Memaparkan catatan dengan label Fiksyen klasik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fiksyen klasik. Papar semua catatan

Isnin, 23 Oktober 2017

Politik Rimba


 Sidang Penguasa



Pertama siapakah raja dirimba ini. sang Harimau yang cantik diatas batu singgahsana hanya dikunjung tetamu-tetamu besar yang sangat terhormat. Wasiatnya jelas. Bila dia berundur dalam gua besar terindah dengan berbagai bunga, Sang Harimau telah menetapkan susur galur perundangan dan kanun belantara yang mesti dipatuhi oleh sekelian penghuni. 

Jangan ingkar kerana ada berbagai lagi raja diluar sana, raja yang diberi kuasa mengatur perentah hutan. Raja yang menguasai alur air dan hasil hutan. Raja ini tidak perlu lagi merujuk kepada Sang Harimau kerana dia merasakan terlalu besarnya kuasa yang telah diberikan kepadanya. Dia boleh membuat apa sahaja yang difikirkan baik bagi penghuni rimba dan begitulah hutan ini menjadi aman berkurun lamanya.

Hari ini si Dabuk berangan menjadi raja.Dari Gajah yang besar,  Seladang hinggalah Mengkarong dan Tekek yang kecil juga hendak menjadi raja. Masing-masing mengaku kehebatan berdasar puak dan keistimewaan yang ada pada diri mereka. Ular kata dia yang paling berbisa, malah Buaya yang sesekali naik kedarat itu pun mahu menjadi raja menguasai belantara.

Maka sang Harimau pun memanggil satu sidang bagi mendengar keluhan hati segala rakyat jelata.
“Ampun tuanku. patik ini berbadan besar terkuat di belantara ini. Patik tidak perlu pernghormatan sebagai raja kerana semua lorong hutan ini adalah dibawah kuasa patik. Walaupun patik tidak kisah sangat dalam semua politik pemilihan kepimpinan belantara tetapi mereka hormat  patik bagai raja segala.Tidak pernah sesiapa yang sanggup menyekat jalan hamba di belantara ini. Biarlah patik dengan anak-anak patik hidup seadanya. Tetapi jangan direngan kekuatan patik kerana sekali anak-anak patik naik minyak segala hutan ini boleh kami huru-harakan.” Gajah memulakan hujah sangat sopan dan penuh ugutan. Yang lain senyap seketika tatkala Gajah memulakan bicara.

“Memang patut kemahsyuran tuan sebagai rakyat terkuat belantara, dan kita semua menghormati tuan sebagai yang termulia.” Raja mula berbicara.

“Kumpulan tuan telah memberikan kegemilangan rimba ini. Kerana mahalnya gading tuan yang disuka oleh mereka diluar sana. Kalau tidak kerana amanah ini kita pun mahu hidup seperti puak tuan hamba, tak payah bersengkang mata, memecah kepala memikirkan masalah rimba dan mengekal kuasa.” Raja memuji lagi.

“Ampun tuanku, kami puak Dabuk mahu menguruskan hutan ini kerana kami ramai dan kumpulan kami besar. kumpulan kami banyak ilmu dan menguasai hasil rimba. Sekor rusa tumbang kaum kita dah sampai dulu. Kami akan meronda di denai-denai. Kami telah terlalu lama memakan lebihan bangkai tinggalan Sang  Harimau. Kadang-kadang kami bersama merebut makanan dengan sang Biawak.” Belum  habis si Dabuk berucap segala haiwan telah riuh rendah menandakan tidak selesanya mereka.

“Engkau kotor. Puak engkau tak layak jadi penguasa. Suka engkau melalak kesana kesini. Engkau tidak ada pakej imej penguasa. Cakap engkau bohong belaka. Sedarlah diri engkau Dabuk. Wajarlah engkau berkawan dengan biawak dan…” bising Hoooo hhaaa…. 

"Engkau kena ingat,  dulu engkau bangsa luar yang merempat, yang kami beri kebenaran menumpang dihujung negeri, kemudian engkau yang cepat biak, engkau seludup lagi sedara mara engkau dari segenap negeri menguasai hutan ini, kami makin lari kependalaman, itu pun sudah  bangsa engkau kuasai hasil makanan kami. "

Protes penghuni rimba.sedari awal rimba ini Dabuk memang tidak disuka kerana sikapnya yang angkuh dan sering mengganggu penghuni rimba. Dan kebelakangan ini sebok hendak jadi penguasa. Ramai yang membantah dalam diam tapi malas hendak bersuara biarlah raja mengurus laku si Dabuk dan pengikutnya yang gila kuasa.

"Biasalah bangsa si Dabuk kalau seekor menjilat punggung bila ramai, gajah pun nak di honggesnya" .


"Semua nak untung ke dia, seinci pun hak dia tidak hendak beralah, kami juga yang patuh perintah. Apa yang anak cucu kami dapat?? hanya tinggal seekor harimau tua yang hilang upaya mentadbir sebuah belantara." terdengar lagi suara yang tidak puas hati.

“Baiklah tolong bertenang kerana kami lahir dengan amanahkan menjaga bumi belantara kerana ini tanah air kita. Kami menjadi raja kerana begitu suratan, begitu ketentuan kami menguasai belantara bukanlah kehendak kami semata-mata, kami berterima kasih kepada penghuni rimba yang sentiasa meletak hormat kepada kami.” Titah raja. Yang lain terpaku hormat.

“Datuk nenek kita telah berjuang mempertabatkan belantara ini dengan  darah dan air mata. Sekali kita beraja biarlah kita terus berkuasa kerana tidak ada mudarat pun sistem yang kita ada. Kami akan menjaganya hingga hari kiamat. Itu wasiat kita. Kita akan menjaga penghuni belantara tidak kira dimana dan siapa mereka.” Yang lain tunduk hormat. Dabuk tetap merungut. Kerana baginya sidang inilah peluang terakhir dia menjadi penguasa.

“Ingatlah kalian akan pengorbanan datuk nenek kita mempertahan negara, Ingatkah kalian ketika kemarau dan banjir melanda malah kebakaran hutan beberapa ketika.  Bagaimana kita bersama mengatasi bencana. Bagaimana kita muafakat tolong menolong dan berlebih kurang sesama kita. Lupakah kita bagaimana suara burung yang kecil pun membantu kita bila kita mahu diserang manusia. Semuanya telah bersama menjaga keharmonian dan keselamatan belantara walau sekecil mana mereka. Biarlah kami mendengar pula apa kata sang Bedal yang juga menuntut menjadi penguasa.”

“Ampun tuanku. Kami ini Sang Bedal hanya tahu tingggal didalam alur air yang semakin sedikit. Kadang kadang jadi pekat dan kering kerana kemarau. Sedang di  atas bumi belantara sering bercakaran. Kami rasa telah sampai masanya kami jadi penguasa juga kerana setiap penghuni belantara akan bersujud kepada kami kerana meminta air. Kalau kami tidak beri bolehkah penduduk rimba meneruskan kehidupan.” hooarrrgh kedengaran ungas ungas mengeluh atas ancaman Sang Buaya.

“Walaupun kami jarang berada di belantara segala unggas akan datang ke kediaman kami untuk minum dan mandi. Kamilah yang amat mengenali mereka malahan bau badan mereka pun kami terasa. Sampai masa kami ingin membina peraturan rimba mengukut acuan kami. Puak belantara tidak pernah menghiraukan keberadaan kami di alur yang cetek itu. Atas dasar demokrasi kamilah yang patut mengusai belantara.Kamilah yang lebih arief akan kelakuan haiwan rimba. Kerana kami sentiasa memerhati ketika mereka ke sungai. Kamilah merekod segala keburukan mereka. Kamilah yang lebih kenal siapa yang baik dan siapa yang buruk perangai."

"Siapa yang tamak haloba. Siapa yang pengotor. Jika yang mulia hendak mengetahui rekod mereka kami boleh emailkan, kami boleh dedahkan. Kami juga boleh hantar  ke Wikeleak siap dengan video sekali. Tapi apalah gunanya kerana ia memalukan penghuni belantara yang dilihat aman dibawah perintah yang mulia tuanku.” jelas buaya penuh tanggungjawab.

“Kami sayangkan belantara ini dan sanggup mati mempertahankan tuanku. Cuma kami tidak sabar melihat kerakusan generasi baru penghuni rimba yang masing-masing mempertahankan hak asasi mereka. Masing-masing menegakkan fahaman demokrasi mereka. Mereka bangga dengan kebebasan mereka tetapi mereka lupa hak asasi orang lain. Mereka lupa air kencing mereka masuk ke alur sungai dan hamisnya terlekat pada badan anak-anak kami. Puak kami bukan sahaja bersama Jejulung malah Lelabi, Tuntung dan segala ikan dari sebesar tapah hingga ke Sengat Layar ramai  tuanku kalau di kira undi puak kamilah yang ramai. 

Cuma politik ni kami tidak berapa minat kerana kami jarang naik kedarat dan tidak dilihat. Kalau dulu seekor dua rusa atau anak seladang yang kami makan tidak pernah kami dihina oleh penghuni rimba. Kerana kami sekadar mengambil untuk makanan anak-anak kami sahaja. Si rusa tetap menjadi sahabat kami dan kami benarkan minum air sungai kami. Tapi hari ini seolah-olah kami tidak boleh makan lansung. Semua unggas memandang serong kepada kami.  Ampun tuanku.”

Yang lain cuba mendengar. Sang Dabuk terus berungut. Dia juga yang baik. Dia juga yang hebat dia juga hendak jadi penguasa.

“Ini bukan politik dalam air ini politik atas darat. Kami tidak mahu kamu terlibat. Kita tidak mahu puak dalam air terlibat sama dalam hal kepimpinan rimba.” Dabuk mula rasa terancam.

“Sebab itulah kita perlu ada raja sebagai pelindung. Sebab itulah kita perlu ada pemerentah dan penguasa. Kita tidak boleh melihat puak kita sahaja yang perlu hidup di belantara ini.” Sang Harimau meneruskan hujah.

 “Boleh beta dengar wakil yang burung-burung pula.”

“Ampun tuanku. Sang Monyet mencelah. Kami tidak pernah komplen pada sang burung atau sang tupai yang berkongsi makanan dengan kami. Bahkan ramai dari puak sang burung tidak pernah mengganggu kami sejak dulu lagi. Malah kami telah biasa berkongsi dengan burung hijrah dari luar Negara. Tapi kebelakangan ini kami kami diserang oleh puak Puling yang terlalu banyak. Mereka menguasai pokok pokok kami  bila tiba waktu senja dengan beratus malah beribu bilangannya. Bukan sahaja mereka membuat bising sepanjang malam tapi membuang najis di setiap dahan dan menjijikkan kami. 

Banyak yang berlaku kami terpaksa bergerak dimalam hari untuk mencari tepat baru. Dan ini menjadikan kami rasa tidak selamat. Kalau dulu kami boleh lena dan aman sahaja tapi sekarang kami takut bila malam rumah kami akan diceroboh bila-bila masa. Ketenteraman kami diganggu. Bila kami merasa ehwal kami tidak dipeduli sampai masa kami pun nak jadi penguasa. Sebab itu kami juga menuntut menjadi penguasa belantara.”  

Si Dabuk lagi sekali merungut dengan hujah sang beruk. “Engkau turunlah kebawah monyet oii. Akan ku siat kulitmu.” hoohahhh, unggas lain masih tidak berpuas hati dengan sikap Dabuk.

“Beta masih tidak mendengar pandangan sang burung. Siapa tadi wakil yang hendak berbicara. Tolong beri laluan. Awak Dabok. Tolong jangan timbulkan provokasi pada binatang lain. Sidang ini kita sedang mendengar pendapat.”

“Apakah kerana kami ini Dabok tuanku tidak mendengar pandangan kami. Janganlah tuanku menjadi tidak adil. Nanti kami adukan pada bangsa-bangsa bersatu.” Dabuk tetap berkeras dan binatang lain menjadi resah akan perangai Dabuk yang terlalu berani dihadapan paduka sang Singa. Sekali lagi sang Sang Harimau mengaum dan semua haiwan tunduk. Sang Harimau mengibas-ngibas ekor dan kembali naik ke atas singahsana dan meneruskan bicara. “Siapa, Helang, Belibis, Walit silakan.”


“Ampun tuanku. Kami puak burung hanya hendak menyanyi dan mendapat sedikit makanan. Kami hendak bermain angin ketika petang. Kami menumpang bersarang dicelah-celah dahan. Kami sentiasa menjaga badan dan kesihatan agar sentiasa cantik. Kami hanya hendak perhatian dan menunjukkan persembahan tidak ada kena mengena dengan kepimpinan. Kalau ada perhatian tuanku tambahlah kurnian kepada kawan kawan patik agar kami sentiasa menjadi kesayangan rimba.” Kata Tiung mewakili kumpulannya. Sang Harimau tersenyum.

“Betul juga kalau kita asyik bertengkar, tidak sempat kita hendak mendengar Tiong menyanyi dan Merak menari. Lama juga kita tidak teruja berkumpul dalam keramaian begitu.” Sang Harimau mengerling permaisurinya.

“Permaisuri beta pun suka juga melihat warna-warni sang Nuri. Lama rasanya beta tidak ke konsert kalian. Terima kasih sang Tiung kerana sempat mengingatkan kami.” 

Si Dabuk terus merungut.

Hari semakin petang segala unggas masih mahu meneruskan hujahnya dihadapan penguasa rimba.

“Beta beri tiga hari bertenang. Sang Tikus pergilah menyelinap di semua celah batu dan kayu mati dapatkan segala maklumat tentang keresahan penguhi rimba. Sang Helang tolong perhatikan dan lapor pada beta  kawasan mana yang sesak.   Sang Dabuk hentikan menimbulkan provokasi. Ketahuilah penduduk rimba ini tidak suka pada cara dan perangai kamu. Bukan keturunan kamu yang dicela mereka. Bukan juga rupa kamu, tetapi banyak perkara baru yang kamu utarakan menimbulkan keresahan kepada yang lain. Dulu ketika kamu sedikit bersama kita tidak pernah haiwan lain merungut tentang kamu, Kadang-kadang kamu juga seperti musang dan serigala tidak pernah kami bezakan. 

Baiklah, tiga hari ini beta akan mengadakan mesyuarat dengan segala pembesar belantara mencari akal yang baik. Agar kita tidak menghancurkan tamadun belantara ini. Kita tidak boleh mendapat semua dan kita tidak boleh hilang semua. Tradisi belantara perlu kita kekalkan. Itulah keindahan kita. Itulah kekuatan kita. Beta boleh pecahkan belantara ini kepada kawasan-kawasan yang kecil mengikut kehendak puak-puak yang menuntut. Tetapi apakah kita akan menjadi kuat. Apakah kita akan menjadi lebih hebat.”

Malam itu dibawah rembang bulan penuh. Sang Harimau memanjat batu besar setinggi-tingginya. Dia berdiri gagah. Akulah raja akulah penguasa terhebat diseluruh belantara. Luasnya tanah kekuasanku telah ternama dan menjadi semakin kecil akibat perpercahan zaman dahulu kala. Antara kerabat pun saling bersengketa. Tiba-tiba sang raja ditiup angin pilu dan air matanya berlinangan. 

Tidak cukup bijaksanakah penguasaku menjalankan perintah raja. Sukar sangatkah menjadi satu bangsa. Kerana aku telah tua dan generasi lamaku yang bersaudara tanpa mengira puak dan kaum serta jenis hidup bersama di belantara ini. Apakah yang dihendaki oleh generasi mudaku. Sehingga pemerentah telah hilang kuasanya.

Dabuk hanya fenomena. Dulu masa dia duduk di pinggir hutan kita bawa sama kebelantara ini dengan bermuafakat. Bila mereka menjadi ramai. Mereka hendak berkuasa. Air mata berlinangan terus dimata raja. 3 hari sangat singkat untuk beta membuat keputusan. Menjaga tradisi belantara agar terus terbela. Bagaimana nasib si Rusa, Napoh dan segala penghuni yang lemah. Landak yang merayap bolehkah mereka meneruskan kehidupan kalau si Dabuk memerentah menjadi penguasa.

Apakah telah hilang kuasa aku sebagai penguasa. Apakah berkuasa puak yang tidak diberi kuasa belantara. Sampai bila mereka harus ditiup angin tidak selesa. Kalaulah penguasa beta melakukan tugas peraturan dengan adil dan bertimbangrasa apakah selesai masalah belantara begitu sahaja. Apakah dengan memberikan kuasa kepada semua orang kita semua dapat hidup dengan selesa. Apakah kalau kita tidak perlukan raja, bolehkah belantara ini segar seperti sediakala. Dulu kita selesa kerana makanan mudah kita dapat dan haiwan tidak ramai. 

Cuaca boleh diramal. Tetapi sekarang setiap puak telah ada persatuan mereka meminta itu ini. Mendesak itu ini. Tidak kira apa asalkan untung bagi mereka. Apakah masih ada lagi belantara kalau kita kita halau semua haiwan yang bukan puak kita. Apakah akal kita hendak hidup dalam belantara yang berbilang puak dan berbagai jenis perangai.


Kalau ada kacau bilau dalam belantara ini bangsa-bangsa bersatu pun tidak boleh buat apa-apa, Kalau orang luar membantu pun hanya mengira puak mana yang beri keuntungan kepada mereka, tidak ada keadilan atau peri kemanusiaan dalam peperangan. tidak ada belas kasihan dan betul salah, tidak ada erti persahabatan atau persaudaraan dalam berpolitik. 

Tidak cukupkah kanun rimba yang sedia ada. Sang Raja terus melenguh panjang dan subuh esok pasti menjelang. Tidak kira samaada belantara ini aman akan atau terus berperang. Tidak kira sama ada Buaya atau di Dabuk menjadi raja. Pilihanraya tetap diadakan, dalam politik kepimpinan. Kehormatan, keikhlasan dan budi pekerti telah hilang, dan yang ada hanya binatang-binatang yang mencari makan. Sang Raja mengeluh panjang. Sidang kali ini akan menghancurkan pengguni belantara selama-lamanya.

Sekian.

Isnin, 1 Disember 2014

MELAYU TUN TUAH

FIKSYEN KLASIK  5

“Tuhanku yang Esa, bantulah hambamu yang kerdil ini menyusur galur hidup yang tinggal sedikit. Tuah ini telah berkhidmat setia kepada Paduka Raja bukan kepalang khidmat. Kasih tuah pada Duli Tuanku bukan sebarang kasih. Dari tamat berguru hinggalah kesaat ini, Tuah ini belum merasa erti senggangnya. Dihambat beban istana yang semakin sarat. Menyantun Melayu yang semakin lelah.”

 “Tidak terfikir akan Sultan atau para pembesar memberi ruang walau sedikit untuk Tuah ini bersujud dan berlangir diri. Tidak cukupkah lagi beban yang ditimpa jemala siTuah ini? Setiap yang berat pada Tuahlah disandar. Datang yang elok pada dagang jualah kurnia.”

Tuah termanggu sejenak. Itulah bisik hatinya sebaik sahaja Tun Mamat habis menceritakan helah dan akal fikir untuk mengadap Paduka Raja. Mustaid susun bicara, elok khabar duduk perkara, jelas helah rencana Puteri Gunung Ledang hendak dipersembahkan kepada Paduka Raja, Tun Tuah tersenyum. Senyuman yang dibuat-buat.

Tun Mamat berasa cukup gelisah akan menung Tun Tuah. Apakah salah khabar bicara atau ada yang tidak molek susunan kata? Bagai ada cacat celanya. Perkara besar ini jika tidak berhemat gugurlah maqam perajurit Melaka. Hilang maruah Melayu nusantara.

Ada pun Tun Mamat ini laksamana muda yang dicatur Bendahara Paduka Raja untuk mengiring Tun Tuah tuntas melaksanakan titah Kebawah Duli Tuanku Sri Sultan Melaka meminang Puteri Gunung Ledang.  Siapa pun Puteri ini, dia hanya cerita orang istana yang menjadi warna mimpi Paduka Sri. Akan Tun Tuah jua diminta mengepala panji, sedang Tuah hanya seorang laksamana tempur yang tidak pernah alah menjaga kota bukan menteri penjaga adat negeri.

Rencana Tuah yang berkhemah di Jeram Berangin telah menjadi. Helah Tun Mamat dikerah naik ke Puncak Mahligai untuk mencari puteri seorang diri telah berhasil. Seperti faham langkah dan pencak srikandi, seperti tahu kalam telah tersusun rapi, Tun Mamat pulang membawa khabar yang panjang berjela. Madah kononnya kalimat puteri disampaikan kepada Tuah Bistari agar mendapat akal untuk mendatang sembah ke hadapan Paduka Seri.   

“Janganlah bergundah gulana lagi adindaku. Bukankah siTuah ini telah memberi akal bicara buat adinda untuk bersendiri ke puncak sana. Apa pun perkhabaran itu akan menjadi hak kita, menutup akal jauhari, malah tidak siapa berani menyanggah peri.”

“Ini pencak paduka ayahanda Bendahara, kita hanya menyusun tari. Sampaikan bicara dengan bijaksana, pasti Melaka ini akan sejahtera.”

“Orang Istana hanya hendak menambah beban setia hamba. Kalau tepat jurus kita, alah jua langkah mereka. Kalau buruk kesudahannya kita terima sahaja dan diingat sebagai orang teraniaya. Kesudahan itu bukan ketentuan kita.”

“Suratan takdir itulah sebenarnya laluan semua. Jangan sampai tergelincir iman di dada, jangan sampai berhasad dengki berburuk sangka, tidak terampun nanti dosa kita.” Tun Mamat masih kelu tidak terlontar kata, bicara Tuah bersendi seloka guru yang mulia.

Dikhabarkan kepada semua yang ada di Jeram Beragin itu untuk bersiap siaga, berkemas kulakasar untuk berangkat turun dari meminang Puteri Gunung Ledang. Sepanjang perjalanan Tuah banyak berdiam diri. Tun Mamat pula masih mengemaskan cerita, bagaimana hendak menyembah Paduka Raja. Dia tahu benar bahawa dia seorang sahaja yang mengetahui duduk perkara, apa yang berlaku di puncak sana dan Tuah pula yang akan dipersalahkan jika tidak menepati kehendak Paduka Raja dan orang istana. Jika berjaya akal dipintal maka selamatlah Negeri Melaka. Jika ia jadi sembah durhaka maka rosaklah bangsa dan nusa.



“Adinda Tun Mamat kudrat hamba ini tidaklah lagi sekuat tenaga muda tuan hamba. Yang ada hanya sedikit akal dan tidak pula hamba tergamak untuk menyembah senda Paduka Sri Sultan. Maka tuan hamba sajalah mengadap ayahanda Bendahara.”

“Paduka Bendahara orangnya tua dengan siasah, lama dalam juang, subur dengan kasih, iklas mendalam hati. Tidak menghukum dengan kesumat. Tidak tercabar oleh pesona. Paduka Bendahara ada hati Melayu, ada jiwa Melayu, ada santun Melayu. Kita sandarkan sahaja kepada ayahanda Bendahara, Melaka ini. Baik katanya, baik juga kesudahannya.”

Tun Mamat menganguk faham akan firasat Tuah. Titah tidak boleh disanggah. Setiap titah telah dibicara pembesar istana yang bijak pandai bermain kata. Cara melaksanalah yang kena dibincang oleh jelata.  Perjalanan turun ini tidak selancar semasa mendaki dulu. Banyak kali Tuah memohon rehat. Banyak kali juga Tun Mamat terhenti langkah. Selagi tidak dapat dihalusi setiap kalimat tidak berganjak mereka berdua. Masing-masing memberi soalan yang perlu dijawab petah, jika disanggah sembah.

Menurun Jeram Berangin hinggalah ke Asahan sahaja mengambil beberapa malam untuk berihat. Sampai di Asahan mereka berpisah dengan Batin penunjuk jalan. Sampai di pinggir kampong mereka berpisah dengan pembawa bekal, akhirnya mereka sampai di Sungai Duyung bersama hulubalang pengarak panji. Maka sekali lagi mereka berhenti berihat di tanah datar, di pasir gigi sungai.

“Adindaku Tun Mamat. Hamba rasa lengkaplah sudah rencana kita. Baik benar sendi cerita. Cantik benar tingkah katanya. Cuma halus santunnya, mintalah Paduka ayahanda Mamak Bendahara untuk menyembah nada bahasa istana. Agar faham para pembesar menjadi sama. Kerana kanda ini laksamana tua, tidak betah hendak melindung air muka, atas apa pun bicara hamba, ia tidak akan dinilai saksama. Maka eloklah tuan sahaja kembali ke istana.”

“Bagaimana akan kita khabarkan kepada seluruh Melaka, sedang pengarak panji pun hamba tidak dapat menyanggah, tidak pepat cindai hamba menutup  api seekor garuda.”

Setelah bersolat dan merehatkan diri Tuah memanggil semua ahli rombongan untuk berkumpul hampir mereka berdua. Dengan lagak Panglima Tun Tuah berdiri mengeras suara.

“Dengar semua orang Melaka. Ini Tuah Laksamana Melayu yang setia. Hari ini tugas kita untuk meminang Puteri Gunung Ledang telah terlaksana. Laksamana Tun Mamatlah waris kita mengadap Paduka Bendahara.  Apa pun maksud rencana yang dititah kepada kita telah tersurat dan  menjadi takdir yang telah ditentukan oleh yang Esa.” Tuah berhenti seketika dan berpaling merenung muka Tun Mamat. Dahi Tun Mamat terkerut. Tidak terbaca dia pencak Tuah hendak melepaskan diri dari serkap bala yang datang. Seperti selalunya Tuah tetap tersenyum.

“Dengar semua orang istana. Tuah ini ada petunjuknya. Melayu itu bersendi adap dalam tingkahnya. Lihatlah keris raja di tangan hamba ini. Akan hamba lontarkan ke sungai sana. Jika timbul maka itulah petanda baik kita semua. Jika tidak maka bererti Melaka tidak lagi mendambakan kita.”

Habis sahaja berbicara dicabutnya keris raja, sekilas dilempar ke tengah Sungai Duyung. Berkocak air terkena keris raja. Berkejaran hulubalang raja ke gigi air. Menyisir keris raja dimuka air, sekilas nampak hulu berbalam, sekelip lagi hilang di lubuk yang kelam. Tuah tersenyum memandang Tun Mamat yang berdiri di sebelahnya. Perlahan dia berbisik.

“Ilmu menimbulkan besi ini tidak sempat kanda pelajari dari Bentara Majapahit.” Terus sahaja Tun Mamat memeluk erat Laksamana Hang Tuah kerana jenaka itu sebenarnya meruntun hatinya. Dipeluknya Tun Tuah sambil tersedu menahan air mata. Besar sungguh pengorbanan seorang laksamana Melayu ini. Sanggup mengorbankan jasa dan penghormatan hanya kerana satu permainan resam dunia orang istana. Gempita sungguh tempur ini. Besar sekali hujah pesona hingga terkorban panglima yang banyak jasa.

“Cukuplah, berangkatlah adinda, terus mengadap ayahanda Bendahara. Sampaikan salam hamba Melayu yang hina. Hamba sudah cukup puas menabur jasa. Hamba tidak perlu lagi penghormatan segala. Cukuplah…cukuplah…..” kali ini giliran Tuah bungkam, tidak dapat meneruskan kata.

Bagai hendak gugur juga air matanya melihat sedu Tun Mamat ketika mengucup kasih tangannya. Tapi apakan daya firasat tuanya jelas mengatakan rezekinya bukan lagi di istana. Inilah denai terbaik bagi mengisi sisa usianya. Mungkin Tuhan memanggilnya pulang dalam bersedia.  Dia ingin kembali ke asal kejadiannya dengan santun. Dia ingin kembali kepada fitrahnya dengan rukun. Dia ingin mendekati Khalik dengan tenang. Itu permintaan usul tubuhnya.

Maka berangkatlah Tun Mamat meninggalkan Tuah yang masih berdiri di atas pasir gigi air. Sayu juga hati Tuah melihat lambaian anak-anak muridnya yang masih tersedu sepanjang jalan. Setelah sayup dari matanya, Tuah mengambil wuduk dan bersolat di atas pasir gigi air. Dia berdoa agar Negeri Melaka menjadi lebih aman dan sejahtera dan Melayunya terus perkasa. Dia bermunajat agar dia tidak lagi diganggu oleh segala hal dunia. Dia bersujud agar sakratulnya tidak diratapi sesiapa. Kerana dia panglima besar yang tidak pernah alah dalam tempurnya.

Selepas solat magrib Tuah masih berada di gigi air. Selepas solat isyak Tuah masih berada di situ. Tiada siapa yang menemani panglima besar Melaka yang tersohor serata dunia. Tiada siapa menyeru lagi namanya. Fahamlah dia bahawa memang itulah takdir baginya. Di gigi air itulah dia mendalami rahsia menentu masa. Di situlah dia mengenal hakikat alam. Disitu  juga dia mengkagumi hebatnya makrifat Tuhan. Itulah juga ilmu terakhir diketahuinya, tapi kali ini tiada murid meladuni. 

Dunia ini dilihat semakin nafsu nafsi. Melaka dilihat semakin mengejar duniawi. Istana bukan lagi hak jelata menghamba diri. Pembesar semakin angkuh dengan pangkat dan gelaran diri. Tuah tidak lagi bersendi patuh malah keluarganya pun terlalu rindu akan seorang wali.  

Sesungguhnya Kami telah memberikan engkau kemenangan yang terang* Supaya Allah mengampuni kesalahan engkau yang telah lalu dan yang akan datang, mencukupkan kurniaNya kepada engkau dan memimpin engkau pada jalan yang lurus* Dan untuk menolong engkau dengan pertolongan yang kuat* Dia (Tuhan) yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman, supaya keimanan mereka bertambah dari keimanannya yang telah ada. Kepunyaan Allah tentera langit dan bumi dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana*” Alfath 2-4.



Sekali lagi dia ke gigi air, kali ini dengan sekali syahadah, pantas ditekan tangan kanannya ke gigi air tembus hingga ke pasir. Digengamnya erat pamung keris raja, dikucupnya sekali disarung kemas, disisip cantik di pinggang. Dia tersenyum melangkah membelah pekat malam. Seperti harimau mencari sarang. Seperti helang pulang ke gunung. Langkah akhirnya meninggalkan Melaka tidak dirai sesiapa. 

Sekian.