Sabtu, 27 Disember 2014

Selekoh maut

Fiksyen Paranormal 3:
(Tawakal kepada tuhan)

Tahun 1980, Saya bertugas sebagai sukarelawan rukun tetangga, mulai sembilan malam kami ditugas meronda taman perumahan dalam kumpulan, seronok juga dalam 2/3 bulan sekali kami dikehendaki bertugas dipondok Rukun Tetangga. Biasanya saya akan mengambil jadual 9 malam hingga 2 pagi, hari esok akan diberikan cuti tanpa rekod. Saya telah maklumkan kepada pejabat saya bahawa hari esok akan bercuti kerana tugas rukun tetangga. Setelah balik bertugas saya kembali kerumah sewa saya dan berfikir jika saya terus tidur tentulah hari esok saya kurang bernilai dan saya akan kembali juga ke pejabat. Itulah kebiasaaan saya bila tiada tugas penting dirumah.

Saya mengambil keputusan untuk balik kekampung saya yang jaraknya 33 batu dari rumah sewa saya. Saya meninggalkan resit cuti rukun tetangga kepada rakan sebilik saya dan terus mencapai beg galas saya untuk pulang kerumah emak. Saya melihat jam sudah pukul 3.15 pagi. Saya membaca doa perjalanan dan bergerak. Hati saya malam itu bercampur baur. Saya tidak berasa takut kerana saya tahu bahawa hantu tidak mengganggu lepas tengah malam. Jam 3 pagi ini biasanya urusan malaikat atau jin yang baik-baik. Begitu di ajar oleh guru saya. Cuma jin pun ada nakalnya itu saya maklum sangat.


Lepas separuh perjalanan tiada yang mengganggu saya, kereta pun tiada, lori pun jarang-jarang. Dari jalan utama saya akan membuat satu potongan jalan rentas ke kempung saya melalui kawasan jirat. Dan sebelum jirat itu ada kawasan paya yang sunyi dan jalannya ada beberapa selekoh yang merbahaya. Tapi sebagai penungggang motor seperti saya yang selalu berulang alik, selekoh itulah yang menarik dan mencabar. Terutama selekoh ‘S’ yang betul-betul ditengah paya itu. Jalannya bermula dari jalan yang  lurus dan ada selekoh ‘S’ sebelum sampai kejambatan . Mengikut cerita jambatan itu selalu orang jumpa hantu yang duduk diatas palang jambatan dan mengganggu orang yang pulang malam. Dalam hati saya hantu sudah tidur pada jam begini. Saya tersenyum memujuk hati.


Di jalan lurus sebelum selekoh saya nampak berbalam tanda selekoh di hadapan. Selekoh tersebut agak redup kerana dikiri kanan jalan selekoh itu ada pohon getah yang condong kearah jalan, ia seakan-akan memasuki terowong. Saya agak seram. Saya melihat sesuatu yang berwarna putih dihadapan. Macam ada benda besar bergayut pada dahan pokok getah itu dan berjuntai sampai kegarisan tengah jalan berwarna putih dan panjang. Ia bergerak pendulum kekiri dan kekanan. Saya berfikir dan menganggap dahan getah yang patah dan terjuntai berayun ditiup angin.  Bila saya meninggikan lampu motor saya lihat dia bergerak ketengah jalan memberi ruang antara dia dan batang getah, ruang hanya suku jalan ditepi. Bila saya turunkan lampu, dia bergerak semula ketepi. Saya naikkan lampu dia bergerak semula ketengah. Saya sudah semakin hampir.

Saya membuat keputusan untuk terus melanggar benda itu. Warna putih kian jelas macam kain. Ketika saya buat keputusan itu dia bergerak perlahan-lahan  cuba menutupi ruang jalan saya. Saya mengemaskan gengaman panduan saya. Menundukkan kepala kehadapan saya. Saya merancang gerakan celok yang baik kerana selekoh itu saya rasa saya tahu. Meninggikan lampu membunyikan hon motor dan melepaskan jurus Al-Anfal. Saya rempuh.

Ketika betul-betul berada ditempat makluk itu bergayut, dia berayun perlahan kearah badan saya. Saya melajukan kenderaaan untuk mendahului pergerakan hayunannya. Sekiranya saya lambat saya yang melanggar dia. Jika saya cepat dia yang akan merempuh saya, saya lebih selamat begitu fikir saya. Tetapi jika saya terlalu laju saya tidak akan dapat melepasi selekoh tajam dihadapan dan mungkin terbabas. Saya membaca zikir ayat empat kiayai Salleh dan mencabar makluk itu. Saya bermain dengan lampu. Betul kiraan saya dengan kelajuan yang menasabah dan ruang yang kecil saya melepasi bayangan itu. Makluk itu merempuh bahagian belakang dan saya rasa belakang saya macam disapu angin. Saya lepas makluk itu dan mengambil selekoh dengan selamat, satu selekoh kiri dan kemudian satu selekoh kanan. 


Seterusnya jalan lurus menaiki bonggol jambatan pula saya sudah mula ketakutan. Apa pula atas jambatan nanti. Kenderaan saya berasa berat dan perlahan. Saya menegakkan badan saya menarik nafas dan meraba beg saya. Saya harap saya ada membawa senjata pusaka arwah ayah bersama, sekiranya ada penunggu jambatan. Benda apa mengganggu saya tadi, saya cuma kata mungkin dahan pokok yang terjuntai. Ah pedulikanlah. Saya memujuk hati agar tidak terlalu takut. Terlepas satu bala.

Ada dua lagi halangan, jambatan dan jirat. Jarak kerumah emak masih ada lebih kurang 6 batu lagi. Tiba-tiba saya mendengar seperti  kain kanvas yang ditiup angin di belakang saya. Kuat bunyinya seperti kanvas lori yang terbuka talinya berdebus, debus. Saya menoleh cermin sisi kebelakang dan melihat jika ada lori dibelakang saya. Saya lihat 2 lampu merah mengekori saya, ah ada lori tapi tidak terdengar bunyi kerana bunyi menderam motor fikir saya. Saya memperlahankan kenderaan api itu makin hampir dan besar tapi tidak memintas motor saya, ah biarlah aku ada kawan juga.



Saya melepasi jambatan tiada apa-apa yang menakutkan. 50 meter dari situ saya membelok ke jalan pintas, kawasan sempang itu sunyi dan memasuki kawasan jirat, sebaik sahaja melepasi selekoh selepas sempang. Saya memperlahankan kelajuan, membelok masuk kejalan pintas, tiba-tiba saya melihat kabus yang amat tebal menghalang saya. Memenuhi jalan dan saya berada dalam kabus tidak tahu arah. Saya membuat pemberhentian kecemasan. Injin motor saya mati,  saya menungkat motor dengan kaki. Saya meraba beg sandang dan mencari senjata pusaka. Saya bersedia atas segala kemungkinan. Wah kasar juga permainan tempat ini fikir saya.


“Apa benda yang mengganggu aku malam ni”. Saya cuba menghidupkan injin dalam keadaan cemas, tidak boleh hidup, tapi lampu motor masih bernyala dan memberikan cahaya dan saya dapat melihat kabus dengan jelas. Saya bertenang. Dan Menunggu lori di belakang saya tadi. Cuba mendengar bunyi.

“Eh tiada bunyi lori. Tadi ada lori belakang aku. Mana dia pergi. Tengah malam macam ini takkan dia berhenti dekat jambatan.” Saya dihantui ketakutan. Saya percaya ganggguan ini cuma hendak menguji saya. Biarlah saya tidak akan mati atau dirosakkan. Fikir saya.
“Cheh Hantu rupanya” saya merungut dengan surah AnNas saya berludah kekiri.

”Walau apapun engkau aku berdiri dalam kalam Allah, engkau tidak akan dapat merosakkan aku walau sedikit pun. Engkau hanya boleh menakutkan aku dan aku sentiasa berlindung dari pada tuhan dari berasa takut kepada makluk ciptaannya,” saya mencabar makluk itu. Beristifar beberapa kali.

Saya menarik nafas, menghidupkan injin motor, sekali tendang sahaja motor hidup semula, saya memulas minyak berderum deram, menghilangkan rasa takut. Saya rasa saya kuat, perlahan lahan kabus yang disuluh lampu motor itu menipis dan saya melihat lorong jalan tar menghala kawasan jirata beristiqfar lagi dan bergerak perlahan lahan. Melepasi selekoh berkabus itu saya memasuki kawasan jirat, terang oleh beberapa lampu dan jelas kelihatan binaan kubur yang luas itu. Cantik malam n kenapa saya di ganggu.

Saya melepasi kawasan kubur dan semakin berani, saya sampai kerumah ibu dan tidur semula, jam baru melepasi jam 4.00 pagi.

Esok petangnya saya minta izin dari ibu untuk pulang awal kerana saya katakan saya akan singgah dibeberapa tempat sebelum balik. Ibu berpesan agar berhati hati memandu. Saya berhenti semula dikawasan kabus pagi tadi dan berhenti ditepi jalan. Saya lihat keliling dan berdiri betul betul ditengah jalan dimana saya berhenti malam tadi. Saya memandang keliling, ada gaung dikanan saya dan laluan kerbau disebelah kiri.

“Oh aku melintasi laluan kerbau malam tadi. Mungkin tempat ini sejuk dan memang ada kabus.” Fikir saya. Bahaya juga kalau terbabas malam tadi.

Saya meneruskan perjalanan dan berhenti sekali lagi dikawasan selekoh tempat kain tergantungan malam tadi. Saya perhatikan disekitar tidak ada satu daun pun diatas jalan, tidak ada dahan yang patah. Memang ada dua dahan getah yang menganjur sampai ketengah jalan. Memang cantik kalau ada benda bergayut. Saya mula seram.

“Engkau ganggu aku malam tadi ye,” Saya berkata-kata. “ Dari pokok getah ini kecil aku dah lalu sini tidak ada apa yang mengganggu. Aku tidak ganggu engkau, engkau jangan ganggu aku. Aku ada urusan aku, engkau ada urusan engkau. Kalau engkau ganggu juga aku lawan” Itu serapah diajar arwah bapa saya.

Tiba tiba saya lihat kesan tayar kereta membrek cemas dan kesan tayar itu juga terdapat diatas rumput tepi jalan. “Ada kereta terbabas,” fikir saya. Saya tidak dapat cam sama ada berlaku pagi tadi atau sebelum saya melalui kawasan itu.

“Aku minta jangan engkau merosakkan manusia dengan cara engkau ini tiada faedahnya, ingatlah pengadilan tuhan.” Saya berdialog pada makluk disitu macam orang gila. Selepas menghadiahkan fatihah dan berdoa agar orang lain tidak terganggu di kawasan itu saya meneruskan perjalanan pulang kerumah sewa saya petang itu. Selepas peristiwa itu saya tidak diganggu lagi walau dalam waktu apa pun saya melalui kawasan itu.

Saya sampai kerumah sewa saya jam 5.30 petang dan berehat bersama kawan, hari itu rakan rumah saya goreng jemput tepung ikan bilis dengan teh panas. hebat juga hidangan petang orang bujang. Sekian.








Selasa, 9 Disember 2014

Hantu Sungai

Fiksyen paranormal 4:

(Bertenang menghadapi situasi sulit)


Tahun 1978. Saya mendapat berita kematian anak saudara dikampung lewat 2 hari kerana kegagalan komunikasi ketika itu. Saya bergegas balik dari Kuala Lumpur manaiki motor kapchai bersama Nan. Nan adalah rakan sekuliah saya yang kebetulan tinggal dikampung bersebelahan kampung saya. Kami dipisahkan hanya ketika memasuki sekolah  yang berbeza. Dia di Kuala Lumpur saya di Utara. Malam itu hujan sepanjang jalan kami kebasahan. Selepas menghantar Nan kerumahnya. Saya pulang kerumah sekitar jam 9.00 malam. Keadaan rumah agak suram Emak masih ditikar sembahyang membaca Surah Yasin. Abang juga membaca Alquran diruang tengah rumah.

Saya fikir mereka menghadiahkan roh arwah yang mati lemas disungai ketika menjala ikan bersama rakan sebaya. Arwah ini baru berusia 15 tahun. Baru lepas menduduki peperiksaan SRP ketika itu. Dia pergi menjala ikan disungai berhampiran bersama rakan-rakan. Semasa menyeberangi sungai yang separas leher dalamnya, arwah telah tergelincir dan lemas. Usaha mencari agak lama dari pagi hingga ke petang. Sebelah senja baru dijumpai orang. Mayatnya dibawa  ke Hospital untuk bedah siasat dan dibawa balik kerumah pada malamnya. Esok pagi baru dikebumikan.

Saya pulang itu dikira malam ketiga. Apa yang menarik kepada kematian arwah adalah darah keluar dari mayat hampir sepanjang malam. Satu bantal dan beberapa helai kain batik dipenuhi darah. Din abang arwah menanam bantal tersebut disebelah pohon buluh dibaruh rumah saya. Masa memandi pun banyak darah keluar walau pun arwah tidak cedera, hanya lemas mengikut cerita emak.

Emak menasihatkan saya agar tidur diruang tengah rumah. Biasanya saya tidur dikatil saya dibahagian anjung rumah. Tapi saya berkeras untuk tidur di atas katil bujang saya. Kerana saya terlalu penat.


Emak macam tidak begitu menyukai kehendak saya. Saya kurang pasti kenapa. Mungkin ada benda yang tidak diberitahu kepada saya. Saya masuk tidur lepas makan dan berbual-bual melepas rindu kepada ibu. Saya yakin sekitar 10.30 malam ketika rumah masih terang benderang kerana ibu  hendak meneruskan bacaan Alqurannya. Dalam keadaan keletihan saya terus terlena. Saya terjaga ditengah malam. Keadaan agak samar kerana api telah di padamkan. Ketika itu saya tidur mengiring kedinding dan membelakangkan ruang anjung. Saya terdengar orang berjalan. Sambil menyeret benda, sreeet sreet….. , saya camkan bunyinya. Ia seperti orang menarik tikar. Kemudian berhenti betul-betul disebelah katil bujang saya. Buuuk… bunyi seolah-olah bantal diletakkan diatas tikar itu. Kesak kesik ….., macam bunyi orang tidur dilantai tepi katil saya.


“Ada orang tidur, berteman juga aku malam ini,” fikir saya.

 Saya ingin melenakan semula mata. Tapi saya terfikir siapa pula orang itu. Abang biasanya tidur diruang tengah, Ibu tempatnya di ruang dapur. Siapa pula yang datang menumpang tidur. Kalau ada anak buah atau saudara yang datang tentu tidur dengan abang di ruang tengah atau bersama ibu. Saya terlupa hendak bertanya dimana mayat arwah dimandikan. Saya agak tempat tidur saya itu samaada tempat mandi atau tempat meletak mayat arwah. Mungkin orang meletakkan mayat diatas katil saya dan memandi serta mengkafankan diruang anjung ini. Itu sebab emak tidak berapa suka saya tidur disini. Cuma dia  tidak ceritakan kepada saya pada malam itu. Bulu roma saya mula tegak, saya ketakutan.

Sama ada saya takut atau benar. saya mula tercium bauan yang luar biasa, kapur barus, gaharu semuanya bercampur baur berselang seli. Saya masih mendiamkan diri. Berfikir. “Ada makhluk ganggu aku ni”. Fikir hati saya.

Saya mula menarik dafas panjang dan berdehem. Memberitahu orang yang tidur dibelakang saya itu bahawa saya sebenarnya telah terjaga. Kalau orang dia akan memberi isyarat atau menegur.

Senyap tiada bunyi, bauan makin kuat, kerana bauan itu agak harum dan menyenangkan ia tidak sangat menakutkan saya yang sebenarnya sedang ketakutan. Saya membacakan selawat dan membaca ayat kursi untuk menjaga diri dan membina kekuatan dalaman. Mata makin galak dan tidak berasa letih lagi. Selang beberapa masa saya mengambil keputusan untuk melihat orang yang tidur disebelah saya itu, saya mula mengubah iringan badan dari arah dinding ke arah ruang anjung.

Tiba-tiba saya tidak dapat menggerakkan badan saya. Semuanya kaku macam ada benda besar menghimpit dari bahu tangan dan peha saya. Saya terkunci dalam keadaan mengiring ke arah dinding.

“Wah makluk ini telah main kasar dengan aku,” fikir saya. Saya mula bertenang. Jangan panik. Saya menghela nafas dan memasukkan jurus fatihah yang selalu saya doakan. Membina kekuatan dalaman. Saya rasa saya kuat malam itu. Saya terus meminta pertolongan Allah. Dan saya yakin malam itu tidak ada yang boleh merosakkan saya kecuali atas kehendakNya.

Setelah berasa cukup kemas didalam hati saya cuba menggerakkan jari-jari saya. Saya ramas dalam kalimah Qafha. Saya rasa lebih kuat, itu ilmu silat yang saya belajar. Saya luruskan kaki kanan saya yang tadinya bengkok terhimpit. Bermula dari menggerakkan ibu jari dan menolaknya kebawah perlahan-lahan. Bahu saya masih belum boleh dipusingkan. Leher saya juga tidak boleh menoleh.

Saya terus berzikir fatihah melonggarkan saraf. Kemudian saya terdengar orang yang tidur dibelakang saya bangun dan bunyi macam berdiri. Tercium bau yang hanyir. “Dia marah,” dalam hati saya berkata. Saya terus berzikir salamun sepatah-sepatah dalam hati, saya cuba kuatkan tetapi tidak boleh keluar. Kemudian makhluk itu menghentak kakinya kelantai. Serentak dengan itu satu gengam pasir dibaling arah badan saya menyembur hingga kekepala saya. Prau…

Benda itu bergerak sambil mengheret sesuatu. Baunya sangat hanyir. Saya sudah boleh menoleh dan dan terus duduk memasang kuda-kuda diatas katil menghadap ruang anjung. Saya nampak makluk bertelekung putih labuh sampai ke kaki, sedang mengheret sesuatu, macam bantal tapi agak besar. Sampul berbunga merah biru. Tapi makluk itu membelakangi saya. Dan sedang bergerak menjauhi saya. Oleh kerana saya tidak terancam saya membiarkan sahaja makluk itu melakukan gerakannya.

 Makluk itu terus menuju ke arah pintu, merempuh dan menembusi pintu kayu rumah ibu dan menghilang. Semasa dia bergerak jelas saya lihat rambutnya hitam dan panjang ke punggung, angin menderu-deru meniup langsir dan bauan yang tadi memenuhi ruang anjung telah hilang perlahan-lahan ditiup angin.  Saya beristiqfar dan bersyukur kerana selamat. Saya menghadiahkan fatihah kepada arwah dan makhluk tersebut. Belum sempat saya bergerak saya terdengar  bunyi pontianak arah pohon buluh di baruh rumah. Bunyinya sedih dan pilu seperti orang meratapi kematian. Saya mendengar Ibu berdehem dan bercakap sesuatu dari arah dapur, ibu terjaga fikir saya.

Saya ambil bantal dan selimut, bergerak ke ruang dapur menuju katil ibu dan baring di atas tikar berhampiran katil bujang ibu. Saya beri salam dan mohon hendak tidur disebelahnya.

Tanpa bergerak ibu berkata, “Dah tiga malam dah, benda tu menunggu bantal arwah. Datang dari sungai agaknya,” Kata ibu.

 “Bukan nenek bidan ke Mak?” soalan saya tidak berjawab.

“Kalau dia sayang sangat kat cucu dia kenapa dia biarkan budak tu lemas. Kenapa tak tolong.” Ibu merungut dengan jelas kepada makhluk itu. Saya tidak faham sangat. Saya lihat jam baru sahaja melepasi tengah malam.

Saya tidak bertanya lagi kerana tidak mahu menggangu ibu yang hendak berehat. Saya mengusap rambut dengan jari memeriksa jika ada lagi pasir tadi, pelik juga tiada sebutir pun pada rambut saya. Hinggalah subuh saya lena dan membiarkan makluk itu  menangis diperdu buluh entah pukul berapa berhentinya.

Esoknya baru ibu menceritakan apa sebenarnya yang berlaku, mengikut kata ibu setiap malam akan ada bunyi pontianak mengilai dan menangis dikubur bantal arwah. Ibu bercerita mengenai makluk yang menunggu bantal arwah yang ditanam diperdu buluh itu. Dia tidak mengganggu, itu makluk sungai yang datang mengikut mayat agaknya. Ibu memberi pendapat.

“Malam tadi engkau kena kacau ke?” Ibu bertanya, saya mendiamkan diri tersengeh memandang muka ibu, dia kerutkan dahi dan mengelengkan kepala.

“Kan mak dah cakap, jangan handal sangat, lain kali jangan degil.”

Pagi itu ibu membuat sarapan kegemaran saya, ubi rebus dengan masak serkup sepat ronggeng cili api hijau. Sampai hari ini saya masih terasa nikmatnya masakan ibu, Lazat tak terkata, tak cukup rasanya saya membalas jasa ibu. Tak tersuap makanan selazat itu ke mulut ibu. 

"Mak nanti cari menantu yang pandai masak camni yek,"

"Mak mertua engkau pun belum tentu, camana anak dara dia nak tahu?," Mak senyum bila di usik. Senyuman kasih seorang ibu. Rindunya. Sekian.


Isnin, 1 Disember 2014

MELAYU TUN TUAH

FIKSYEN KLASIK  5

“Tuhanku yang Esa, bantulah hambamu yang kerdil ini menyusur galur hidup yang tinggal sedikit. Tuah ini telah berkhidmat setia kepada Paduka Raja bukan kepalang khidmat. Kasih tuah pada Duli Tuanku bukan sebarang kasih. Dari tamat berguru hinggalah kesaat ini, Tuah ini belum merasa erti senggangnya. Dihambat beban istana yang semakin sarat. Menyantun Melayu yang semakin lelah.”

 “Tidak terfikir akan Sultan atau para pembesar memberi ruang walau sedikit untuk Tuah ini bersujud dan berlangir diri. Tidak cukupkah lagi beban yang ditimpa jemala siTuah ini? Setiap yang berat pada Tuahlah disandar. Datang yang elok pada dagang jualah kurnia.”

Tuah termanggu sejenak. Itulah bisik hatinya sebaik sahaja Tun Mamat habis menceritakan helah dan akal fikir untuk mengadap Paduka Raja. Mustaid susun bicara, elok khabar duduk perkara, jelas helah rencana Puteri Gunung Ledang hendak dipersembahkan kepada Paduka Raja, Tun Tuah tersenyum. Senyuman yang dibuat-buat.

Tun Mamat berasa cukup gelisah akan menung Tun Tuah. Apakah salah khabar bicara atau ada yang tidak molek susunan kata? Bagai ada cacat celanya. Perkara besar ini jika tidak berhemat gugurlah maqam perajurit Melaka. Hilang maruah Melayu nusantara.

Ada pun Tun Mamat ini laksamana muda yang dicatur Bendahara Paduka Raja untuk mengiring Tun Tuah tuntas melaksanakan titah Kebawah Duli Tuanku Sri Sultan Melaka meminang Puteri Gunung Ledang.  Siapa pun Puteri ini, dia hanya cerita orang istana yang menjadi warna mimpi Paduka Sri. Akan Tun Tuah jua diminta mengepala panji, sedang Tuah hanya seorang laksamana tempur yang tidak pernah alah menjaga kota bukan menteri penjaga adat negeri.

Rencana Tuah yang berkhemah di Jeram Berangin telah menjadi. Helah Tun Mamat dikerah naik ke Puncak Mahligai untuk mencari puteri seorang diri telah berhasil. Seperti faham langkah dan pencak srikandi, seperti tahu kalam telah tersusun rapi, Tun Mamat pulang membawa khabar yang panjang berjela. Madah kononnya kalimat puteri disampaikan kepada Tuah Bistari agar mendapat akal untuk mendatang sembah ke hadapan Paduka Seri.   

“Janganlah bergundah gulana lagi adindaku. Bukankah siTuah ini telah memberi akal bicara buat adinda untuk bersendiri ke puncak sana. Apa pun perkhabaran itu akan menjadi hak kita, menutup akal jauhari, malah tidak siapa berani menyanggah peri.”

“Ini pencak paduka ayahanda Bendahara, kita hanya menyusun tari. Sampaikan bicara dengan bijaksana, pasti Melaka ini akan sejahtera.”

“Orang Istana hanya hendak menambah beban setia hamba. Kalau tepat jurus kita, alah jua langkah mereka. Kalau buruk kesudahannya kita terima sahaja dan diingat sebagai orang teraniaya. Kesudahan itu bukan ketentuan kita.”

“Suratan takdir itulah sebenarnya laluan semua. Jangan sampai tergelincir iman di dada, jangan sampai berhasad dengki berburuk sangka, tidak terampun nanti dosa kita.” Tun Mamat masih kelu tidak terlontar kata, bicara Tuah bersendi seloka guru yang mulia.

Dikhabarkan kepada semua yang ada di Jeram Beragin itu untuk bersiap siaga, berkemas kulakasar untuk berangkat turun dari meminang Puteri Gunung Ledang. Sepanjang perjalanan Tuah banyak berdiam diri. Tun Mamat pula masih mengemaskan cerita, bagaimana hendak menyembah Paduka Raja. Dia tahu benar bahawa dia seorang sahaja yang mengetahui duduk perkara, apa yang berlaku di puncak sana dan Tuah pula yang akan dipersalahkan jika tidak menepati kehendak Paduka Raja dan orang istana. Jika berjaya akal dipintal maka selamatlah Negeri Melaka. Jika ia jadi sembah durhaka maka rosaklah bangsa dan nusa.



“Adinda Tun Mamat kudrat hamba ini tidaklah lagi sekuat tenaga muda tuan hamba. Yang ada hanya sedikit akal dan tidak pula hamba tergamak untuk menyembah senda Paduka Sri Sultan. Maka tuan hamba sajalah mengadap ayahanda Bendahara.”

“Paduka Bendahara orangnya tua dengan siasah, lama dalam juang, subur dengan kasih, iklas mendalam hati. Tidak menghukum dengan kesumat. Tidak tercabar oleh pesona. Paduka Bendahara ada hati Melayu, ada jiwa Melayu, ada santun Melayu. Kita sandarkan sahaja kepada ayahanda Bendahara, Melaka ini. Baik katanya, baik juga kesudahannya.”

Tun Mamat menganguk faham akan firasat Tuah. Titah tidak boleh disanggah. Setiap titah telah dibicara pembesar istana yang bijak pandai bermain kata. Cara melaksanalah yang kena dibincang oleh jelata.  Perjalanan turun ini tidak selancar semasa mendaki dulu. Banyak kali Tuah memohon rehat. Banyak kali juga Tun Mamat terhenti langkah. Selagi tidak dapat dihalusi setiap kalimat tidak berganjak mereka berdua. Masing-masing memberi soalan yang perlu dijawab petah, jika disanggah sembah.

Menurun Jeram Berangin hinggalah ke Asahan sahaja mengambil beberapa malam untuk berihat. Sampai di Asahan mereka berpisah dengan Batin penunjuk jalan. Sampai di pinggir kampong mereka berpisah dengan pembawa bekal, akhirnya mereka sampai di Sungai Duyung bersama hulubalang pengarak panji. Maka sekali lagi mereka berhenti berihat di tanah datar, di pasir gigi sungai.

“Adindaku Tun Mamat. Hamba rasa lengkaplah sudah rencana kita. Baik benar sendi cerita. Cantik benar tingkah katanya. Cuma halus santunnya, mintalah Paduka ayahanda Mamak Bendahara untuk menyembah nada bahasa istana. Agar faham para pembesar menjadi sama. Kerana kanda ini laksamana tua, tidak betah hendak melindung air muka, atas apa pun bicara hamba, ia tidak akan dinilai saksama. Maka eloklah tuan sahaja kembali ke istana.”

“Bagaimana akan kita khabarkan kepada seluruh Melaka, sedang pengarak panji pun hamba tidak dapat menyanggah, tidak pepat cindai hamba menutup  api seekor garuda.”

Setelah bersolat dan merehatkan diri Tuah memanggil semua ahli rombongan untuk berkumpul hampir mereka berdua. Dengan lagak Panglima Tun Tuah berdiri mengeras suara.

“Dengar semua orang Melaka. Ini Tuah Laksamana Melayu yang setia. Hari ini tugas kita untuk meminang Puteri Gunung Ledang telah terlaksana. Laksamana Tun Mamatlah waris kita mengadap Paduka Bendahara.  Apa pun maksud rencana yang dititah kepada kita telah tersurat dan  menjadi takdir yang telah ditentukan oleh yang Esa.” Tuah berhenti seketika dan berpaling merenung muka Tun Mamat. Dahi Tun Mamat terkerut. Tidak terbaca dia pencak Tuah hendak melepaskan diri dari serkap bala yang datang. Seperti selalunya Tuah tetap tersenyum.

“Dengar semua orang istana. Tuah ini ada petunjuknya. Melayu itu bersendi adap dalam tingkahnya. Lihatlah keris raja di tangan hamba ini. Akan hamba lontarkan ke sungai sana. Jika timbul maka itulah petanda baik kita semua. Jika tidak maka bererti Melaka tidak lagi mendambakan kita.”

Habis sahaja berbicara dicabutnya keris raja, sekilas dilempar ke tengah Sungai Duyung. Berkocak air terkena keris raja. Berkejaran hulubalang raja ke gigi air. Menyisir keris raja dimuka air, sekilas nampak hulu berbalam, sekelip lagi hilang di lubuk yang kelam. Tuah tersenyum memandang Tun Mamat yang berdiri di sebelahnya. Perlahan dia berbisik.

“Ilmu menimbulkan besi ini tidak sempat kanda pelajari dari Bentara Majapahit.” Terus sahaja Tun Mamat memeluk erat Laksamana Hang Tuah kerana jenaka itu sebenarnya meruntun hatinya. Dipeluknya Tun Tuah sambil tersedu menahan air mata. Besar sungguh pengorbanan seorang laksamana Melayu ini. Sanggup mengorbankan jasa dan penghormatan hanya kerana satu permainan resam dunia orang istana. Gempita sungguh tempur ini. Besar sekali hujah pesona hingga terkorban panglima yang banyak jasa.

“Cukuplah, berangkatlah adinda, terus mengadap ayahanda Bendahara. Sampaikan salam hamba Melayu yang hina. Hamba sudah cukup puas menabur jasa. Hamba tidak perlu lagi penghormatan segala. Cukuplah…cukuplah…..” kali ini giliran Tuah bungkam, tidak dapat meneruskan kata.

Bagai hendak gugur juga air matanya melihat sedu Tun Mamat ketika mengucup kasih tangannya. Tapi apakan daya firasat tuanya jelas mengatakan rezekinya bukan lagi di istana. Inilah denai terbaik bagi mengisi sisa usianya. Mungkin Tuhan memanggilnya pulang dalam bersedia.  Dia ingin kembali ke asal kejadiannya dengan santun. Dia ingin kembali kepada fitrahnya dengan rukun. Dia ingin mendekati Khalik dengan tenang. Itu permintaan usul tubuhnya.

Maka berangkatlah Tun Mamat meninggalkan Tuah yang masih berdiri di atas pasir gigi air. Sayu juga hati Tuah melihat lambaian anak-anak muridnya yang masih tersedu sepanjang jalan. Setelah sayup dari matanya, Tuah mengambil wuduk dan bersolat di atas pasir gigi air. Dia berdoa agar Negeri Melaka menjadi lebih aman dan sejahtera dan Melayunya terus perkasa. Dia bermunajat agar dia tidak lagi diganggu oleh segala hal dunia. Dia bersujud agar sakratulnya tidak diratapi sesiapa. Kerana dia panglima besar yang tidak pernah alah dalam tempurnya.

Selepas solat magrib Tuah masih berada di gigi air. Selepas solat isyak Tuah masih berada di situ. Tiada siapa yang menemani panglima besar Melaka yang tersohor serata dunia. Tiada siapa menyeru lagi namanya. Fahamlah dia bahawa memang itulah takdir baginya. Di gigi air itulah dia mendalami rahsia menentu masa. Di situlah dia mengenal hakikat alam. Disitu  juga dia mengkagumi hebatnya makrifat Tuhan. Itulah juga ilmu terakhir diketahuinya, tapi kali ini tiada murid meladuni. 

Dunia ini dilihat semakin nafsu nafsi. Melaka dilihat semakin mengejar duniawi. Istana bukan lagi hak jelata menghamba diri. Pembesar semakin angkuh dengan pangkat dan gelaran diri. Tuah tidak lagi bersendi patuh malah keluarganya pun terlalu rindu akan seorang wali.  

Sesungguhnya Kami telah memberikan engkau kemenangan yang terang* Supaya Allah mengampuni kesalahan engkau yang telah lalu dan yang akan datang, mencukupkan kurniaNya kepada engkau dan memimpin engkau pada jalan yang lurus* Dan untuk menolong engkau dengan pertolongan yang kuat* Dia (Tuhan) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman, supaya keimanan mereka bertambah dari keimanannya yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana*” Alfath 2-4.



Sekali lagi dia ke gigi air, kali ini dengan sekali syahadah, pantas ditekan tangan kanannya ke gigi air tembus hingga ke pasir. Digengamnya erat pamung keris raja, dikucupnya sekali disarung kemas, disisip cantik di pinggang. Dia tersenyum melangkah membelah pekat malam. Seperti harimau mencari sarang. Seperti helang pulang ke gunung. Langkah akhirnya meninggalkan Melaka tidak dirai sesiapa. 

Sekian.  

Selasa, 25 November 2014

Api pokok Tualang

Fiksyen Paranormal 2;

Jangan cakap besar jika berhadapan dengan musuh.

Malam itu malam berinai abang saya, kebetulan abang saya  berkahwin dengan gadis sekampung yang jugan saudara mara kami. Saya, masa itu masih kecil. Rasanya hujung tahun 60an. Biasanya berinai rumah perempuanlah yang paling meriah. Ada marhaban, berzanzi, bercukur jambul dan berinai kecil.

Saya dan beberapa rakan pergi kerumah bakal kakak ipar saya sekadar memeriahkan suasana. Pada mulanya kami datang lepas magrib bersama dengan orang tua-tua. Rupanya mereka tidak balik kerana terus membantu memasak makanan dan berjaga malam. Pada peringkat awal majlis, kami tidaklah menghiraukan sangat kerana asyeknya bermain. Permainan yang amat popular ketika itu adalah bermain perang. Getah bulat diletakkan ditangan kiri, dan peluru yang kami gunakan akar rumput tutup bumi yang dikerat seinci dan dilipat dua. Budak yang besar gunakan akar mempelas.

Saya masih teringat  bebola merah yang tergantung dipentas kugiran habis kami jentik dengan peluru akar kacang sampai bersarang. Tidak sempat menunggu malam lansung telah habis dikeroyok oleh budak-budak.


Setelah majlis tamat dalam keadaan menjadi sunyi barulah kami sedar hari telah larut malam. Bagaimanakah kami hendak balik kerumah. Kebetulan rumah saya adalah yang paling jauh anggaran satu kilometer dari rumah pengantin.

Saya, Lam dan Ghani, kami bertiga kebetulan rumah berdekatan. Terpaksa balik juga malam itu. Perjalanan dari rumah pengantin mula-mula melalui kebun getah, menyusur denai lalang melalui bawah pokok Tualang, mendaki bukit, menurun semula barulah sampai kekelompok 6 buah rumah kami bertiga.

Kami bertolak anggaran jam 11 malam. Lalu dicelah kebun getah itu pun kami telah seram terasa macam ada sesuatu mengikut dibelakang. Kami terpaksa melintasi kawasan lalang yang ada pokokTualang, kawasan itulah tempat yang paling menyeramkan. Walaupun kedaaannya terbuka dan dipenuhi dengan lalang, tetapi pokok Tualang yang tinggi itu amat menakutkan kerana kebetulan pokok itu berhampiran dengan gaung kampung. Jalan denai itu dipenuhi dengan lalang.



 “Ada orang ikut kita, jom kita menakal”. Ghani memberikan cadangan kepada kami bertiga. Kami mengikat secekak lalang dikanan dengan secekak lalang dikiri. Dengan tujuan jika ada yang berlari tentu akan tersandung lalang itu dan jatuh. Itu memang cara biasa kami dikampung menyakat orang.

Setelah membuat halangan lalang dibeberapa tempat kami menunggu dihujung laluan berdekatan dengan pokok Tualang. Bunyi lebah di atas pokok itu berderu-deru dapat kami dengar kerana suasana agak sunyi ketika itu.


Kami terdengar bunyi macam beberapa orang berjalan menyusuri denai kami. Bunyinya macam ramai tetapi tidak dapat pula melihat bentuk tubuhnya dari arah belakang kami. Kami yakin itu adalah rakan-rakan kami yang lain yang terpaksa balik dan mengikut kami dari belakang. Kalau budak perempuan lagi baik tentulah ada yang terkencing kami sergah malam ini. Kami semakin seronok menunggu. Makin hampir semakin perlahan gerakannya, semakin senyap pula bunyinya. Tiada pula yang kedengaran terkena perangkap kami tadi. Tapi masih bergerak ke arah kami. Tiba-tiba pergerakan itu terhenti.

“Dia orang dah takut tu. Jom kita sergah” Lam pula memberikan cadangan. Dalam kumpulan kami Lamlah yang paling berani kerana fizikalnya kuat dan berbadan tinggi. Rumahnya bersebelahan rumah saya. Kami serentak menyergah sambil ketawa. Gempita bunyinya padang lalang itu. Suara kami boleh didengar bergema hingga ke kepala gaung.


“Tak ada yang lari atau terjerit. Mana pergi budak-budak tadi”. Kami menjadi hairan. Suasana menjadi sunyi. Kami berpandangan. Perasaan takut mula menyelinap. Semacam ada bau wangi dibawa angin yang bertiup.  Dari gaung dihujung padang lalang. Ada kedengaran bunyi seperti sekawan babi berlari-lari ke arah kami. Mengharung lalang tebal itu menuju ke pokok Tualang tempat kami menunggu.

“Babi, ingatkan orang tadi” kata Lam. “Jom balik”. Ada sesuku padang lalang lagi terpaksa kami lalui, bunyi macam babi tadi terus mengikuti kami, tetapi selari dengan denai lalang itu. Semakin lama semakin kuat. Tiba-tiba timbul api merah dari arah bunyi tadi. Adalah sebesar buah kelapa.


“Wah bapak hantu pulak” kata Ghani. “Mari kita gayung dia. Dia tak tahu aku ni abang tiri dia.” Kata Ghani angkuh. Kami sama-sama mengayung hantu itu dengan Jurus Qulhu yang diajar Kiayai Sahuri, bapa angkat saya. Hantu itu jatuh dengan mudah. Dengan bunyi menjerit lari ke baruh arah gaung.

Kami terdengar bunyi macam beberapa orang berjalan menyusuri denai kami. Bunyinya macam ramai tetapi tidak dapat pula melihat bentuk tubuhnya dari arah belakang kami. Kami yakin itu adalah rakan-rakan kami yang lain yang terpaksa balik dan mengikut kami dari belakang. Kalau budak perempuan lagi baik tentulah ada yang terkencing kami sergah malam ini. Kami semakin seronok menunggu. Makin hampir semakin perlahan gerakannya, semakin senyap pula bunyinya. Tiada pula yang kedengaran terkena perangkap kami tadi. Tapi masih bergerak ke arah kami. Tiba-tiba pergerakan itu terhenti.

“Tengok, aku dah cakap dengan aku jangan main-main” Kata Ghani makin angkuh. Kami beransur berjalan semula. Sudah hampir melintasi padang lalang, tiba-tiba suara mengilai yang teramat kuat datang dari tempat api tadi jatuh. Kali ini semakin besar dan ngeri bunyinya. Kami cuba mengayung lagi tapi tidak menjadi pulak. Kami ketakutan cabut lari. Kami berlari ke arah bukit, bunyi hantu itu terus mengejar. Kerana bukit itu tinggi kami terpaksa berhenti rehat dipuncak bukit dekat pokok Kerdas, kebun Pak Long.

Hantu itu tertinggal jauh dibelakang. Kami cuba mengayung dari jauh. Setiap kali kami mengayung dia jadi semakin besar dan bunyi lalang itu macam dilanggar sekawan kerbau. Berpusing-pusing cahaya itu terkena jurus kami tapi naik semula lebih besar tetapi tidak keluar dari kawasan lalang. Berlegar-legar dikawasan pokok Tualang. Akhirnya kami mula mendapat keyakinan apabila semput berlari semakin berkurangan. Kami memberikan serangan balas dengan serentak. Berpusing-pusing dia kebelakang. Saya cuba memerhatikan bentuk api yang mengganggu kami tadi, rupanya seperti nyiru yang besar, menyala dan belengkar api merah.

Setelah beberapa minit bertarung dari jarak jauh, hantu itu macam beralah dengan kedegilan kami. Bunyi lalang sudah semakin kurang dilanggar. Api itu bergerak ke arah pangkal pokok Tualang. Berputar putar dan naik mengikut batang Tualang itu, makin lama semakin tinggi. Akhirnya sampai kepucuk pokok Tualang. Besarnya hampir separuh daun pokok Tualang itu. Dalam kegelapan malam kami lihat pokok Tualang itu macam kepala orang memakai kopiah merah.

Kami memerhatikan dari pokok kerdas. Bila kita lihat hantu itu tidak lagi menjadi ancaman kami dan kami tidak berupaya untuk mengalahkannya. Kami beransur menuruni bukit itu dan berpecah kerumah masing masing. Saya tiada masalah kerana dirumah saya dari jauh api lampu minyak masih bernyala terang kerana malam itu malam berinai. Rombongan menghantar tadi ramai lagi yang masih berborak dibalai penanggah. Masih lagi ramai yang bersenda gurau sambil membuat kerja masing-masing.

“Kenapa muka engkau pucat, bergaduh kat baruh ke tadi?” Pak Usu saya menegur.
“Kena kejar hantu,” jawab saya rengkas.
“Hai aku ingat engkau yang jadi hantu, malam ini engkau pula kena kejar hantu, pelik.” beberapa orang tua mentertawakan saya.

“Kat pokok Tualang tu dia kacau kita orang balik,” saya menjawab rengkas. “Ini mesti engkau berdajal , biasanya benda tu tak pernah pulak mengacau budak-budak. Aku dah berpuluh tahun tinggal kat sini.” Kata Pak Andak pulak.

“Sudah, pergi basuh kaki, cuci muka, tukar baju, dah macam anak terbuang rupa engkau tu.” emak saya membebel.“A da makanan dekat penangah tu minta dengan mak andak” sambung emak lagi.

Setelah menukar membersih diri dan menukar pakaian saya menghampiri orang-tua-tua yang nampaknya berminat dengan cerita saya malam itu. Walaupun saya nakal tapi sekampung kami sekeluarga. Mereka sayang dan manjakan saya. 

(Saya kehilangan semua itu apabila saya dewasa. Saya sering bersedih dikubur mereka setiap kali menjelang raya kerana saya masih merasakan  kasih sayang itu bila melihat pusara mereka, lebih-lebih lagi yang tidak dijaga.  Saya merasakan mereka hidup dalam minda saya. Mereka adalah rakyat yang miskin harta tetapi penuh kasih sayang dan persaudaraan. Hari ini kita semua kaya dan berharta tetapi miskin dan kekeluargaan  kasih sayang bersaudara. Dimana silapnya.)

Saya buka tudung saji, ada kopi O sejuk, kuih bingka ubi yang Mak Usu buat, ada kuih deram gula Melaka yang sangat sedap. Ada kuih sum-sum kegemaran bapa saya. Baru saya terasa lapar, umph sedapnya jika kita makan dengan kasih sayang. Sekian.


Rabu, 19 November 2014

PEDULI MERAPI Disember 2010 (Bahagian 1)

Misi RINTIS Peduli Merapi
Lapor: KASIM  Gambar: Khairozi/Maemirwan


Mencari Maklumat:
Letusan Merapi telah berlaku dua kali, kali pertama 26 Okt 2010 jam 10 pagi setinggi 3 Km mengorbankan pemegang kunci gunung Marhum Embah Marijan, bersama 100 mangsa lain. Jarak lava panas yang dipanggil Proklastik bergerak sejauh 5 km.
Kali kedua 29 Oktober 2010 memuntahkan lahar panas dan lahar dingin setinggi 8 km pada jam 12 tengah malam. Meliputi kawasan 15km dan debu sehingga 30 km. Lahar yang turun arah Changkringan melalui 4 sungai termasuk sungai Kaligendol sementara debu dibawa ke selatan arah Magelang hingga ke Bobudur dan Prambanan.
Kami cuba mendapatkan maklumat bagaimana hendak ke Merapi. Menghubungi rakan-rakan di Riau dan Bengkalis bagaimana hendak menembusi kawasan darurat. Penerbangan ke Jogjakarta ditutup lebih satu minggu.  Apabila kami mendapati penebangan masuk ke Kota Jogjakarta di buka semula saya terus mencari maklumat. Beberapa kali menyemak internet dan akhirnya saya terbaca 4 orang sukarelawan yang pulang dari Merapi mewakili pasukan HALUAN Malaysia yang di ketuai oleh Dr Baharudin.

Saya mencari sesawang HALUAN dan cuba menghubungi beberapa individu dalam organisasi itu dan mendapatkan lebih maklumat. Akhirnya saya dapat bertemu dengan Dr Baharudin di sebuah restoran di Setia Tropika Kempas, JB pada petang Jumaat 25 Nov 2010. Sambil menikmati kopi panas dan roti bakar Dr Baharudin menunjukkan gambar-gambar beliau di Merapi dan pasukan HALUAN akan menghantar rombongan kedua pada hari Isnin 28 November. Saya dan Ustaz Khairozi sudah mendapatkan kebenaran daripada Tn Hj Markom Pengarah Pelajaran Johor dan juga telah mengumumkan pemergian kami ke Merapi pada perhimpunan bulanan pagi Jumaat 25 November 2010.

Saya amat berterima kasih dengan Dr Baharudin dari HALUAN MALAYSIA yang amat gigih dalam berjuang sebagai sukarelawan antarabangsa dan menyemarakkan nama Malaysia. Banyak tip yang beliau berikan bagi menggambarkan asas sukarelawan ke Merapi. Termasuk cerita cerita mistik penduduk tempatan. Berkali-kali beliau menegaskan bahawa keadaan di Merapi jauh berbeza dari Tsunami Acheh dan Gempa Padang.

Saya mengambil keputusan dengan Ustaz Khairozi untuk bertolak pada hari Ahad 28 Nov 2010 dari Batam dan menyusul  tim HALUAN yang bertolak dari LCCT di Jogjakarta pada hari Isnin.

Bertolak ke Jogjakarta:

Setelah bersusah payah mencari tim sukarelawan dalam masa yang singkat dan harga tiket yang berubah-ubah saya mengambil keputusan untuk bergerak melalui Batam. Dengan niat bertawakal kepada Allah SWT pada pagi Ahad jam 6.45 pagi  saya bertolak ke Batam. Di Batam saya dijemput oleh anggota Urusetia Walikota Batam yang menjemput kami dari Batam Centre menuju Bandara Hang Nadim. Kami mendapatkan tiket penerbangan ke Jogjakarta melalui di Jakarta.


Pada 1991 selepas Gunung Pinatubo meletup saya adalah antara orang yang pertama masuk dari Subang ke lapangan terbang Manila. Saya masih merasakan bau belerang dan lumpur debu yang bercampur air hujan seluruh lapangan terbang. Saya juga merasakan bagaimana rasa menunggu dari hari Ahad hingga hari Khamis baru dibenarkan terbang memasuki kotaraya Manila dari Kuala Lumpur itu pun dengan menggunakan penerbangan Philliphines Airline. Kali kedua saya pernah berada di Puncak Bromo tahun 1999. Pengalaman ini amat berguna menyediakan set minda saya di Merapi nanti.

Dalam perjalanan ke Jogjakarta saya bertemu dengan Bapak Profesor Dr Zaki Baridwan seorang anggota Badan Standar National Pendidikan,yang masih mengajar di Universitas Gajah Mada (UGM). Kami berbincang banyak perkara dari Merapi kemajuan pendidikan dan standard hingga kepada makanan yang terbaik di Jogjakarta beliau mencadangkan saya singgah di warong makan ayam Sohardi yang terkenal di Jogjakarta. Beliau sempat menunjukkan saya kedai makan tersebut yang nampak dari Bandara. Beliau sangat mesra dan kami berjanji akan bertemu lagi.

Antara pesan beliau jika hendak berjalan-jalan di Indonesia, beliau menyarankan kita membeli tiket penerbangan yang sesuai tarikh tertentu untuk lebih berjimat. Beliau memberikan contoh perjalanan hari itu sahaja beliau terpaksa membayar Rp 600,000 untuk perjalanan sehala dari Jakarta ke Jogja. Sedangkan pada minggu hadapan katanya beliau telah membeli tiket penerbangan dua hala tidak sampai Rp 500,000. Saya juga bersetuju dengan beliau dan mengalami keadaan yang sama bagi perjalanan ini. Ini adalah ingatan penting kepada sukarelawan antarabangsa yang sering mengikuti perjalanan kami. Perjalanan hendaklah ditempah lebih awal . Ramai yang tidak faham dan mengambil masa terakhir perjalanan untuk menempah tiket. Oleh yang demikian berdasarkan pengalaman ke Padang dan Kemboja. Kami sekretariat Sukarelawan telah menetapkan pungutan hanya untuk kos logistik sedangkan kos tiket penerbangan adalah ditanggung oleh peserta. Ini bertujuan untuk mengelakkan keadaan di mana orang yang awal terpaksa menanggung kos orang yang lewat membuat tempahan. Pengalaman ini mengajar saya lebih berjimat.

Sampai ke lapangan terbang (Bandara = Bandar Udara) Jogjakarta saya disambut oleh Pak Prayono dan Herry siap dengan uniform Relawan PKS. Pada mulanya saya gagal mengesan beliau apabila keluar dari Bandara kerana kertas tulisannya dipegang oleh 2 orang beruniform dan tertulis  Khairudin Malaysia bagi nama Ustaz Khairozi Malaysia (Ini adalah kegagalan International komunikasi = INTERKOM yang pertama bagi perjalanan antarabangsa saya kali ini). Kami tidak menjangkakan petugas beruniform menunggu kami takut juga untuk menegur. Sebenarnya kegagalan komunikasi antarabangsa adalah lumrah. Saya mundar mandir di luar bandara dan cuba menghubungi beberapa nombor telefon, akhirnya kami bertemu dan beliau membawa kami ke Pos Relawan PKS di Catur Jaya Sleman.

Selepas makan malam yang enak yang dibawa oleh Pak Prayono ke sebuah restoran makan ayam busket sementara Pak Prayono memesan comet. Kerana kelaparan kami memesan 2 set makanan dan 2 gelas jus mangga setiap seorang. Amat lazat, puas dan menyenangkan. Rezeki pertama kami di Jogja mantap.

Kami di bawa bertemu dengan ketua operasi Pak Safrizal Haifa yang baru di pilih semula sebagai ketua bagi kawasan Sleman dalam pemilihan petang tadi. Saya mengucapkan tahniah kepada beliau dan kami diberi pelbagai input berpandukan peta lokasi dan gambar oleh jurufoto Maemirwan. Pengalaman Relawan PKS sangat berguna kepada kami kerana mereka adalah orang yang berada di lokasi ketika kejadian. Selepas taklimat yang panjang saya mendapat kekuatan dan faham akan situasi di sana daripada segi keselamatan dan sebagainya.

Kami membuat rancangan bertolak jam 5.30 pagi keesokannya kerana selepas jam 8.00 pagi keadaan cuaca sangat panas dan petangnya hujan. Kami dibawa menginap di Hotel Insyiroh satu bilik yang agak sederhana dan selesa. Kami tidur dengan nyenyak.


Bertolak ke Merapi

Kami bangun pagi dan chek out jam 5.30 selepas subuh. Kami melangkah dengan doa agar keselamatan kami dan mendapat perlindungan dalam misi ini. Pak Marhain telah datang tepat masanya dan membawa kami ke pos relawan untuk menunggu Pak Singgit. Seorang relawan penduduk asal Chengkringan. Kami mengambil kesempatan untuk minum pagi kerana sarapan di hotel belum disediakan. Tidak jauh dari pos kami singgah disebuah warung kecil menjual bakso. Saya risau untuk makan bakso pagi hari kerana minyak akan menjadikan perut saya tidak selesa. Saya lihat ada ayam goreng dan nasi. Ustaz Khairozi memesan bakso, saya pesan ayam dan nasi putih bersama teh.

Kami dihidangkan 3 mangkuk bakso.

”Mana ayam bu?”soal saya.

“Yah sudah ada di dalam,”jawab penjual itu.

(INTERKOM = Kegagalan komunikasi antarabangsa). Kuah baksonya cair dan tidak berminyak ada sayur ayam dan nasi. Ini adalah bakso  paling enak saya rasa di Jogjakarta. Harga pun murah RP7,000 bagi 3 orang. Makanan siswa kata Marhaen. Ustaz berjanji  akan makan lagi di warung bakso ini di pagi-pagi yang berikut. Kena dengan selera kami dan enak.

MENYURUSURI LORONG KEMUSNAHAN
Kami kembali ke Pos Relawan Pak Singgit baru sampai dan memasuki kenderaan. Syarat pertama  dia mesti memandu kenderaan sendiri. Kedua jangan pakai apa-apa tanda. Jadi orang biasa. Kami bertolak awal pagi kerana ingin keluar dari Merapi sebelum 8.00 pagi kerana kawasan yang kami akan masuki adalah kawasan darurat yang dikawal ketat oleh polis dan tentera. Hanya penduduk tempatan yang di benarkan memasuki kawasan bencana. Mereka melarang orang luar masuk ke kawasan bencana.

Melarikan diri dari abu panas

Kawalan sangat ketat dengan pos-pos pengawal. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kecerdaan kepada pengunjung dan kecurian. Kami dilarang untuk membawa beg galas dan kamera. Hanya pada keadaan tertentu sahaja yang akan diberitahu nanti. Pak Singgit adalah Relawan Changkringan yang sebelumnya adalah penternak burung serindit.

“Burung bapak semuanya mati ya?” tanya saya. “Cuma tinggal seekor. Itupun sempat dibawa lari”. Kami tergelak.

Kami melepasi pos-pos pengawal tanpa masalah kerana masih awal pagi. Hinggalah kerumah adik Pak Singit di Cangkringan. Setiap pos pengawal kami membayar RP 10,000 infak dan di kampong ini RP 20,000 kerana meletak kenderaan. Kami melihat dengan jelas perbezaan kawasan yang terkena lahar panas.
 

Menyelusuri jalan kampong melintas beberapa rumah kami rasa redup dan nyaman.  Kami terus ketapak laluan awan panas sepanjang Sungai Kaligendol. Bangunan pertama yang kami jumpai adalah SDN Gungan. Bangunan yang menempatkan hampir 200 pelajar itu rosak teruk. Debu panas hingga ke siling. Saya tidak tahan kerana masih ada bau bangkai binatang di kawasan sekitar. Saya menutup hidung untuk bertahan.

Kemusnahan sekolah SDO1 Gungan daerah Changkrengan
Bau belerang juga menyesakkan. Diceritakan ada yang masuk kekawasan ini pengsan kerana terhidu bau belerang dan kedegilan kerana tidak memakai penutup hidung. Subhanallah, saya melihat kebesaran tuhan yang meranapkan seluruh laluan sungai Kaligendol sejauh 15km.
               
Anak-anak Tanpa memakai topeng muka

Sungainya hilang sama sekali bersama rumah penduduk dan pokok tanaman  lebih 3 meter di dalam tanah.

Lorong Wedhus gembel kali gendol
Kami harus berhati-hati memijak kawasan ini kerana walaupun keras tetapi masih ada asap yang keluar di celah rekahan ini menunjukkan ada bara api yang memakan kayu dibahagian bawah. Diceritakan ada sukarelawan yang terjerlus kedalam bara api dan tercerdera.

Kawasan panas dan berbahaya
Yang menjadi persoalan saya adalah memikirkan bagaimana batu-batu besar bergolek dari gunung sejauh 12 km. Dari maklumat yang saya perolehi kelajuan lahar panas itu adalah 160km/jam dengan kepanasan melebihi 600 darjah celcius.

Batu Hanyut 12 KM

Kelajuan ini boleh dilihat bagaimana pokok yang besar juga tumbang dan kawasan ditepi laluan dapat dilihat bagaimana rumpun buluh diseret oleh larva panas.

 Rempuhan lahar pada perdu buluh lihatlah kekuatannya

Melihat kampung yang tertimbus 7km dari merapi

Saya juga melihat sungai dan rumah yang tertimbus.