Sabtu, 3 Mei 2014

KEMBARA MISTRI KE DAIK/LINGGA KEPULAUAN RIAU

Kembara mistri ke Daik/Lingga Kepulauan Riau
“Bonda Tanah Melayu ini aku datang”- Kasim Noah


Jumaat 29 November 2013

Saya bagun awal pagi, mandi jam 0530 ke Cental Putrajaya, dihantar isteri. Pagi yang hening isteriku macam pelik, nampak berat untuk meninggalkan saya kembara sendiri ke Pulau yang sangat mistri dipanggil Tanah Bunda Melayu. Pulau Lingga di Kepulauan Riau. Kenapa Kota Daik jadi distinasi, saya sendiri tidak tahu. Mungkin juga isteri saya terkilan kerana semalam isteri  Jafni berhajat menghantar kami sampai ke Tanjumg Pinang. Kalau Siti beritahu awal sempat untuk Ana, PA saya menempah tiket kapal terbang ke Senai. Mungkin juga kami tidak bersalaman seperti biasa kerana saya berwuduk. Saya melambai dia hingga ke kaunter tiket. Terima kasih kata hatiku menambah kesanyangan saya pada dia, isteri solehah yang terlalu patuh pada suami.

Naik ERL terus ke KLIA daftar masuk dan solat subuh. Saya masuk awal dan terus naik ke pesawat. Sampai ke Senai Haji Misti telah sampai menunggu saya diluar lapangan terbang. Cantik Airport baru ini lepas dua tahun saya tidak turun ke JB dengan kapal terbang.

Kami cari roti canai di Uda. Saya telefon Zali, beritahu saya akan berangkat ke Tanjung Pinang minta dia aturkan perjalanan dan hotel. Sepatutnya saya pergi dengan Haji Zali dan Haji Misti tetapi kerana mereka ada urusan lain saya mempelawa Jafni. Anak buah saya ini sudah setahun tidak menghubungi saya banyak kali juga saya hubungi tapi tidak berbalas. Saya juga pelik tiba-tiba dia terus bersetuju bila saya menyatakan hasrat ke Daik. Haji Misti pesan 2 keping roti bom untuk saya, wah banyaknya tapi roti canai remaja ini boleh dikata sedap juga dan saya sebenarnya lapar. Makan dengan rendang daging dan teh tarik, 2 keping roti cepat saya habiskan.

Terus ke Jeti dan kami meninggu Jafni. Berbual dengan Misti dan berangkat ke Tanjung Pinang empat orang, saya, Jafni, Siti dan kawan siti Ina seorang pengurus bank. Dua jam setengah ke Tanjung Pinang kami sangat lapar tiada makanan hanya biskut yang diberikan Malindo Air berkongsi 4 orang biasanya dalam feri ada menjual makanan dan air tapi kali ini mee segera pun tinggal satu. Sampai ke Tanjung Pinang, Ishak telah sedia menanti di luar jeti kami makan nasi padang dan daftar masuk hotel Melia. Hari sudah mula petang dan kami berbelanja sidikit disekitar Pasar Baru sebelum malam.

Pak Helmi Kawan Jafni datang dan kami dibawa kerumahnya. Pengetua sekolah pencen kawan Jaf. Pak Helmi berasal dari Dabok pulau Singkep dan Daik/lingga adalah kawasan permainannya kerana dia pernah mengajar sebagai guru dibeberapa sekolah disana. Isterinya juga seorang guru. Pak Helmi mengatakan di Daik ada satu kawasan yang orangnya putih-putih dan anak dara akan mengintai orang asing dari celah dinding rumah. Kata-kata Pak Pelmi menjadikan Siti risaukan Jafni. Saya kata tidak apa kerana saya ada. Pak Helmi juga memberikan daun kering yang pahit untuk ubat darah tinggi dan kecerahan mata, daun sambung nyawa  katanya. Saya ragu kerana semasa menjadi Pengetua sekolah saya tanam untuk ulam dan bukan dikeringkan. Saya ingin melihat pokok sebenarnya. Pak Helmi membawa saya ke dapor rumanya dan pokok ini ditanam di dalam pasu. Oh ini ketum cina kata saya dan ada sepokok di rumah saya di Putrajaya yang pangkalnya sudah sebesar peha. Hampir magrib kami pulang ke hotel, solat dan berihat.

Jafni turun awal kerana Mak Siti kakak angkat isteri Jafni sudah menunggu di lobi dengan suaminya. Kedua suami steri ini pegawai kerajaan yang masih belum pulang ke rumah dengan uniform baju batiknya. Mak siti orang Daik keturunan darah raja katanya. Kemudian Ibu Aishah dari pejabat Keselamatan kawan sosek Malindo saya dan suaminya Pak Akhbar yang juga pegawai kerajaan datang. Saya berikan  old town coffee dan biskut famous emus sebagai buah tangan dari Malaysia. Ibu Aishahlah yang mengaturkan perjalanan saya ke Daik ini kerana suaminya orang Daik.

Kami bertolak dengan dua kenderaan ke tempat makan. Saya teringin hendak makan ketam dan gonggong. Jadi Mak Siti bawa ke Melayu Square. Banyak juga makanan yang kami pesan, kami tidak banyak makan nasi Cuma mak Siti dan Siti sahaja yang makan nasi, yang lain meratah ikan dan ketam yang kami tempah. Cukup mengenyangkan. Serlepas bergambar dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kami berpisah kerana Jafni mencadangkan kami berjalan kaki balik ke hotel menyusur pantai. Cantik tempat makan yang disediakan sepanjang pantai Tanjung Pinang. Ada Banyak Skrin LCD besar disediakan dan kerusi untuk berihat. Satu produk yang baik untuk Tanjung Pinang. Saya rasa lebih 10 tahun saya tidak ke Tanjung Pinang hanya bermain sekitar Batam. Kali terakhir sidang sosek di Batam 2010.


Saya balik awal ke hotel dan berihat Ina dan Jafni terus meronda pekan.



Sabtu 30 November 2013

Saya terjaga bila jam telefon saya berbunyi jam 0630 pagi. Belum sempat saya bangun telefon bilik berdering dan Ina mengajak saya bersarapan saya katakan kepadanya kenapa terlalu awal. Sudah 0730 haji jawabnya rengkas. Rupanya jam telefon saya telah diset secara automatik mengikut waktu Indonesia. sedangkan jam tangan saya masih waktu Malaysia. Parah, lena betul saya tidur.

Kami bersarapan dan meronda sekitar  hotel dan Pasar Baru. Banyak jualan dari telur penyu, ikan kering dan udang kering yang sangat segar hinggalah pada pakaian.  Saya berkenan dengan baju yang cantik tetapi tidak ada saiz, kalau kak lang dan angah yang pakai tentu cantik. Banyak barang boleh dibeli di Tanjung Pinang berbanding Batam. Pilihannya banyak dan cantik. Saya beli sehelai seluar dan sebuah beg untuk kak Cu wiwin. Saya harap dia suka kerana jarang saya beli barang untuk anak saya yang seorang ini kecuali rantai kunci barang koleksinya. Kebetulan masa itulah dia telefon saya katanya sudah sampai ke Gopeng untuk mendaki Bukit Larut. Seronok dia bila dengar saya belikan beg kuliahnya.

Siti dan Ina hantar saya sampai ke feri menuju Daik kami bertolak jam 1100 wib. Ina dan Siti dibawa oleh Icak belanja lagi di pekan dan akan balik ke Setulang jam 0300 petang wib.

Dari Tanjung Pinang singgah di Benan, Rejai, Tanjung Kelit, Pulun, Jagoh dan Buton. Hampir ke Jagoh saya naik ke atas kapal berkenalan dengan beberapa orang tempatan, Saya ditunjukkan Pulau Pandan, Pulau kecil di tengah laut yang kononnya adalah patahan puncak Gunung Daik. Pulau Lingga itu panjang dan kami terpasa berpusing ke Jagoh-Singkep dan masuk ke teluk Buton jeti Daik. Nampak jelas beberapa sisi Daik yang cantik. Kebanyakan masanya diselaput awan. Itulah pantun Melayu.

Pulau pandan jauh ketengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan di kandung tanah
Budi baik tidak di kenang juga.

Sampai ke Jaguh di Pulau Singkep yang bertentangan dengan Jambi. Ada lapangan terbang dari Dabok ke Jambi. Feri express dari Batam ke Dabok. Dari Dabok ke Jeti Jagoh naik motor selama 20 minit dengan bayaran Rp 100 ribu.

Sampai ke Jeti Buton yang sangat panjang saya disambut oleh Jasril dan Khairudin anak saudara Akhbar suami Ibu Aishah keduanya bekerja di pejabat perancang bandar. Banyak motor ojek disini sebagai pengangkutan rasmi. Dan rumah-rumah kebanyakan baik dan mereka bukanlah orang dhaif berbanding tempat lain yang saya kunjungi. Kami terus dibawa ke rumah makan di Daik. Makan rengkas sahaja kerana kami kepenatan.

Terus ke Chalet rp 100 semalam Mak Hajjah Nur ibu saudara Pak Akhbar. Selepas solat dan mandi saya keluar semula menaiki motor ke kawasaan  bangunan kerajaan. Tempat Jasril dan Khairuddin bertugas. Tapak ini dibina sangat baik, betul betul berlatarkan Gunung Daik dan kami rasa sangat teruja berada disitu sambil bergambar. Sepanjang perjalanan di Daik ini saya mendapat jawapan bahawa tiga puncak Daik ini adalah tidak simitri. Setiap sudut mempunyai pemandangan yang berbeza. Dan pada banyak masa sekelompok awan akan menutupi tiga puncak itu. Sekali-sekali ia terang. Kadang-kadang tidak sempat hendak buka kamera sudah tertutup balik, itu sebab terhasilnya pantun Pak Helmi semalam.



Gunung Daik bercabang tiga
Patah satu tinggal dua
Gadis Daik mengada-ngada
Macamlah kita hendakkan dia.


Sebagai tugasan penting kami di Daik saya minta Jafni untuk mendapatkan waktu waktu solat. Kami ke Mesjid Jamek Daik mendapatkan jadual waktu solat.

Zohor 1152, Asar 1517, Magrib 1757, Isyak 1910 dan subuh 0420, Syuruk 0644 begitu catatannya dalam WIB. Kami kebelakang masjid dan menziarah makam Marhum Masjid, Sultan Muhamad Shah (1761-1812) Sultan Kerajaan Lingga (Riau, Johor dan Pahang). Semasa Jafni merakam gambar saya membacakan fatihah bersama Jasril dan Khairuddin. Tiba tiba Jafni menegur sesuatu pengalaman mistri yang aneh. Saya mncari-cari memang kuat tandanya kepada kami berempat. Saya merapati makam Sultan masih kuat kesannya. Dan saya katakan ianya datang dari makan sultan. Kami terus bergambar disekitar makam. Dan sapaan itu hilang begitu saja. Dalam perjalanan ke luar dari makam saya dikesan sekali lagi fenomena tadi tetapi agak sedikit berbeza. Saya berpatah semula dengan dengan Jafni ke makam sultan untuk mengesan dengan lebih jelas apakah tanda itu tadi.

Hari semakin rembang walaupun masih cerah dan belum ada orang yang datang ke masjid. Tapi tanda tadi tidak ada di Makam sultan maka saya tahu ia adalah sesuatu yang ghaib. Saya membacakan beberapa ayat suci untuk orang disana dan bulu roma tangan saya menegak beberapa minit. Jafni hanya mengikut sahaja tanpa saya ketahui dia faham atau tidak bila saya tunjukkan bintat roma tangan saya padanya.

Kami pulang ke chalet, Jasril dan Khairudin berjanji akan jemput kami makam malam selepas waktu isyak. Kami bersiap magrib lebih awal dan saya membuat sedikit tazkirah awal dengan Jafni. Saya minta dia mengira waktu untuk qiamulail dan duha esok berpandukan waktu solat yang kami ambil dimasjid tadi. Terkial kial juga Jafni untuk memahami pengiraan secara falak ini. Masuk waktu magrib kami memulakan program solat 50 kami bermula magrib hingga ke asar esok hari.

Din dan Jas sampai kami berbual sebentar dengan tuan rumah yang minta maaf kerana esok beliau akan ke Tanjung Pinang. Tuan rumah ini akan bertanding Ahli majlis tidak lama lagi. Kami keluar minum teh tarik dan memesan sup ikan siakap tanpa nasi malam itu kerana kami masih kekenyangan. Balik ke penginapan saya menentukan jam saya agar saya dapat bangun untuk Qiamulail. Sempat juga saya menerangkan sebelum tidur beberapa doa yang terdapat didalam kitab yang memang saya bawa dua, satu saya hadiahkan kepada Jafni. Saya mengalih katil tidur arah kiblat agar kami dapat tidur dengan baik malam ini. Saya fadiahkan bacaan quran kepada rijalul ghaib kerana sejak peristiwa senja tadi 2 kali saya diziarahi oleh orang ghaib. Sekali jam lapan ketika kami hendak bersolat dan sekali jam 10 semasa kami hendak bersiap makan malam. Saya tunjukkan kepada Jafni tanda tandanya dan dia mula belajar. Saya pun tidak tahu siapa yang datang tapi saya percaya mereka adalah orang baik-baik. Malam itu saya mengigau kata Jafni cerita mimpi ini saya tidak boleh kongsikan kepada sesiapa. Jafni perasaan dua kali tetapi dia tidak kejutkan saya. Memang Daik ini banyak makluk halus. Semoga esok ada lagi yang lebih menarik.










Ahad I Disember 2013

Saya bangun malam kejutkan Jafni dan kami bersolat malam, baca quran dan berzikir. Saya kuatkan tenaga saya. Qiamulail saya bermula jam 0317 wib waktu tepat dikira Jafni. Subuh 0426 wib dari waktu di masjid semalam. Ayam Mak Hajah Nur berkokok jam 0424 wib. Jafni masih tidak tahu kaitan kokok ayam dan subuh. Saya kata sudah masuk subuh. Jam Jafni baru 0520 waktu Malaysia masjid belum azan. Mana satu yang betul. Ayam Kak Nur, Jam saya, Jam Jafni atau masjid. Pada mulanya kami hendak ke masjid tetapi kami tidak mendengar tahrim, tidak berani saya ke masjid takut sembahyang dengan orang lain. Kami solat subuh berjamaah. Semasa kami hendak memulakan solat barulah azan magrib. Bilal terlambat bangun kata saya.

Kami berbual di verandah lepas solat menunggu duha. Anak Kak Nur bawakan 2 gelas air masak untuk saya minum old town coffee dan biskut sebagai sarapan. Dalam kiraan Jafni waktu duha adalah 0616 wib tetapi saya ragu kerana semasa kami keluar ke jalan lepas subuh tadi, saya rasa matahari sudah tinggi. Jadi saya minta Jafni untuk kira semula. Jafni melihat gambar jadual solat di masjid rupanya waktu syuruk 0544 wib bukan 0644 seperti yang dicatat di masjid senja semalam kiraan Jafni lewat 1 jam. Jadi saya terus berwuduk dan membuat solat duha. Semasa solat Khairudin dan Jasril sudah sampai. Dan kami bersiap untuk makan pagi.

Kami singgah di warung Pak Mahmud dibulatan Daik. Saya makan nasi lemak dengan telur Jafni makan nasi dagang. Nasi dagang disini adalah nasi biasa dengan gulai tamban. Kami berjalan melihat dua buah meriam tembaga satu jantan dan satu betina yang diletakkan dihadapan pejabat kerajaan berhampiran. Sengaja saya tanya Jafni apa tanda yang dikatakan satu jantan dan satu betina itu. Maka keluarlah jawapan yang tidak boleh pakai dan melucukan. Walau bagaimana pun memang ada jantan dan betina daripada bentuk dan bunyi meriam itu secara saintifiknya.

Bertolak ke air terjun Risun perjalanan agak nyaman. Melepasi kampong Pahang saya sudah kesejukan, Jasril memberhentikan motor dan saya mengenakan jeket saya kerana tidak tahan dingin walaupun matahari sudah tinggi. Sepanjang perjalanan saya lihat banyak pokok getah merah yang menjadi pendapatan penduduk tepatan.

Kami melalui jalan becak kerana jalan sedang dibaiki. Beberapa kali juga Jasril mengelak dan menojang kaki kerana semalam hujan lebat. Sampai ke Desa Resun kami membelok ke jalan Air terjun. Subhanallah sangat cantik dan mempersonakan. Ambil masa berehat dan bergambar. Ada pondok pondok berkelah musalah dan 2 bilik tidur. Terfikir saya siapa yang sangup tidur di tempat begini.

Semasa kami keluar dari kawasan air terjun sebuah motor dinaiki  lima sekeluarga sampai untuk berkelah. Suami isteri dan 3 anaknya. Kami bersalamaan dan berkenalan. Itulah keluarga pertama yang datang berkelah di air terjun Resun pagi Ahad ini. Pulang melalui jalan yang sama kami di pelawa oleh penduduk makan manggis yang sedang dipetiknya di pintu gerbang air terjun kampong Resun tetapi kami hanya berterima kasih dan tidak berhenti kerana hujan panas mula turun tanda tidak begitu baik. Saya menikmati sisi puncak  Batu Gajah yang cantik dan sisi Daik yang indah. Cuma awan tetap ada menyelimuti tiga puncaknya. Kadang-kadang tidak sempat hendak keluarkan kamera. Macam malu untuk diambil gambarnya.



Perjalanan ke puncak Daik mengambil masa 7 jam naik dan 7 jam turun dan kena bermalam secara berkhemah. Kena ambil penunjuk arah dari kalangan penduduk tempatan dan mendaftar dengan keselamatan.

Distinasi saya seterusnya adalah makam merah. Makam Yang dipertuan Riau ke X Raja Muhamad Yusof Al Mahdi. Saya singah sebentar dan terus ke Muzium disebelahnya. Saya tertarik dengan koleksi keris dan tulang gajah mena yang terdampar di pantai ada tahun 2005. Malangnya tulang ini tidak diawet dengan sebaiknya dan dibiar reput dipantai baru dipunggut dan dibawa ke muzium bagi saya ia sudah menjadi sampah. Mengikut pembantu kurator Fazli namanya, gajah mina ini berasal dari negeri sejuk dan belum dipastikan spesisnya. Katanya ada lagi seekor juga dikesan terdapar di pantai Daik. Tidak tahu kenapa gajah mena ini memilih Daik untuk mati kerana ia adalah haiwan khutub bertaring dua yang panjangnya tiap satu lebih 1 meter.

Fazli pembantu Kurator itu ramah orangnya dan banyak pengalaman, betul iktikadnya dan pegangannya. Bukan seperti orang muda sekarang. Saya tidak sempat bertemu dengan Pak Sulaiman penjaga makam Yang lebih lama kerana dia sibuk dengan motornya yang rosak. Pengalaman beliau menjaga makam merah banyak mengajar beliau tentang alam ghaib dan khurafat. Jafni mengantuk mendengar kami bercerita di pintu muzium. Keletihan agaknya.

Setelah mendaftar sebagai tetamu muzium saya dihadiahkan kaset lagu Daik. Saya berpisah dengan Fazli dan berbincang untuk pergi ke makam Bukit Cengkih lewat malam ini untuk melihat kejadian ghaib disana. Walaupun Fazli telah berkali-kali menyatakan dia sudah tidak melakukan kerana gurunya telah membawa ajaran yang tidak tepat. Tapi beliau rasa teringin untuk menikmati lagi pusara malam dan masyarakat bunian yang transparen, baik dan menyenangkan. Nyaman pak katanya. Jafni bersetuju cuma Khairudin macam tidak berani kerana malam tadi beliau  juga mengigau seperti saya. Terganggu katanya.

Kami terus kebeberapa tempat lawatan pelancung seperti lubuk papan, istana bilik 44. Dan akhir sekali ke makam Bukit Cengkih. Terdapat 3 makam raja disana raja pertama Sultan Abdurahman Shah (1812-1832) Raja Riau Lingga yang pertama dipanggil Marhum Bukit Cengkeh Putra kepada Sultan Mahmud III marhum masjid, kedua Sultan Muhamad Shah (1832-1841) dan ketiga Sultan Sulaiman Badrul Alam shah 11(1857-1883). Nisan yang cantik adalah raja pertama. Yang di buat bangunan adalah raja kedua. Diluarnya raja ketiga. Seperti biasa sebelum masuk ke makam saya baca doa dan sedekah ayat quran.

Jafni sempat membuka kain kuning penutup kepala raja pertama kerana saya ingin melihat bentuk nisannya. Kemudian selepas bergambar saya kemaskan kembali. Nisan achehnya cantik bentuk seperti makam Tun Habab di Kota Tinggi, setinggi dada saya. Tapi dalam banyak nisan saya lihat Nisan Permaisuri Sultan ketiga mirip nisan bonda saya, saya sangat bangga sekali. Ada satu nisan sebelah kiri makam yang saya sangat tertarik kalaulah saya dapat untuk pasangkan menggantikan nisan ayah saya alangkah baiknya. Saya yakin satu hari nanti saya akan dapat juga. Walaupun nisan acheh dibukit cina Melaka lebih halus buatannya. Tetapi disini reka bentuknya lebih kemas.

Saya masih belum mendapat sebarang tanda keistimewaan disini. Saya rasa kerana banyak yang menghalang. Jasril dan Khairudin berteduh di papan cerita. Jafni sibuk dengan telefonnya. Saya menanggalkan jam tangan dan telefon saya. Saya rasa terhalang oleh alatan penyerap tenaga. Masukkan dalam beg dan saya berikan pada Jafni.

Saya duduk menghadap kiblat atara dua makam berzikir dan berdoa. Saya bela nafas dan jantung saya, barulah saya dapati sesaorang menyapa saya dengan lebut dia seorang perempuan yang santun. Saya melambai kepada jafni suruh duduk dengan saya tetapi Jafni masih bertalifon dan tidak sensitif dia tidak dapat apa-apa. Selang beberapa minit  setelah saya puas berkomunikasi saya minta izin beredar. Saya katakan pada Khairudin dan Jasril. Khairudin berpatah balik ketempat yang sama dan merasai juga keadaan seperti semalam. Dan dia bersetuju dengan saya. Sayang hari ini saya dan Khairudin sahaja yang mendapat fenomena mistri tetapi Jafni agak kurang sensitif. Kompleks makam ini memang menyenangkan. Kerana waktu ini tengahari mungkin kalau malam lebih baik baik lagi. Itulah pengalaman-pengalaman di Daik yang amat berharga untuk saya.

Saya datang ke Daik ini untuk berehat dan saya fikir saya sudah mula menikmatinya. Dan saya cukup rasa seronok. Malangnya Jafni belum cukup halus untuk bersama saya. Tidak mengapalah kerana dia orang muda.

Makan tengahari kami makan gulai asam pedas kepala ikan siakap putih, kata tuan restoran itu hanya terdapat di Daik sahaja. Memang sedap sebab ada jeruk lobak dan nenas serta pedas yang menyengat. Kerana kepala ikan itu besar campur telurnya walau pun kami 4 orang yang kelaparan  tidak dapat habiskan, lebihan asam pedas kami  bungkus untuk Jasril bawa balik ke rumah. Sampai hari esok saya masih terasa keenakan gulai asam pedas orang Daik ditekak saya. Memang sedap.

Balik ke Chalet saya buat solat zuhur, tidur dan solat asar. Walau pun tidur siang saya masih terganggu dan mengigau lagi kata Jafni. Apa yang hendak diberitahu oleh orang Daik masih belum saya jumpa jawapannya.


Jafni telah tamat solatnya dan dia melaporkan kepada isterinya setiap pergerakannya. Malam tadi bila dia beritahu isterinya dia sudah 17 rakaat isterinya ketawa besar. Bila lepas duha tadi dia beritahu isterinya dia sudah 30 rakaat Siti jawab cepatnya. Sebenarnya apa yang saya tujukkan pada Jafni telah siap tertulis dalam garismasa saya yang saya berikan kepada Siti dalam perjalanan ke Tanjung Pinang, cuma saya berpesan jangan beritahu Jafni sehinggalah Jafni balik dari Daik. Alhamduliliah Jafni telah melalui apa yang sepatutnya dia lalui secara praktik dan Siti membaca secara tiorinya. Saya bergurau juga pada Siti agar nanti bila Jafni balik kena periksa satu persatu adakah Jafni telah lulus atau tidak. Kadang-kadang Jafni tertanya tanya gelagat saya dan respon isterinya yang dia anggap misteri. Itulah cara cikgu sains mengajar KBAT kata saya.


Petang itu Khairudin dan Jasril membawa saya ke bukit Ceneng melihat pertahanan 19 meriam kerajaan Daik. Pada salah satu meriam itu tertulis 1783 dan 1797. Meriam terpanjang 2.8m dan 12 cm dipanggil Meriam Tupai Beradu diapit oleh dua meriam Mahkota Raja. Lebih 300 tahun tetapi kata Khairudin kompleks meriam itu baru sahaja dibina kerana sebelum ini meriam itu hanya diletak di tanah dan berkarat. Cantik pemandangannya dengan laut lepas dihadapan dan puncak Daik dibelakang.

Perjalanan balik Jasril menunjukkan rumah Pak Akbar, Rumah beliau dan Rumah Khairudin sepanjang jalan ke Pelabohan untuk melihat rembang matahari. Cantik pandangannya. Kami juga hampir bertembung dengan seekor anak napoh cuba menyeberang jalan. Berhampiran Jeti pulau itu ada Port lama pertahanan kedua kerajaan daik Pulau Morfor katanya. Dulu disitu tinggal orang pandai bernama Datuk Kaya Montel. Jasril menunjukkan pulau kecil yang dulunya tempat penduduk meminjam pinggan mangkuk kenduri dari orang bunian berhampiran jeti Daik. Kami  meninggalkan pelabohan sebelum waktu magrib.


Malam ini secara ringkas kami makan nasi goreng. Dan balik ke chalet kerana Pak Danak seorang guru sekolah rendah sudah menunggu untuk mengurut badan saya. Alhamdullillah selepas berurut dengan Pak Danak badan saya cukup segar untuk menghadapi malam terakhir saya di Daik, Jadikah kami ke makam bukit cengkih malam ini dengan Fadli, tidak pasti. Biarlah dia tinggal mistri. 


Isnin 2 disember 2013

Malam tidur saya diganggu nyamuk. Hujan lebat sampai ke pagi. Saya dapat mimpi yang baik malam ini dan cukup rehat. Saya hairan kenapa saya banyak bermimpi di Daik sedangkan kalau di rumah saya tidak pernah mengingat mimpi walau seminggu satu. Mungkin bila kita cukup rehat minda separa sedar kita banyak yang masuk ke minda separa sedar.

Bangun mandi dan solat subuh, air dingin dari gunung sejuk sampai ke jantung dan saya segar sungguh. Saya keluar ke varandah melihat ayam pak haji riuh rendah kesejukan barulah saya tahu kenapa pak haji biarkan pokok hutan dikeliling chalet rupanya ayam pak haji semuanya tidur diatas pokok.  Ojek sudah sampai untuk menjemput kami Khairudin belum kelihatan. Jasril akan bertolak ke Batam hari ini kerana ada kerja di Jokjakarta. Kami berjanji jumpa di Pelabohan sahaja. Sebaik hujan berhenti jam 0600 wib kami bertolak ke Jeti.

Feri penuh, tempat duduk saya 92/93 malangnya 94/95 adalah sekeluarga dengan dua anak telah duduk di kerusi kami. Jadi saya dan Jafni dapat letak beg sahaja. Mulanya saya duduk juga kerana hendak berihat tetapi  bila anaknya mula muntah saya juga terpaksa duduk dibelakang feri bersama Jafni. Sampai ke Jaguh masih ramai yang turun naik dan hampir 150 orang memenuhi kapal. Saya berpisah dengan Jasril, Ayu dan beberapa rakan pejabatnya yang akan naik feri lain dari Dabok ke Batam dan terus ke Jogjakarta. Terima kasih saya kepada dua orang itu yang sangat membantu perjalanan saya.

Melepasi Tanjung Dato laut bergelora lebih 2 meter. Lebih setengah jam orang tua, muda dan kanak-kanak termuntah. Dibanyak tempat keadaan feri tidak berjalan langsung. Lepas  Tanjung Dato barulah laut teduh semula. Saya berharap ada tempat duduk selepas jeti Pulun. Tapi ramai yang naik dari turun. Mungkin kerana hari Isnin. Jafni sampai ke Tanjung Pinang duduk di belakang feri kerana tiada tempat duduk saya bimbang dia keletihan saya bawakan makanan yang saya beli di Jeti Jagoh. nasi goring melayu macam rasa rumah saya. Sebenarnya kami belum bersarapan. Jafni makan biskut dan air mineral dan menghabiskan nasi goring ikan tamban lebihan saya.

Kami singgah diberapa buah jeti kecil lagi sebelum sampai ke Tanjung Pinang. Kerana laut bergelora saya sampai pada jarak 5 jam 40 minit. Sedangkan semasa pergi hanya 4 jam setengah sahaja. Jadi kami tidak ada masa yang panjang di Tanjung Pinang. Pada awalnya saya hendak tidur semalam lagi di Tanjung Pinang. Memandangkan banyak kerja yang menuggu dan saya perlu benar-benar rehat, saya putuskan balik dengan feri jam 0300 wib. Sempat juga saya beli kain potong untuk isteri. Sampai di Jeti Setulang Siti dan Ina telah menunggu dan terus ke Larkin. Dapat tiket bas dua tingkat Jam 7.30. Saya jangkakan saya sampai sebelum jam 12 malam di TBS. Malangnya. Bas yang dikatakan non stop itu injinnya sahaja yang non stop tapi hentiannya banyak di Skudai, Yong Peng, Seremban ditambah dengan hujan lebat hinggalah saya lena sampai ke TBS jam 1240. ERL sudah  tiada, hendak suruh anak jemput sudah lewat malam. Jadi saya ambil keputusan naik teksi. Boleh pemandu teksi Tanya penumpang hendak ikut jalan mana. Akhirnya saya sampai kerumah dengan bayaran 90 ringgit. Jauh lebih murah bas dari JB ke TBS RM35 dan Tiket kapalterbang Malindo Air ke Senai RM39 ringgit. Malaysia maju kata hati saya. Perjalanan ke Daik tamat di sini dan saya buat kesimpulan sepanjang 4 hari ini saya melalui pengalaman yang INDAH. Walau pun saya tidak berjumpa Kilan Cahaya dan Kilan Samsu di Puncak Daik. Tidak tahulah apa yang dirasa Jafni.

Tiada ketitir menari,
tiada helang menyambar,
hanya haruman pusara
dan ayam jaguh Kak Nur
yang terawal subuhnya.

Daik yang malu ditutup selimut zaman,
sukarnya mencari sisi ingatan dan
kemanusiaan terkaku menolak rakus masa,
Bunda Tanah Melayu ini terlalu sedikit meninggalkan
ceritera malam untuk seorang cucu yang rindu.

Daik/Lingga

Tiada ulasan: