FIKSYEN KLASIK 5
“Tuhanku yang Esa, bantulah
hambamu yang kerdil ini menyusur galur hidup yang tinggal sedikit. Tuah ini
telah berkhidmat setia kepada Paduka Raja bukan kepalang khidmat. Kasih tuah
pada Duli Tuanku bukan sebarang kasih. Dari tamat berguru hinggalah kesaat ini,
Tuah ini belum merasa erti senggangnya. Dihambat beban istana yang semakin
sarat. Menyantun Melayu yang semakin lelah.”
“Tidak terfikir akan Sultan
atau para pembesar memberi ruang walau sedikit untuk Tuah ini bersujud dan
berlangir diri. Tidak cukupkah lagi beban yang ditimpa jemala siTuah ini?
Setiap yang berat pada Tuahlah disandar. Datang yang elok pada dagang jualah
kurnia.”
Tuah termanggu sejenak. Itulah
bisik hatinya sebaik sahaja Tun Mamat habis menceritakan helah dan akal fikir
untuk mengadap Paduka Raja. Mustaid susun bicara, elok khabar duduk perkara,
jelas helah rencana Puteri Gunung Ledang hendak dipersembahkan kepada Paduka
Raja, Tun Tuah tersenyum. Senyuman yang dibuat-buat.
Tun Mamat berasa cukup gelisah
akan menung Tun Tuah. Apakah salah khabar bicara atau ada yang tidak molek
susunan kata? Bagai ada cacat celanya. Perkara besar ini jika tidak berhemat
gugurlah maqam perajurit Melaka. Hilang maruah Melayu nusantara.
Ada pun Tun Mamat ini
laksamana muda yang dicatur Bendahara Paduka Raja untuk mengiring Tun Tuah
tuntas melaksanakan titah Kebawah Duli Tuanku Sri Sultan Melaka meminang Puteri
Gunung Ledang. Siapa pun Puteri ini, dia
hanya cerita orang istana yang menjadi warna mimpi Paduka Sri. Akan Tun Tuah jua
diminta mengepala panji, sedang Tuah hanya seorang laksamana tempur yang tidak
pernah alah menjaga kota bukan menteri penjaga adat negeri.
Rencana Tuah yang berkhemah
di Jeram Berangin telah menjadi. Helah Tun Mamat dikerah naik ke Puncak
Mahligai untuk mencari puteri seorang diri telah berhasil. Seperti faham
langkah dan pencak srikandi, seperti tahu kalam telah tersusun rapi, Tun Mamat
pulang membawa khabar yang panjang berjela. Madah kononnya kalimat puteri disampaikan
kepada Tuah Bistari agar mendapat akal untuk mendatang sembah ke hadapan Paduka
Seri.
“Janganlah bergundah gulana
lagi adindaku. Bukankah siTuah ini telah memberi akal bicara buat adinda untuk
bersendiri ke puncak sana. Apa pun perkhabaran itu akan menjadi hak kita, menutup
akal jauhari, malah tidak siapa berani menyanggah peri.”
“Ini pencak paduka ayahanda
Bendahara, kita hanya menyusun tari. Sampaikan bicara dengan bijaksana, pasti
Melaka ini akan sejahtera.”
“Suratan takdir itulah sebenarnya
laluan semua. Jangan sampai tergelincir iman di dada, jangan sampai berhasad
dengki berburuk sangka, tidak terampun nanti dosa kita.” Tun Mamat masih kelu tidak
terlontar kata, bicara Tuah bersendi seloka guru yang mulia.
Dikhabarkan kepada semua
yang ada di Jeram Beragin itu untuk bersiap siaga, berkemas kulakasar untuk
berangkat turun dari meminang Puteri Gunung Ledang. Sepanjang perjalanan Tuah
banyak berdiam diri. Tun Mamat pula masih mengemaskan cerita, bagaimana hendak
menyembah Paduka Raja. Dia tahu benar bahawa dia seorang sahaja yang mengetahui
duduk perkara, apa yang berlaku di puncak sana dan Tuah pula yang akan
dipersalahkan jika tidak menepati kehendak Paduka Raja dan orang istana. Jika
berjaya akal dipintal maka selamatlah Negeri Melaka. Jika ia jadi sembah
durhaka maka rosaklah bangsa dan nusa.

“Adinda Tun Mamat kudrat hamba ini tidaklah lagi sekuat tenaga muda tuan hamba. Yang ada hanya sedikit akal dan tidak pula hamba tergamak untuk menyembah senda Paduka Sri Sultan. Maka tuan hamba sajalah mengadap ayahanda Bendahara.”
“Paduka Bendahara orangnya
tua dengan siasah, lama dalam juang, subur dengan kasih, iklas mendalam hati.
Tidak menghukum dengan kesumat. Tidak tercabar oleh pesona. Paduka Bendahara
ada hati Melayu, ada jiwa Melayu, ada santun Melayu. Kita sandarkan sahaja
kepada ayahanda Bendahara, Melaka ini. Baik katanya, baik juga kesudahannya.”
Tun Mamat menganguk faham
akan firasat Tuah. Titah tidak boleh disanggah. Setiap titah telah dibicara
pembesar istana yang bijak pandai bermain kata. Cara melaksanalah yang kena dibincang
oleh jelata. Perjalanan turun ini tidak
selancar semasa mendaki dulu. Banyak kali Tuah memohon rehat. Banyak kali juga
Tun Mamat terhenti langkah. Selagi tidak dapat dihalusi setiap kalimat tidak
berganjak mereka berdua. Masing-masing memberi soalan yang perlu dijawab petah,
jika disanggah sembah.
Menurun Jeram Berangin hinggalah
ke Asahan sahaja mengambil beberapa malam untuk berihat. Sampai di Asahan
mereka berpisah dengan Batin penunjuk jalan. Sampai di pinggir kampong mereka
berpisah dengan pembawa bekal, akhirnya mereka sampai di Sungai Duyung bersama hulubalang
pengarak panji. Maka sekali lagi mereka berhenti berihat di tanah datar, di pasir
gigi sungai.
“Adindaku Tun Mamat. Hamba
rasa lengkaplah sudah rencana kita. Baik benar sendi cerita. Cantik benar
tingkah katanya. Cuma halus santunnya, mintalah Paduka ayahanda Mamak Bendahara
untuk menyembah nada bahasa istana. Agar faham para pembesar menjadi sama.
Kerana kanda ini laksamana tua, tidak betah hendak melindung air muka, atas apa
pun bicara hamba, ia tidak akan dinilai saksama. Maka eloklah tuan sahaja
kembali ke istana.”
“Bagaimana akan kita khabarkan
kepada seluruh Melaka, sedang pengarak panji pun hamba tidak dapat menyanggah, tidak
pepat cindai hamba menutup api seekor
garuda.”
Setelah bersolat dan
merehatkan diri Tuah memanggil semua ahli rombongan untuk berkumpul hampir mereka
berdua. Dengan lagak Panglima Tun Tuah berdiri mengeras suara.
“Dengar semua orang Melaka.
Ini Tuah Laksamana Melayu yang setia. Hari ini tugas kita untuk meminang Puteri
Gunung Ledang telah terlaksana. Laksamana Tun Mamatlah waris kita mengadap
Paduka Bendahara. Apa pun maksud rencana
yang dititah kepada kita telah tersurat dan menjadi takdir yang telah ditentukan oleh yang
Esa.” Tuah berhenti seketika dan berpaling merenung muka Tun Mamat. Dahi Tun Mamat
terkerut. Tidak terbaca dia pencak Tuah hendak melepaskan diri dari serkap bala
yang datang. Seperti selalunya Tuah tetap tersenyum.
“Dengar semua orang istana.
Tuah ini ada petunjuknya. Melayu itu bersendi adap dalam tingkahnya. Lihatlah
keris raja di tangan hamba ini. Akan hamba lontarkan ke sungai sana. Jika
timbul maka itulah petanda baik kita semua. Jika tidak maka bererti Melaka tidak
lagi mendambakan kita.”
Habis sahaja berbicara dicabutnya
keris raja, sekilas dilempar ke tengah Sungai Duyung. Berkocak air terkena keris
raja. Berkejaran hulubalang raja ke gigi air. Menyisir keris raja dimuka air, sekilas
nampak hulu berbalam, sekelip lagi hilang di lubuk yang kelam. Tuah tersenyum
memandang Tun Mamat yang berdiri di sebelahnya. Perlahan dia berbisik.
“Ilmu menimbulkan besi ini
tidak sempat kanda pelajari dari Bentara Majapahit.” Terus sahaja Tun Mamat
memeluk erat Laksamana Hang Tuah kerana jenaka itu sebenarnya meruntun hatinya.
Dipeluknya Tun Tuah sambil tersedu menahan air mata. Besar sungguh pengorbanan
seorang laksamana Melayu ini. Sanggup mengorbankan jasa dan penghormatan hanya kerana
satu permainan resam dunia orang istana. Gempita sungguh tempur ini. Besar
sekali hujah pesona hingga terkorban panglima yang banyak jasa.
“Cukuplah, berangkatlah
adinda, terus mengadap ayahanda Bendahara. Sampaikan salam hamba Melayu yang
hina. Hamba sudah cukup puas menabur jasa. Hamba tidak perlu lagi penghormatan
segala. Cukuplah…cukuplah…..” kali ini giliran Tuah bungkam, tidak dapat
meneruskan kata.
Bagai hendak gugur juga air
matanya melihat sedu Tun Mamat ketika mengucup kasih tangannya. Tapi apakan
daya firasat tuanya jelas mengatakan rezekinya bukan lagi di istana. Inilah
denai terbaik bagi mengisi sisa usianya. Mungkin Tuhan memanggilnya pulang
dalam bersedia. Dia ingin kembali ke asal
kejadiannya dengan santun. Dia ingin kembali kepada fitrahnya dengan rukun. Dia
ingin mendekati Khalik dengan tenang. Itu permintaan usul tubuhnya.
Maka berangkatlah Tun Mamat
meninggalkan Tuah yang masih berdiri di atas pasir gigi air. Sayu juga hati
Tuah melihat lambaian anak-anak muridnya yang masih tersedu sepanjang jalan.
Setelah sayup dari matanya, Tuah mengambil wuduk dan bersolat di atas pasir
gigi air. Dia berdoa agar Negeri Melaka menjadi lebih aman dan sejahtera dan
Melayunya terus perkasa. Dia bermunajat agar dia tidak lagi diganggu oleh
segala hal dunia. Dia bersujud agar sakratulnya tidak diratapi sesiapa. Kerana
dia panglima besar yang tidak pernah alah dalam tempurnya.
Selepas solat magrib Tuah
masih berada di gigi air. Selepas solat isyak Tuah masih berada di situ. Tiada
siapa yang menemani panglima besar Melaka yang tersohor serata dunia. Tiada
siapa menyeru lagi namanya. Fahamlah dia bahawa memang itulah takdir baginya. Di
gigi air itulah dia mendalami rahsia menentu masa. Di situlah dia mengenal
hakikat alam. Disitu juga dia mengkagumi
hebatnya makrifat Tuhan. Itulah juga ilmu terakhir diketahuinya, tapi kali ini
tiada murid meladuni.
Dunia ini dilihat semakin nafsu nafsi. Melaka dilihat semakin mengejar duniawi. Istana bukan lagi hak jelata menghamba diri. Pembesar semakin angkuh dengan pangkat dan gelaran diri. Tuah tidak lagi bersendi patuh malah keluarganya pun terlalu rindu akan seorang wali.
“Sesungguhnya Kami telah memberikan engkau kemenangan yang terang* Supaya
Allah mengampuni kesalahan engkau yang telah lalu dan yang akan datang,
mencukupkan kurniaNya kepada engkau dan memimpin engkau pada jalan yang lurus* Dan
untuk menolong engkau dengan pertolongan yang kuat* Dia (Tuhan) yang menurunkan
ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman, supaya keimanan mereka
bertambah dari keimanannya yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan
bumi dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana*” Alfath 2-4.

Sekali lagi dia ke gigi air,
kali ini dengan sekali syahadah, pantas ditekan tangan kanannya ke gigi air
tembus hingga ke pasir. Digengamnya erat pamung keris raja, dikucupnya sekali
disarung kemas, disisip cantik di pinggang. Dia tersenyum melangkah membelah
pekat malam. Seperti harimau mencari sarang. Seperti helang pulang ke gunung. Langkah
akhirnya meninggalkan Melaka tidak dirai sesiapa.
Sekian.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan