Fiksyen paranormal 4:
(Bertenang menghadapi situasi sulit)
Tahun 1978. Saya mendapat berita kematian anak saudara dikampung lewat 2 hari kerana kegagalan komunikasi ketika itu. Saya bergegas balik dari Kuala Lumpur manaiki motor kapchai bersama Nan. Nan adalah rakan sekuliah saya yang kebetulan tinggal dikampung bersebelahan kampung saya. Kami dipisahkan hanya ketika memasuki sekolah yang berbeza. Dia di Kuala Lumpur saya di Utara. Malam itu hujan sepanjang jalan kami kebasahan. Selepas menghantar Nan kerumahnya. Saya pulang kerumah sekitar jam 9.00 malam. Keadaan rumah agak suram Emak masih ditikar sembahyang membaca Surah Yasin. Abang juga membaca Alquran diruang tengah rumah.
Saya fikir mereka
menghadiahkan roh arwah yang mati lemas disungai ketika menjala ikan bersama
rakan sebaya. Arwah ini baru berusia 15 tahun. Baru lepas menduduki peperiksaan SRP
ketika itu. Dia pergi menjala ikan disungai berhampiran bersama rakan-rakan.
Semasa menyeberangi sungai yang separas leher dalamnya, arwah telah tergelincir
dan lemas. Usaha mencari agak lama dari pagi hingga ke petang. Sebelah senja
baru dijumpai orang. Mayatnya dibawa ke Hospital untuk bedah siasat dan
dibawa balik kerumah pada malamnya. Esok pagi baru dikebumikan.
Saya pulang itu dikira
malam ketiga. Apa yang menarik kepada kematian arwah adalah darah keluar dari
mayat hampir sepanjang malam. Satu bantal dan beberapa helai kain batik
dipenuhi darah. Din abang arwah menanam bantal tersebut disebelah pohon buluh dibaruh rumah saya. Masa memandi pun banyak
darah keluar walau pun arwah tidak cedera, hanya lemas mengikut cerita emak.
Emak menasihatkan saya
agar tidur diruang tengah rumah. Biasanya saya tidur dikatil saya dibahagian anjung rumah. Tapi saya
berkeras untuk tidur di atas katil bujang saya. Kerana saya terlalu penat.

Emak macam tidak begitu menyukai kehendak saya. Saya kurang pasti kenapa. Mungkin ada benda yang tidak diberitahu kepada saya. Saya masuk tidur lepas makan dan berbual-bual melepas rindu kepada ibu. Saya yakin sekitar 10.30 malam ketika rumah masih terang benderang kerana ibu hendak meneruskan bacaan Alqurannya. Dalam keadaan keletihan saya terus terlena. Saya terjaga ditengah malam. Keadaan agak samar kerana api telah di padamkan. Ketika itu saya tidur mengiring kedinding dan membelakangkan ruang anjung. Saya terdengar orang berjalan. Sambil menyeret benda, sreeet sreet….. , saya camkan bunyinya. Ia seperti orang menarik tikar. Kemudian berhenti betul-betul disebelah katil bujang saya. Buuuk… bunyi seolah-olah bantal diletakkan diatas tikar itu. Kesak kesik ….., macam bunyi orang tidur dilantai tepi katil saya.
Saya ingin melenakan
semula mata. Tapi saya terfikir siapa pula orang itu. Abang biasanya tidur
diruang tengah, Ibu tempatnya di ruang dapur. Siapa pula yang datang
menumpang tidur. Kalau ada anak buah atau
saudara yang datang tentu tidur dengan abang di ruang tengah atau bersama ibu.
Saya terlupa hendak bertanya dimana mayat arwah dimandikan. Saya agak tempat
tidur saya itu samaada tempat mandi atau tempat meletak mayat arwah. Mungkin
orang meletakkan mayat diatas katil saya dan memandi serta mengkafankan diruang
anjung ini. Itu sebab emak tidak berapa suka saya tidur disini. Cuma
dia tidak ceritakan kepada saya pada malam itu. Bulu roma saya mula
tegak, saya ketakutan.
Sama ada saya takut atau benar. saya mula tercium bauan yang luar biasa,
kapur barus, gaharu semuanya bercampur baur berselang seli. Saya masih
mendiamkan diri. Berfikir. “Ada makhluk ganggu aku ni”. Fikir hati saya.
Saya mula menarik dafas panjang dan berdehem. Memberitahu orang yang
tidur dibelakang saya itu bahawa saya sebenarnya telah terjaga. Kalau orang dia
akan memberi isyarat atau menegur.
Senyap tiada bunyi, bauan makin kuat, kerana bauan itu agak harum dan
menyenangkan ia tidak sangat menakutkan saya yang sebenarnya sedang ketakutan.
Saya membacakan selawat dan membaca ayat kursi untuk menjaga diri dan membina
kekuatan dalaman. Mata makin galak dan tidak berasa letih lagi. Selang beberapa
masa saya mengambil keputusan untuk melihat orang yang tidur disebelah saya
itu, saya mula mengubah iringan badan dari arah dinding ke arah ruang anjung.
Tiba-tiba saya tidak dapat
menggerakkan badan saya. Semuanya kaku macam ada benda besar menghimpit dari bahu tangan dan peha
saya. Saya terkunci dalam keadaan mengiring ke arah dinding.
“Wah makluk ini telah main
kasar dengan aku,” fikir saya. Saya mula bertenang. Jangan panik. Saya menghela nafas dan memasukkan
jurus fatihah yang selalu saya doakan. Membina kekuatan dalaman. Saya rasa saya kuat malam itu. Saya terus meminta pertolongan
Allah. Dan saya yakin malam itu tidak ada yang boleh merosakkan saya kecuali
atas kehendakNya.
Setelah berasa cukup kemas
didalam hati saya cuba menggerakkan jari-jari saya. Saya ramas dalam kalimah Qafha. Saya rasa lebih kuat, itu ilmu
silat yang saya belajar. Saya luruskan kaki kanan saya yang tadinya bengkok
terhimpit. Bermula dari menggerakkan ibu jari dan menolaknya kebawah
perlahan-lahan. Bahu saya masih belum boleh dipusingkan. Leher saya juga tidak
boleh menoleh.
Saya terus berzikir
fatihah melonggarkan saraf. Kemudian saya terdengar orang yang tidur dibelakang
saya bangun dan bunyi macam berdiri. Tercium bau yang hanyir. “Dia marah,”
dalam hati saya berkata. Saya terus berzikir salamun sepatah-sepatah dalam
hati, saya cuba kuatkan tetapi tidak boleh keluar. Kemudian makhluk itu
menghentak kakinya kelantai. Serentak dengan itu satu gengam pasir dibaling
arah badan saya menyembur hingga kekepala saya. Prau…
Benda itu bergerak sambil
mengheret sesuatu. Baunya sangat hanyir. Saya sudah boleh menoleh dan dan terus
duduk memasang kuda-kuda diatas katil menghadap ruang anjung. Saya nampak
makluk bertelekung putih labuh sampai ke kaki, sedang mengheret sesuatu, macam
bantal tapi agak besar. Sampul berbunga merah biru. Tapi makluk itu
membelakangi saya. Dan sedang bergerak menjauhi saya. Oleh kerana saya tidak
terancam saya membiarkan sahaja makluk itu melakukan gerakannya.
Makluk itu terus menuju ke
arah pintu, merempuh dan menembusi pintu kayu rumah ibu dan menghilang. Semasa
dia bergerak jelas saya lihat rambutnya hitam dan panjang ke punggung, angin
menderu-deru meniup langsir dan bauan yang tadi memenuhi ruang anjung telah
hilang perlahan-lahan ditiup angin. Saya beristiqfar dan bersyukur kerana selamat. Saya menghadiahkan
fatihah kepada arwah dan makhluk tersebut. Belum sempat saya bergerak
saya terdengar bunyi pontianak arah pohon buluh di baruh rumah. Bunyinya sedih dan pilu seperti
orang meratapi kematian. Saya mendengar Ibu berdehem dan bercakap sesuatu dari
arah dapur, ibu terjaga fikir saya.
Saya ambil bantal dan selimut, bergerak ke ruang dapur menuju katil ibu
dan baring di atas tikar berhampiran katil bujang ibu. Saya beri salam dan mohon hendak tidur disebelahnya.
Tanpa bergerak ibu berkata, “Dah tiga malam dah, benda tu menunggu
bantal arwah. Datang dari sungai agaknya,” Kata ibu.
“Kalau dia sayang sangat kat cucu dia kenapa dia biarkan budak tu lemas.
Kenapa tak tolong.” Ibu merungut dengan jelas kepada makhluk itu. Saya tidak faham sangat. Saya lihat jam baru sahaja melepasi
tengah malam.
Saya tidak bertanya lagi
kerana tidak mahu menggangu ibu yang hendak berehat. Saya mengusap rambut
dengan jari memeriksa jika ada lagi pasir tadi, pelik juga tiada sebutir pun
pada rambut saya. Hinggalah subuh saya lena dan membiarkan makluk itu
menangis diperdu buluh entah pukul berapa berhentinya.
Esoknya baru ibu
menceritakan apa sebenarnya yang berlaku, mengikut kata ibu setiap malam akan
ada bunyi pontianak mengilai dan menangis dikubur bantal arwah. Ibu bercerita
mengenai makluk yang menunggu bantal arwah yang ditanam diperdu buluh itu. Dia
tidak mengganggu, itu makluk sungai yang datang mengikut mayat agaknya. Ibu
memberi pendapat.
“Malam tadi engkau kena kacau ke?” Ibu bertanya, saya mendiamkan diri
tersengeh memandang muka ibu, dia kerutkan dahi dan mengelengkan kepala.
“Kan mak dah cakap, jangan handal sangat, lain kali jangan degil.”
Pagi itu ibu membuat sarapan kegemaran saya, ubi rebus dengan masak
serkup sepat ronggeng cili api hijau. Sampai hari ini saya masih terasa nikmatnya
masakan ibu, Lazat tak terkata, tak cukup rasanya saya membalas jasa ibu. Tak tersuap makanan selazat itu ke mulut ibu.
"Mak nanti cari menantu yang pandai masak camni yek,"
"Mak mertua engkau pun belum tentu, camana anak dara dia nak tahu?," Mak senyum bila di usik. Senyuman kasih seorang ibu. Rindunya. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan