Ahad, 15 Jun 2014

Misi Solo Khidmat Masyarakat Ke Kampuchia

K12 Community Service
Misi Solo  Khidmat Masyarakat Ke Kampuchia 
(26-28 Okt. 2012)

Haji Md Kasim Md Noah AMN,PIS.

“Tidaklah berlaku kebajikan itu pada hati yang keras”. Saya teringat ingatan khatib dalam khutbah hari raya pagi tadi. Saya teringat Ustaz Samad dari Alrahman Klang Sbaik ,  Ustaz Zuhdi dari UTDA Phnom Pehn  dan Ustaz Mahir dari Kampong Champ yang mengajar di madrasah yang kami buka pada tahun 2010. Ketiga-tiga mereka adalah antara sukarelawan yang menguruskan kehidupan sambil membangunkan masyarakat di Kampuchia.

Saya tidak dapat bersama dengan Pasukan Sukarelawan Kemanusiaan Antarabangsa (PASKA) Jabatan Pendidikan  Johor kerana mereka bertolak lebih awal dan pulang agak lewat melalui Vietnam. Cuti yang panjang tidak ada bersama saya sekarang. Anak perempuan saya menguruskan tiket penerbangan sementara menantu saya menguruskan penghantaran wang perbelanjaan ke Kampuchia bagi memudahkan urusan saya.

Kawan APCEIU saya Mr Chapratana Vice President MOE Cambodia telah sedia menunggu untuk memberi bantuan kepada saya di Phnom Pehn. Misi Kambodia ini sebenarnya adalah kali ke empat bagi saya, sebelumnya saya pergi bersama PASKA JOHOR. Pengalaman bersama pasukan PASKA di Tsunami Acheh, Gempa Padang dan Letusan Merapi serta Pelarian Somalia di Garisha tidak banyak membimbangkan saya berada di Kampuchia. Misi solo berseorangan ini saya namakan K12: Community Service, sempena Asian Pacific Workshop on Education of International Understanding di Asian Pasific Center (APCEIU Korea selatan) yang saya hadiri bersama 28  peserta dari 25 negara pada September 2012 yang lalu.

Dalam perjalanan ke Phnom Pehn saya menemui ramai sukarelawan dari Malaysia yang melakukan ibadah qurban dan khidmat masyarakat di serata tempat di Kampuchia. Antaranya adalah pasukan Kolej Matrikulasi Johor, ALUMNI KISAS. Kerja kemasyarakatan rakyat Malaysia amat membangggakan ada yang bersama pasukan yang berdaftar ada sukarelawan sendiri dan mereka agak hairan kerana saya bergerak secara bersendirian. Saya hanya ingin membuktikan bahawa jika ada usaha semua orang boleh melakukannya.

Cuma perlu ada penggerak yang dedikasi dan ikhlas menguruskan sumber. Masa untuk itu bagi saya telah berlalu. Kita perlu ramai orang muda untuk ke hadapan menongkah cabaran masyarakat antarabangsa.  Kehidupan saya telah di penghujung usia. Mungkin saya tidak punya 10 tahun lagi untuk menjadi pemimpin khidmat komuniti. Cukuplah saya bersendirian menyumbang sedikit harta dengan pertolongan rakan-rakan yang faham akan perjuangan ini. Kita tidak tahu bila kematian itu, tetapi yang kita perlu tahu waris kita belum tentu akan menyumbangkan harta kita ke jalan kebajikan. Jadi lakukanlah semasa kita masih berupaya.

Sampai ke Phom Pehn bersendirian, saya di jemput oleh Ustaz Zuhdi dari UTDA. Chap Rathana dari MOE telah mengaturkan makan malam untuk saya. Saya juga menghubungi isteri yang juga dalam misi pertama bersendirian ke Medan Indonesia. Saya agak risau kerana dia tidak pernah berjalan bersendirian tanpa saya. Ustaz Somad juga menjemput saya ke Klang Sbaik malam itu kerana ada Tilawah Juzu’ Amma anak-anak madrasah.  Saya cuba aturkan yang terbaik.

Saya menginap di Hotel New York. Sambil membasahkan tekak, saya menghalusi pergerakan saya bersama Ustaz Zuhdi, Ustaz Salleh dan Ustaz fadhil. Semuanya adalah sukarelawan Kampuchia dari UTDA. Ustaz Zuhdi dan UTDA telah memulakan kerja-kerja baru bagi membantu puak orang Islam Jahid di Negeri Pursat, 200 km dari Phnom Pehn. Mereka adalah Islam keturunan yang perlukan pendidikan asas. Mereka bukan membawa ajaran salah tetapi mereka tidak pernah mendapat pendidikan  agama sejak nenek moyang mereka dan perlu dibantu. Setakat ini terdapat 107 keluarga yang telah menunjukkan kesungguhan untuk berubah bersama UTDA. Malangnya tidak ada sumber untuk membayar gaji guru bagi pendidikan awal kanak-kanak dan orang dewasa di situ. Buat masa ini UTDA telah menempatkan 2 orang guru secara sukarela.


Malam pertama saya tidak ke Klang Sbaik atau ke rumah Ustaz Zuhdi sebaliknya dibawa untuk makan malam besama State Secretary  Ministry of Ministry Planning,Cambodia dan beberapa staff MOE . Kami dihidangkan dengan makanan eksortik Kampuchia. Saya hanya menikmati ikan patin bakar, kentang goreng dan coca cola.

Sabtu 28 oktober saya bertolak awal pagi selepas menikmati semangkuk Mee Hun Sup yang sangat enak ke Kampong Chnang lebih kurang 100km ke utara Phnom Pehn. Sebelum bertolak saya masih dapat menemui ramai rakan Malaysia di lobi hotel. Antaranya kumpulan EZQurban, Kumpulan Madrasah dari Kuala Pilah  dan Pahang, Wakil pengurusan Qurban Bank Alrahji. Mereka diuruskan oleh beberapa badan NGO di Kampuchia. Dan kebanyakannya tertumpu ke Kampong Champ. Ada kumpulan yang kecil ada juga kumpulan yang besar menggunakan bas. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia.  Tetapi, saya terkilan kerana sumber tidak diagihkan samarata. Itu masalahnya, kita mengikut apa yang diaturkan oleh agen tempatan.


Sampai di Kampung Orung daerah Kampong Trolat dalam Kampong Chnang Province. Saya lihat ramai kanak-kanak dan orang kampong telah bersedia dengan balai warna merah. Majlis hari ini dilakukan di hadapan pejabat UTDA . Saya disambut oleh ketua kampong En Abdullah, Imam masjid En Sulaiman dan tuan rumah yang menjadikan tingkat bawah rumah mereka sebagai ibu pejabat UTDA. Saya di hidangkan dengan air kelapa. Kami bersama sama menjalankan ibadah qurban 2 ekor lembu, yang disumbangkan oleh 14 bahagian rakan-rakan saya dan mengagihkan makanan kepada kanak-kanak  dan roti kepada kaum ibu.

Saya mengambil kesempatan semasa mereka menyediakan makanan kenduri kampong untuk melihat sumbangan perigi. Perigi pertama di sumbangkan kepada 5 keluarga di Kampong Suai Bakang. Perigi ini di sumbangkan oleh Hj Md Salleh Kulai dan En Mazlan SBP. Perigi kedua adalah perigi batu sedalam 15 meter bagi 4 keluarga di Kampong Sedan dan perigi ketiga adalah di Kampong Chung So untuk 7 keluarga sumbangan dari SMS Mozac Melaka. Sebelum kembali saya solat zuhur bersama wakil mufti Kampong Chung So dan naib imam sebelum kembali untuk jamuan makan. Saya sempat untuk menziarahi keluarga miskin di sekitar kampong dan menjengah madrasah yang menemberi pendidikan kepada 100 orang kanak-kanak oleh 2 orang guru sukarela yang dibiayai oleh UTDA 2. Saya berdoa agar air perigi ini akan berterusan mengalir seperti mengalirnya pahala kepada orang yang menyumbangya.

Sampai semula ke tempat jamuan saya melihat hidangan yang serba ringkas. Sebahagian dari penduduk dan kanan-kanak telah makan. Sekawah nasi telah habis. Tinggal sebahagian untuk kami yang lewat. Sebelum makan ada sedikit ucapan dari Ustaz Zuhdi dan majlis telah melantik saya sebagai penasihat kepada UTDA. Saya sangat terharu dengan pengiktirafan ini dan menjadikan saya teruja untuk lebih membantu masyarakat melalui UTDA.


Jamuan makan amat ringkas. Ada nasi, daging panggang, ikan panggang, sup serai daging, hirisan mangga dalam air garam sebagai pembuka selera. Tidak ada lada membuatkan kurang menarik bagi saya. Tetapi sayalah orang yang terakhir sekali menghabiskan hidangan kerana saya sangat menikmati hidangan bersama masyarakat kampong. Saya fikir selera ini adalah kerana keberkatan 14 orang yang melakukan qurban.


Saya juga sempat membuat sumbangan beberapa bulan gaji kepada seorang guru yang mengajar kelas awal kanak-kanak di Madrasah Kampong Pursat. Saya berharap lebih ramai yang dapat membantu saya meneruskan sumbangan gaji guru di sana. Perjalanan kali ini tidak mengizinkan saya ke Pursat. Saya percaya saya akan datang lagi untuk melihat sendiri perkembangan sekolah dan pendidikan di Kampong Pursat yang diceritakan itu. Saya berbangga misi solo saya kali ini telah melebihi dari sekadar melakukan ritual qurban kepada fakir miskin malah dapat menyumbang juga kepada sumbangan perigi air bersih, gaji guru kelas awal kank-kanak dan pendidikan agama. Juga sumbangan pendapat untuk membaiki pengurusan kewangan UTDA dan projek kehidupan kepada ahli. Saya percaya jika program ini dapat dilaksanakan oleh semua ahli dan sukarelawan UTDA,  kawasan  itu akan berubah kepada yang lebih baik lagi. Terima kasih kepada semua penyumbang. Tuhan sahaja yang dapat membalasnya.
Malam terakhir saya di Phnom Pehn saya berkesempatan untuk bertemu satu lagi kumpulan dari Yan, Kedah yang baru sampai dan akan ke Kampung Chnang untuk lakukan qurban. Alhamdullillah tetapi saya dapati semuanya adalah kumpulan lelaki dan wanita yang agak berumur.

Kita memerlukan sukarelawan yang lebih muda dan bertenaga,   Saya sempat bertemu dengan Rombongan Pelawak Osbon dan seorang pemuda bernama Azli dari Pulau Pinang yang juga melakukan kerja khidmat masyarakat secara berseorangan. Bagi saya pertemuan dengan En Azli dari Pulau Pinang itu adalah peringatan tuhan kepada saya. Pertama kali beliau melakukan aktiviti secara berseorangan. Beliau memberitahu saya beliau tidak suka publisiti dan penghormatan masyarakat. Kedua, beliau adalah orang muda yang mempunyai hubungan di peringkat antarabangsa seperti Cina dan pemimpin tertinggi kerajaan tempatan. Saya percaya beliau adalah salah seorang anak Malaysia yang hebat melakukan kerja sosial di Kampuchia  dan mendapat kepercayaan pemimpin tempatan. Raya Haji tahun lepas saya amat mengkagumi pemuda-pemuda Turkey bersama IHH di Kem pelarian Somalia terbesar di dunia yang boleh menjadi perantara semua aktiviti di Garisha. Hari Raya Haji tahun ini, Tuhan telah menemukan saya dengan seorang pemuda Malaysia yang juga sehebat pemuda Turkey tetapi beliau berseorangan di Kampuchia. Syabas Malaysia anda boleh melakukan khidmat masyarakat di mana sahaja.

Tiada ulasan: