Sabtu, 27 Disember 2014

Selekoh maut

Fiksyen Paranormal 3:
(Tawakal kepada tuhan)

Tahun 1980, Saya bertugas sebagai sukarelawan rukun tetangga, mulai sembilan malam kami ditugas meronda taman perumahan dalam kumpulan, seronok juga dalam 2/3 bulan sekali kami dikehendaki bertugas dipondok Rukun Tetangga. Biasanya saya akan mengambil jadual 9 malam hingga 2 pagi, hari esok akan diberikan cuti tanpa rekod. Saya telah maklumkan kepada pejabat saya bahawa hari esok akan bercuti kerana tugas rukun tetangga. Setelah balik bertugas saya kembali kerumah sewa saya dan berfikir jika saya terus tidur tentulah hari esok saya kurang bernilai dan saya akan kembali juga ke pejabat. Itulah kebiasaaan saya bila tiada tugas penting dirumah.

Saya mengambil keputusan untuk balik kekampung saya yang jaraknya 33 batu dari rumah sewa saya. Saya meninggalkan resit cuti rukun tetangga kepada rakan sebilik saya dan terus mencapai beg galas saya untuk pulang kerumah emak. Saya melihat jam sudah pukul 3.15 pagi. Saya membaca doa perjalanan dan bergerak. Hati saya malam itu bercampur baur. Saya tidak berasa takut kerana saya tahu bahawa hantu tidak mengganggu lepas tengah malam. Jam 3 pagi ini biasanya urusan malaikat atau jin yang baik-baik. Begitu di ajar oleh guru saya. Cuma jin pun ada nakalnya itu saya maklum sangat.


Lepas separuh perjalanan tiada yang mengganggu saya, kereta pun tiada, lori pun jarang-jarang. Dari jalan utama saya akan membuat satu potongan jalan rentas ke kempung saya melalui kawasan jirat. Dan sebelum jirat itu ada kawasan paya yang sunyi dan jalannya ada beberapa selekoh yang merbahaya. Tapi sebagai penungggang motor seperti saya yang selalu berulang alik, selekoh itulah yang menarik dan mencabar. Terutama selekoh ‘S’ yang betul-betul ditengah paya itu. Jalannya bermula dari jalan yang  lurus dan ada selekoh ‘S’ sebelum sampai kejambatan . Mengikut cerita jambatan itu selalu orang jumpa hantu yang duduk diatas palang jambatan dan mengganggu orang yang pulang malam. Dalam hati saya hantu sudah tidur pada jam begini. Saya tersenyum memujuk hati.


Di jalan lurus sebelum selekoh saya nampak berbalam tanda selekoh di hadapan. Selekoh tersebut agak redup kerana dikiri kanan jalan selekoh itu ada pohon getah yang condong kearah jalan, ia seakan-akan memasuki terowong. Saya agak seram. Saya melihat sesuatu yang berwarna putih dihadapan. Macam ada benda besar bergayut pada dahan pokok getah itu dan berjuntai sampai kegarisan tengah jalan berwarna putih dan panjang. Ia bergerak pendulum kekiri dan kekanan. Saya berfikir dan menganggap dahan getah yang patah dan terjuntai berayun ditiup angin.  Bila saya meninggikan lampu motor saya lihat dia bergerak ketengah jalan memberi ruang antara dia dan batang getah, ruang hanya suku jalan ditepi. Bila saya turunkan lampu, dia bergerak semula ketepi. Saya naikkan lampu dia bergerak semula ketengah. Saya sudah semakin hampir.

Saya membuat keputusan untuk terus melanggar benda itu. Warna putih kian jelas macam kain. Ketika saya buat keputusan itu dia bergerak perlahan-lahan  cuba menutupi ruang jalan saya. Saya mengemaskan gengaman panduan saya. Menundukkan kepala kehadapan saya. Saya merancang gerakan celok yang baik kerana selekoh itu saya rasa saya tahu. Meninggikan lampu membunyikan hon motor dan melepaskan jurus Al-Anfal. Saya rempuh.

Ketika betul-betul berada ditempat makluk itu bergayut, dia berayun perlahan kearah badan saya. Saya melajukan kenderaaan untuk mendahului pergerakan hayunannya. Sekiranya saya lambat saya yang melanggar dia. Jika saya cepat dia yang akan merempuh saya, saya lebih selamat begitu fikir saya. Tetapi jika saya terlalu laju saya tidak akan dapat melepasi selekoh tajam dihadapan dan mungkin terbabas. Saya membaca zikir ayat empat kiayai Salleh dan mencabar makluk itu. Saya bermain dengan lampu. Betul kiraan saya dengan kelajuan yang menasabah dan ruang yang kecil saya melepasi bayangan itu. Makluk itu merempuh bahagian belakang dan saya rasa belakang saya macam disapu angin. Saya lepas makluk itu dan mengambil selekoh dengan selamat, satu selekoh kiri dan kemudian satu selekoh kanan. 


Seterusnya jalan lurus menaiki bonggol jambatan pula saya sudah mula ketakutan. Apa pula atas jambatan nanti. Kenderaan saya berasa berat dan perlahan. Saya menegakkan badan saya menarik nafas dan meraba beg saya. Saya harap saya ada membawa senjata pusaka arwah ayah bersama, sekiranya ada penunggu jambatan. Benda apa mengganggu saya tadi, saya cuma kata mungkin dahan pokok yang terjuntai. Ah pedulikanlah. Saya memujuk hati agar tidak terlalu takut. Terlepas satu bala.

Ada dua lagi halangan, jambatan dan jirat. Jarak kerumah emak masih ada lebih kurang 6 batu lagi. Tiba-tiba saya mendengar seperti  kain kanvas yang ditiup angin di belakang saya. Kuat bunyinya seperti kanvas lori yang terbuka talinya berdebus, debus. Saya menoleh cermin sisi kebelakang dan melihat jika ada lori dibelakang saya. Saya lihat 2 lampu merah mengekori saya, ah ada lori tapi tidak terdengar bunyi kerana bunyi menderam motor fikir saya. Saya memperlahankan kenderaan api itu makin hampir dan besar tapi tidak memintas motor saya, ah biarlah aku ada kawan juga.



Saya melepasi jambatan tiada apa-apa yang menakutkan. 50 meter dari situ saya membelok ke jalan pintas, kawasan sempang itu sunyi dan memasuki kawasan jirat, sebaik sahaja melepasi selekoh selepas sempang. Saya memperlahankan kelajuan, membelok masuk kejalan pintas, tiba-tiba saya melihat kabus yang amat tebal menghalang saya. Memenuhi jalan dan saya berada dalam kabus tidak tahu arah. Saya membuat pemberhentian kecemasan. Injin motor saya mati,  saya menungkat motor dengan kaki. Saya meraba beg sandang dan mencari senjata pusaka. Saya bersedia atas segala kemungkinan. Wah kasar juga permainan tempat ini fikir saya.


“Apa benda yang mengganggu aku malam ni”. Saya cuba menghidupkan injin dalam keadaan cemas, tidak boleh hidup, tapi lampu motor masih bernyala dan memberikan cahaya dan saya dapat melihat kabus dengan jelas. Saya bertenang. Dan Menunggu lori di belakang saya tadi. Cuba mendengar bunyi.

“Eh tiada bunyi lori. Tadi ada lori belakang aku. Mana dia pergi. Tengah malam macam ini takkan dia berhenti dekat jambatan.” Saya dihantui ketakutan. Saya percaya ganggguan ini cuma hendak menguji saya. Biarlah saya tidak akan mati atau dirosakkan. Fikir saya.
“Cheh Hantu rupanya” saya merungut dengan surah AnNas saya berludah kekiri.

”Walau apapun engkau aku berdiri dalam kalam Allah, engkau tidak akan dapat merosakkan aku walau sedikit pun. Engkau hanya boleh menakutkan aku dan aku sentiasa berlindung dari pada tuhan dari berasa takut kepada makluk ciptaannya,” saya mencabar makluk itu. Beristifar beberapa kali.

Saya menarik nafas, menghidupkan injin motor, sekali tendang sahaja motor hidup semula, saya memulas minyak berderum deram, menghilangkan rasa takut. Saya rasa saya kuat, perlahan lahan kabus yang disuluh lampu motor itu menipis dan saya melihat lorong jalan tar menghala kawasan jirata beristiqfar lagi dan bergerak perlahan lahan. Melepasi selekoh berkabus itu saya memasuki kawasan jirat, terang oleh beberapa lampu dan jelas kelihatan binaan kubur yang luas itu. Cantik malam n kenapa saya di ganggu.

Saya melepasi kawasan kubur dan semakin berani, saya sampai kerumah ibu dan tidur semula, jam baru melepasi jam 4.00 pagi.

Esok petangnya saya minta izin dari ibu untuk pulang awal kerana saya katakan saya akan singgah dibeberapa tempat sebelum balik. Ibu berpesan agar berhati hati memandu. Saya berhenti semula dikawasan kabus pagi tadi dan berhenti ditepi jalan. Saya lihat keliling dan berdiri betul betul ditengah jalan dimana saya berhenti malam tadi. Saya memandang keliling, ada gaung dikanan saya dan laluan kerbau disebelah kiri.

“Oh aku melintasi laluan kerbau malam tadi. Mungkin tempat ini sejuk dan memang ada kabus.” Fikir saya. Bahaya juga kalau terbabas malam tadi.

Saya meneruskan perjalanan dan berhenti sekali lagi dikawasan selekoh tempat kain tergantungan malam tadi. Saya perhatikan disekitar tidak ada satu daun pun diatas jalan, tidak ada dahan yang patah. Memang ada dua dahan getah yang menganjur sampai ketengah jalan. Memang cantik kalau ada benda bergayut. Saya mula seram.

“Engkau ganggu aku malam tadi ye,” Saya berkata-kata. “ Dari pokok getah ini kecil aku dah lalu sini tidak ada apa yang mengganggu. Aku tidak ganggu engkau, engkau jangan ganggu aku. Aku ada urusan aku, engkau ada urusan engkau. Kalau engkau ganggu juga aku lawan” Itu serapah diajar arwah bapa saya.

Tiba tiba saya lihat kesan tayar kereta membrek cemas dan kesan tayar itu juga terdapat diatas rumput tepi jalan. “Ada kereta terbabas,” fikir saya. Saya tidak dapat cam sama ada berlaku pagi tadi atau sebelum saya melalui kawasan itu.

“Aku minta jangan engkau merosakkan manusia dengan cara engkau ini tiada faedahnya, ingatlah pengadilan tuhan.” Saya berdialog pada makluk disitu macam orang gila. Selepas menghadiahkan fatihah dan berdoa agar orang lain tidak terganggu di kawasan itu saya meneruskan perjalanan pulang kerumah sewa saya petang itu. Selepas peristiwa itu saya tidak diganggu lagi walau dalam waktu apa pun saya melalui kawasan itu.

Saya sampai kerumah sewa saya jam 5.30 petang dan berehat bersama kawan, hari itu rakan rumah saya goreng jemput tepung ikan bilis dengan teh panas. hebat juga hidangan petang orang bujang. Sekian.








Tiada ulasan: