuh. Kami sama-sama mengayung hantu itu dengan Jurus Qulhu yang diajar Kiayai Sahuri, bapa angkat saya. Hantu itu jatuh dengan mudah. Dengan bunyi menjerit lari ke baruh arah gaung.

Kami terdengar bunyi macam beberapa orang berjalan menyusuri denai kami. Bunyinya macam ramai tetapi tidak dapat pula melihat bentuk tubuhnya dari arah belakang kami. Kami yakin itu adalah rakan-rakan kami yang lain yang terpaksa balik dan mengikut kami dari belakang. Kalau budak perempuan lagi baik tentulah ada yang terkencing kami sergah malam ini. Kami semakin seronok menunggu. Makin hampir semakin perlahan gerakannya, semakin senyap pula bunyinya. Tiada pula yang kedengaran terkena perangkap kami tadi. Tapi masih bergerak ke arah kami. Tiba-tiba pergerakan itu terhenti.

“Tengok, aku dah cakap dengan aku jangan main-main” Kata Ghani makin angkuh. Kami beransur berjalan semula. Sudah hampir melintasi padang lalang, tiba-tiba suara mengilai yang teramat kuat datang dari tempat api tadi jatuh. Kali ini semakin besar dan ngeri bunyinya. Kami cuba mengayung lagi tapi tidak menjadi pulak. Kami ketakutan cabut lari. Kami berlari ke arah bukit, bunyi hantu itu terus mengejar. Kerana bukit itu tinggi kami terpaksa berhenti rehat dipuncak bukit dekat pokok Kerdas, kebun Pak Long.

Hantu itu tertinggal jauh dibelakang. Kami cuba mengayung dari jauh. Setiap kali kami mengayung dia jadi semakin besar dan bunyi lalang itu macam dilanggar sekawan kerbau. Berpusing-pusing cahaya itu terkena jurus kami tapi naik semula lebih besar tetapi tidak keluar dari kawasan lalang. Berlegar-legar dikawasan pokok Tualang. Akhirnya kami mula mendapat keyakinan apabila semput berlari semakin berkurangan. Kami memberikan serangan balas dengan serentak. Berpusing-pusing dia kebelakang. Saya cuba memerhatikan bentuk api yang mengganggu kami tadi, rupanya seperti nyiru yang besar, menyala dan belengkar api merah.

Setelah beberapa minit bertarung dari jarak jauh, hantu itu macam beralah dengan kedegilan kami. Bunyi lalang sudah semakin kurang dilanggar. Api itu bergerak ke arah pangkal pokok Tualang. Berputar putar dan naik mengikut batang Tualang itu, makin lama semakin tinggi. Akhirnya sampai kepucuk pokok Tualang. Besarnya hampir separuh daun pokok Tualang itu. Dalam kegelapan malam kami lihat pokok Tualang itu macam kepala orang memakai kopiah merah.

Kami memerhatikan dari pokok kerdas. Bila kita lihat hantu itu tidak lagi menjadi ancaman kami dan kami tidak berupaya untuk mengalahkannya. Kami beransur menuruni bukit itu dan berpecah kerumah masing masing. Saya tiada masalah kerana dirumah saya dari jauh api lampu minyak masih bernyala terang kerana malam itu malam berinai. Rombongan menghantar tadi ramai lagi yang masih berborak dibalai penanggah. Masih lagi ramai yang bersenda gurau sambil membuat kerja masing-masing.

“Kenapa muka engkau pucat, bergaduh kat baruh ke tadi?” Pak Usu saya menegur.
“Kena kejar hantu,” jawab saya rengkas.
“Hai aku ingat engkau yang jadi hantu, malam ini engkau pula kena kejar hantu, pelik.” beberapa orang tua mentertawakan saya.

“Kat pokok Tualang tu dia kacau kita orang balik,” saya menjawab rengkas. “Ini mesti engkau berdajal , biasanya benda tu tak pernah pulak mengacau budak-budak. Aku dah berpuluh tahun tinggal kat sini.” Kata Pak Andak pulak.

“Sudah, pergi basuh kaki, cuci muka, tukar baju, dah macam anak terbuang rupa engkau tu.” emak saya membebel.“A da makanan dekat penangah tu minta dengan mak andak” sambung emak lagi.

Setelah menukar membersih diri dan menukar pakaian saya menghampiri orang-tua-tua yang nampaknya berminat dengan cerita saya malam itu. Walaupun saya nakal tapi sekampung kami sekeluarga. Mereka sayang dan manjakan saya. 

(Saya kehilangan semua itu apabila saya dewasa. Saya sering bersedih dikubur mereka setiap kali menjelang raya kerana saya masih merasakan  kasih sayang itu bila melihat pusara mereka, lebih-lebih lagi yang tidak dijaga.  Saya merasakan mereka hidup dalam minda saya. Mereka adalah rakyat yang miskin harta tetapi penuh kasih sayang dan persaudaraan. Hari ini kita semua kaya dan berharta tetapi miskin dan kekeluargaan  kasih sayang bersaudara. Dimana silapnya.)

Saya buka tudung saji, ada kopi O sejuk, kuih bingka ubi yang Mak Usu buat, ada kuih deram gula Melaka yang sangat sedap. Ada kuih sum-sum kegemaran bapa saya. Baru saya terasa lapar, umph sedapnya jika kita makan dengan kasih sayang. Sekian.


Tiada ulasan: