Khamis, 22 Januari 2015

PUAKA JERAM

Fiksyen paranormal 6: PUAKA JERAM:

KALAU BERKHEMAH, CARI TEMPAT SESUAI

Bulan Mach 1991, saya diminta memberikan ceramah kepada perkemahan 90 ahli pasukan kadet daerah. Mereka berkhemah berhampiran jeram padang tembak. Kawasan itu memang cantik berhampiran kaki gunung.

“Tuan datang malam dan kami sediakan khemah untuk tuan bermalam bersama kami”. Itu pesan Cikgu Yus, jurulatih kadet daerah kepada saya. Saya membawa anak sulung saya yang baru berumur 5 tahun. Saya singgah magrib dirumah Pak Man sahabat berburu saya. Kebetulan Pak Man mempunyai kebun durian disekitar jeram itu. Kami pernah bersama Perhilitan mengikat gajah liar pada batang merbau betul-betul ditepi kebun durian Pak Man.

Selepas sembahyang isyak saya bertolak. Kami melepasi kawasan kampong 15 minit kemudian. Memasuki lorong kawasan padang tembak. Kami berhenti sebaik sahaja berada diatas landasan kapalterbang lama. Kawasan lapang dengan cahaya bulan penuh berlatar belakang gunung kelihatan amat cantik. Along gembira dalam kereta. Saya keluar dari kereta dengan Pak Man. Berehat sebentar dan memberi salam pada hutan yang akan kami tempuh. Jam baru melepasi pukul 8.30 malam. Masih awal. Itulah perangai saya. Berhenti di mana-mana sesuai untuk mendapat petunjuk ghaib sebelum memasuki kawasan  berburu atau hutan terutama waktu malam. Beri salam dan minta perlindungan keselamatan dari fitnah jin dan syaitan, lebih lebih lagi jika bawa anak kecil atau orang kurang semangat. Doa Almukminun biasa saya pakai.

Oleh kerana kawasan itu berpasir banyak lorong yang mengelirukan kami. Beberapa kali Pak Man memberhentikan kenderaaan dan mencari arah jalan. Kami tidak dapat mendengar apa-apa kecuali bunyi cengkerik yang meragukan. Akhirnya tidak berjumpa arah masuk yang tepat. Saya yakin saya telah sampai dikawasan yang dituju tetapi tidak mendapat petanda perkhemahan pelajar disitu. “Man kita diganggu, dia orang tak kasi masuk ni. Apa hal pulak budak-budak kat dalam tu.” Saya memulakan perbualan.

“Engkau tunggu kereta, jaga Along aku nak cari arah.”

Saya mengambil senapang isi 5 peluru penuh, saya selit Kundi Rancang di pinggang, capai lampu picit ubat 3, dan bergerak menyusur denai.

“Engkau jangan bergerak dahulu bila aku beri isyarat engkau ikut dari belakang” pesan saya pada Pak Man. Pak Man menggangukkan kepala. Saya bergerak sambil menyuluh kekiri kekanan dalam jarak 50 meter dari kereta. Saya memadamkan lampu. Cuba menghayati malam. Cuba mencari tanda kenapa kami tersesat. Saya cuba membaca ayat Qursi beberapa kali dan memohon pertolongan Allah. Saya yakin saya tidak sesat tetapi yang paling saya yakin sesuatu ditempat itu telah melindung laluan kami. Dia tidak benarkan kami masuk, mungkin sebab saya bawa budak kecil, agaknya. Saya berdiri mengadap gunung, Baretta automatik laras bertimpa kejap ditangan kanan saya. Saya cuba berdialog.

“Aku minta izin lalu untuk berjumpa dengan anak-anak aku, yang aku telah berjanji pada mereka. Apa-apa urusan engkau beritahu aku malam ini, sebelum tengah malam. Aku tunggu engkau.” Angin berderu-deru, saya terdengar sayup-sayup lolongan dan tangisan arah pukul 3. bulu roma saya tegak, saya menoleh kiri dan kanan. Saya nampak cahaya merah besar belanga turun naik pada batang kempas arah ke Jeram agak jauh. Saya angkat senapang membidik kejap.

“Kalau engkau tidak beri laluan aku tembak.” Saya merungut sendiri, saya berselawat. Sambil melepaskan jurus Anfal, saya menunggu lembaga itu naik ke atas atau bergerak. Itu pesan ayah saya kalau hendak menembak jangan main hentam saja. Pastikan sasaran ada peluang untuk lari. Saya melepaskan kunci senapang, belum sempat saya menarik picu, makluk itu bergerak naik dan melayang kearah jeram, terus hilang disusul agin yang segar. Saya telah mendapat petunjuk.

Saya beri isyarat lampu pada Pak Man. “Ada benda tidak baik dekat dalam. Kawan kita tak kasi masuk. Engkau ikut lorong kiri. Nanti belok kanan arah jeram. Aku rasa mereka dekat situ.”

Kami meneruskan perjalanan akhirnya sampai dikawasan perkhemahan pelajar. Saya disambut dalam keadaan yang muram. Budak budak kadet masih belum bersedia dikawasan ceramah.

“Terima kasih tuan kerana datang, kami sedang menghadapi masalah.” Terang Cikgu Yus.

“Ada gangguan dari petang tadi 2 orang kadet kita dalam kemah truma jumpa hantu semasa mandi jeram senja tadi. Khemah tuan saya sudah siapkan. Tuan nak teruskan program kita ke?” sambung cikgu Yus.

“Kalau budak sudah makan, suruh yang sihat sahaja, yang tidak sihat beri pelepasan. Minta Sarjan Rosli ikut saya, saya hendak periksa parimeter.” Saya arahkan Pak Man bawa Along berehat dikhemah. Saya capai Baretta laras 2 dan bergerak kepintu masuk.

“Tuan kita tidak ada senjata malam ni. Masa solat isyak tadi senjata M16 kami semua load sendiri. Jadi semua senjata kami buka dan simpan takut meletup.” Sarjan Rosli memberi penerangan. Saya percaya dengan pengalaman sebagai askar dan banyak menyertai pertempuran di hutan, ingatan Sarjan Rosli saya rasa tepat. Dia mungkin risaukan Baretta saya, saya tidak memberi respon.

“Boleh Sarjan bantu saya tutup semua parimeter, tidak ada keluar masuk sampai subuh esok.”

“Baik tuan, saya pun bercadang begitu cuma tunggu tuan sampai sahaja.” Setelah menutup pintu masuk saya dan Sarjan Rosli bergerak ke arah kiri. Saya mulakan dengan selawat, 4 kali fatihah. Kami menyusur parimeter mengelilingi kawasan perkhemahan sehingga selesai. Setiap penjuru kami kunci dengan doa Fathah, Waqiah, Samsi dan A’ala. Di beberapa tempat angin sekejap kencang, sekejap perlahan. Hutan amat sunyi malam itu. Cengkerik pun tidak berbunyi. Saya berasa ragu, hati mula mengesyaki sesuatu akan berlaku.

“Awak dah cek pokok siang tadi Jan, takut ada dahan mati di atas khemah”.

“Sudah tuan kawasan perkhemahan ini telah disahkan selamat. Angota regular kami yang buat clearance.”

“Terima kasih Jan, angin tidak baik saya bimbang dahan mati timpa khemah pelajar.” Saya mengukuh hujah. 

Setiap kali membawa pelajar menjalankan aktiviti luar keselamatan pelajar adalah yang paling diutamakan. Kita tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini. Lebih lebih lagi melibatkan pelajar dan guru. Bagi askar tetap, mereka memang terlatih menghadapi sebarang kemungkinan.

Saya dan Sarjan Rosli sampai dikawasan perhimpunan dan ramai pelajar dan guru telah berkumpul. “Petang tadi seorang pelajar kita mandi dekat jeram bawah sana. Beliau terjumpa seorang nenek perempuan bermata merah, memandang tepat kearahnya. Pelajar ini terkejut dan berlari balik ke kem. Mereka sedang berehat didalam khemah. Keadaan dia baik.” Sarjan Rosli melapor.

“Senja tadi semasa kita berjamaah magrib dan bertahlil, set radio yang saya ikat pada tiang khemah jatuh berderai. Kami tidak boleh berkomunikasi. Tapi saya sudah maklumkan pada ibu pejabat.” Kopral Amin menambah.

“Ada budak kadet tercium bau kemiyan sebelum magrib tadi.” Sambung seorang jurulatih. Masing-masing bercerita pengalaman yang menakutkan. Tiba-tiba seorang kadet menunjukkan sesuatu arah jeram, lembaga putih melintas katanya. Jurulatih serentak menyuluh kearah yang ditunjukkan oleh kadet tadi. Tiada apa kelihatan.
Jam melepasi 10 malam, biasanya waktu hantu keluar. Bunyi angin semakin kuat, ranting-ranting patah kedengaran diluar parimeter. Semua kadet senyap, bergerak duduk berhimpit-himpit. Mereka ketakutan. Cikgu Yus mengarahkan guru pengiring dan pegawai regular mengawasi pelajar, ada yang bergerak mendekati khemah yang ada pelajar tidak sihat tadi. Keselamatan pelajar diutamakan. Angin bersiul-siul, semua mata menumpu kearah jeram, bunyi air macam ada orang mandi, ada suara menjerit-jerit, sayup.

Tiba-tiba sehelai selindang putih panjang 2 depa terbang menuju parimeter. Ada kadet yang mula terkencing dalam seluar. Saya masih mencari arah tindakan.

“Awak semua takut kan? saya pun takut juga. Tapi percayalah hanya Allah yang memberi ketenangan didalam hati orang-orang mukmin. Dan Allah jua yang menambah keimanan kepada iman yang sedia ada.” Ayat 4 Surah Alfathir.

Ada pelajar yang menekup muka, ayat kursi mula dibaca beramai-ramai. Saya mencapai Baretta laras 2 dan bergerak mencari arah, itulah senjata yang masih ada, saya yakin senapang pusaka ini tidak pernah diganggu musuh. Saya terus bergerak menghampiri parimeter arah sungai, saya kekiri lembaga itu kekanan, saya kekanan dia kekiri. Sesekali berhenti dan bergoyang-goyang didahan kayu. Bentuk tidak jelas. Cikgu Yus setia dibelakang saya menyuluh lembaga itu. Saya dapat perhatikan bentuknya seperti asap tebal, bukan kain. Saya berselawat dan berzikir dan terus berdialog sambil menggengam kemas Baretta laras dua. Apa sahaja yang menyerang saya, saya tidak teragak-agak melepaskan tembakan. Itu semangat saya.

“Pergilah, kami cuma singgah, selesai urusan kami akan pergi.”

Lembaga itu sekejap hilang dikanan, sekejap timbul diperdu pokok. Saya terus mencari dengan muncung senapang. Tiba-tiba, bunyi jeritan kuat bergerak jauh kearah jeram padang tembak. Dan perlahan lahan kain putih itu naik ke atas pokok dan menghilang. Suasana kembali senyap. Saya bergerak kembali kepada kelompok pelajar. Saya memberi sedikit motivasi kepada pelajar, sebenarnya lebih kepada menguatkan semangat pelajar.

“Kita sebenarnya berada dikawasan keras. Ini pengalaman yang bagus. Awak semua memang berani mencari pengalaman baru, satu hari awak pasti bangga kerana berada disini. Perkhemahan kita telah mengganggu kawasan mereka. Mereka minta dihormati. Lain kali masuk rumah orang salam dulu minta izin.” Pelajar mula tenang dan faham.

“Makluk halus ini tidak berjasad. Kejadian mereka tanpa zarah. Walau pun awak nampak dia terbang menuju ke arah awak. Dia hanya boleh merempuh awak dan menembusi awak. Sekali lagi saya jelaskan, dia hanya bayang yang tidak merosakan fizikal kita. Dia tidak ada jirim. Ini awak kena yakin.” Pelajar nampak bersetuju.

“Awak perasan tak, apa yang berlaku tadi semuanya diluar parimeter yang dipasang oleh jurulatih kita, maksudnya awak selamat disini bersama cikgu awak. Tengok anak saya nyenyak tidor dalam khemah.” Saya cuba menambah keyakinan mereka. Saya terus memberi realiti, pelajar dan guru telah mendapat keyakinan. Selepas sebelas malam keadaan mula tenang kembali. Pelajar mula mentertawakan kawan kawan yang ketakutan, masing-masing cuba buktikan seluar mereka tidak basah. Yang kebasahan tersipu-sipu malu.

Guru-guru sudah menyediakan minum malam untuk pelajar. Jurulatih mengingatkan pelajar jangan suka sangat, pelajar yang selesai minum malam bergerak ke khemah masing-masing. Muka sudah mula merah. Jam hampir 12 malam keadaan khemah pelajar menjadi lebih tenang. (Saya bangga dengan jurulatih yang melayan budak sekolah kita macam anak sendiri, penuh kasih sayang dan pengorbanan. Masih ramaikah spiceis ini abad yang akan datang??, mereka orang biasa yang tidak mengharap penghargaan)

“Hantu tak keluar lepas jam 12 malam, tuan.” Sarjan Rosli buat lawak.

“Pandailah awak, yang awak buat khemah dalam kawasan hantu buat apa?” saya menemplak beliau.

“Silap radar tuan” Semua yang ada tergelak.

“Tak mengapalah kalau sudah silap itu, kita minta maaf sahaja, budak yang kena tu mintalah tangkal sikit jangan sampai melarat nanti” pesan saya.

Kerana malam itu saya sebagai tetamu, mereka menyediakan hidangan istimewa untuk saya. Dari dalam unggun api Kopral Amin mengeluarkan beberapa ketul ubi bakar yang disalut lumpur sungai. Bila dibuka kulitnya, keluarlah aroma wangi dan berasap segar, cecah sambal gedok yang dibekalkan oleh Pn Ruby isteri Cikgu Yus dari rumah. Goreng ikan masin cekik leher. Kena dengan air kopi panas.

“Hidangan khas untuk tuan” Umpphhh, sedapnya. Sekian.