Jumaat, 31 Oktober 2014

Pontianak Kubur


Fiksyen paranormal 1: 

Asas Mengenal Hantu.

Tahun 1966. Malam itu ada keramaian dipekan kami, saya dengan abah pulang agak lewat, kakak, abang  dan lain-lain bergerak pulang dalam kumpulan masing-masing. Biasanya abah akan balik kemudian kerana hendak pastikan ahli keluarga pulang dahulu barulah abah pulang. Sebagai anak kesayangan abah, saya akan balik bersama abah.

Kami menyusuri jalan keretapi sejauh setengah kilometer. Sebelum memotong melalui denai kecil ke arah jalan kekampung kami. Diantara jalan keretapi dan jalan kampung itu ialah kawasan paya dan kami terpaksa meretasi kawasan kawasan kubur. Kubur kubur itu nampak cantik  pada waktu malam,  lebih lagi kalau kena dengan cahaya bulan. ada berbentuk bulat dan besar ada berbentuk panjang. Kami lalu di situ siang atau malam tidak menjadi masalah kerana kawasan kubur  itu bukanlah kawasan berhantu bagi penduduk kampung kami.

Semasa hampir memasuki denai dan meninggalkan rel keretapi yang kami lalui saya dapati abah berhenti sekejap macam menunggu sesuatu dan memegang tangan saya. Kemudian membaca sesuatu. Saya hairan keadaan abah luar biasa malam itu. Suasana malam cukup cerah kami berjalan tanpa menggunakan lampu picit. Bulan baru naik di atas kepala dan cukup cantik malam itu. Biasanya keadaan begitu tiada hantu. Kerana semangat bulan biasanya memberikan kekuatan kepada roh kita.

Abah berdehem dehem dan mengeluarkan sesuatu dari bajunya dan memegang di tangan. Dia berhenti memasang rokok. Cahaya mancis tadi melawan cahaya bulan yang agak terang. Kami memasuki kawasan perkuburan. Kubur pertama lelaki sebelah kiri, kuburnya . Kubur kedua sebelah kanan. Keburnya agak besar dengan batu marmar yang cantik. Kubur orang kaya agaknya. Kami terus menuruni bukit. Kubur ketiga juga kubur lama yang ditinggalkan. Disebelahnya ada kubur besar berbentuk bulat dan luas.Perempuan mati mengandung.

Tiba-tiba abah berhenti dan menghembuskan asap rokoknya. Saya lihat di atas kubur itu ada benda yang bergerak-gerak berhampiran dengan batu nama. Abah masih berhenti. Saya mendekatkan diri. Dan memegang baju abah. Saya tidak bertanya kerana itu pesan abah.



“Nampak tak,” abah bertanya. Lidah saya kelu hendak menjawab sapaan abah.

“Itu namanya pontianak. Dia takut pada lelaki”. Abah terus membaca sesuatu.

“Engkau jaga diri,”

Tiba-tiba Pontianak yang tadi duduk mencangkung menghadap kubur itu, mula berdiri membelakangkan kami, saya lihat badannya gemuk. Dan rambutnya panjang. Saya tidak melihat mukanya kerana dia seakan membongkok kearah kubur dan selari dengan arah kami berdiri.

“Jauh-jauh aku nak lalu,” kata abah kepada makhluk itu.

 Makluk itu membongkok sekali lagi kearah kubur itu dan menangis. Seperti orang perempuan yang menangis teresak-esak. Sayu dan menyeramkan. Saya hairan kenapa dia tidak menyerang atau menakutkan kami.

Hantu itu berpusing-pusing dikawasan hadapan kubur. Dalam beberapa detik macam mengganggu kami melalui denai kubur itu. Kalau kami teruskan perjalanan tangan hantu itu pasti dapat mencapai saya. Denai itu hanya satu. Di sebelah kanannya ada 2 lagi kubur yang agak rapat dan memanjang. Jika kami hendak melintas juga kami kena berjalan diatas 2 kubur yang panjang itu. Saya percaya abah tidak akan berbuat begitu kerana abah sentiasa menghormati kubur.

Abah menyeluk jeketnya dan mengeluarkan sesuatu berwarna merah dan membakarnya dengan puntung rokok. Bila abah melontarkan kearah hantu kubur itu. Berdentum dentam bunyinya memecah keheningan malam.  Rupanya abah membawa mercun sebagai senjata. Hantu itu tidak berganjak sehinggalah asap mercun itu hilang. Cuma dia jadi semakin besar pada pandangan saya. Mungkin dia berdiri sempurna berbeza dari awal tadi dia berkeadaan rungkup dan menangis. Saya Nampak lengan kanannya menekup muka. Dia menangis terlalu membentak. Bau hanyir tercium dihidung saya, sangat hanyir macam hendak muntah baunya. Saya mula berasa takut dan menunggu disebelah abah. Abah masih tidak bergerak. 

“Pergi-pergi,” kata abah macam menghalau anjing.

Makluk itu tidak menoleh dan perlahan lahan bergerak megikut denai kami, selang beberapa kubur dia melencong kekanan dan melayang ke arah rumah mayat yang agak jauh dengan hilaian yang menyeramkan. Bau hanyir semakin menipis, mungkin hilang oleh bau belerang mercun ketika kami melalui kubur berhantu itu.

Abah menarik tangan saya dan kami meneruskan prjalanan. Beberapa kubur kami lalui dan sampai kejalan tanah merah memasuki kampung kami. Wah leganya rasa saya. Kerana kalau dikejar ketika kami berada dijalan ini mudah kami lari berbanding ketika berada pada laluan denai tadi.

Jalan kampung kami menyusuri kawasan kubur itu dan membelok ke sempang tiga satu ke rumah kami dan satu lagi ke rumah mayat itu. Ketika melalui sempang tiga itu saya memandang kearah rumah mayat. Saya masih terdengar bunyi hantu tadi menangis dikawasan rumah mayat itu.

“Biarkan dia, dia tak usik kita,” kata abah.

“Kenapa abah bakar mercun tadi?” saya bertanya.

“Ikut kepercayaan cina hantu takut dengan mercun, kebetulan Ah Seng beri abah masa dipekan tadi. Jadi abah bakarlah sekeping ada lagi ni dalam kocek ni.” 

“Apa kaitan mercun dengan menghalau hantu, hantu takut mercun ke?, kita tak takut mercun, jadi nak takutkan hantu kena pakai mercun  ke?” saya tanya abah.

“Abah rasa engkau takut tadi, kalau abah seorang, abah lalu aje tak payah buang mercun.” 

“Sebab kita takut hantu, sepatutnya kita tak perlu takut pada hantu, hantu dengar mercun pun dah takut dengan kita sepatutnya hantu lebih takut. Cuma kita saja yang takut hantu,” 

“Mercun tak dapat menghalau hantu cuma bunyi mercun itu akan menjadikan kita berani. Engkau pun tengok tadi hantu tu tak bergerak pun, lagi marah ada la,” 

 Sambil berbual kami telah sampai ke atas bukit ada dua bukit lagi sampailah ke rumah saya. Saya terus berbual dengan abah  malam itu pasal hantu dan bagaimana hendak menghilangkan rasa takut. Abah menegur saya dengan lojik yang cukup mudah.

"Hantu tadi tak gigit kita ke Abah?"
"Baguslah kalau dia gigit,engkau jadi orang pertama dalam dunia yang kena gigit hantu."

“Berapa orang saudara mara engkau yang mati kena cekik hantu?, berapa ramai orang kampung engkau mati kena gigit hantu?”  Betul juga, jawabnya, tiada bisik hati saya.

“Tapi kalau mati kena makan buaya, kena gigit harimau, dipatuk ular itu adalah”

“Habis macamana nak takutkan hantu?” saya menyoal lagi.

“Pertama kita kena beranikan diri kita, hantu itu adalah syaitan yang dijadikan dari api, dia tidak boleh menyentuh kita. Kalau kita langgar dia pun tembus saja, “ kata abah.

“Kedua kenalah bacakan ayat quran yang boleh mengusir dia, kita makluk dijadikan Allah dia pun makhluk juga, Kejadian kita lebih mulia dari kejadiaan mereka, jadi mintalah pertolongan dari Allah,” abah menyakinkan saya.

“Kalau baca ayat pun hantu tak lari nak buat macamana abah?” saya bertanya lagi.
“Kalau hantu tak lari, engkaulah lari, He he..,” abah ketawa.

Bila sampai rumah emak dan ahli keluarga telah tidur. Saya basuh kaki di pelantar  dan masuk tidur. Malam itu saya mendapat pengalaman paling berharga bersama abah. Saya membesar bersama orang yang berani kerana tahu membina logik mudah yang boleh menguatkan hati. Saya bangga dengan abah. Sejak peristiwa itu saya jadi berani. Sebenarnya hati saya tidak seberani abah.Sekian.

Tiada ulasan: